You are on page 1of 4

Rakyat wajar fahami perlunya perubahan

BULAN September yang lalu adalah antara bulan tersibuk di Kennedy School (KSG). Disamping semester musim luruh yang baru bermula, pada bulan ini jugalah KSG sibuk menerima pemimpin-pemimpin dunia yang mengambil kesempatan berinteraksi dengan komuniti KSG sempena Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). Pada bulan September yang lalu Presiden Kosovo, Presiden Austria, menteri-menteri kanan beberapa buah negara dan beberapa pegawai tinggi pentadbiran Obama menjengah KSG berkongsi pengalaman dan membincangkan perihal negara masing-masing dan juga dunia. Kompleks KGS terdiri daripada empat bangunan, Littauer, Belfer, Rubenstein dan Taubman. Di tengahnya Courtyard, laman hijau yang lebih santai dengan sebuah gelanggang bola tampar. Bangunan utama KSG, Littauer ditutup dan dikawal rapi pasukan keselamatan apabila pembesar dunia hadir. Saya beruntung memenangi loteri (tiket masuk) untuk mendapat peluang menyertai sesi The Forum bersama mantan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown. Kepimpinan adalah tajuk besar di KSG. Seringkali perbincangan terhadap isu-isu awam dan pembangunan tertumpu pada faktor kepimpinan. Melahirkan pemimpin awam yang berkaliber adalah misi besar KSG. Ilmuwan KSG begitu bersatu, falsafah kepimpinan mereka jelas, merealisasikan perubahan. Tugas pemimpin tidak seperti pengurus, amat mencabar. Pemimpin merealisasikan perubahan. Mencabar tradisi, ada kalanya menentang arus, membawa masyarakat dari satu pelantar yang lazim ke satu pelantar batu. Meyakinkan masyarakat bahawa tempat baru yang dituju lebih selesa dari yang sedia ada atau lebih tepat, menyedarkan masyarakat bahawa keputusan untuk kekal tidak berubah adalah lebih berisiko dan merugikan dari keputusan untuk berubah. Setiap kali falsafah ini dibincangkan, fikiran saya begitu fokus. Mendengar rapi serentak dengan berfikir secara

mendalam. Secara fizikal saya di KSG tetapi fikiran saya sudah jauh sampai ke negara tercinta, Malaysia. Inilah antara yang saya cari dan yang akan saya bawa pulang, Insya-Allah, untuk Malaysia! Transformasi ekonomi negara adalah agenda perubahan besar Perdana Menteri. Untuk siapa? Kita semua, warga Malaysia. Pastinya agenda transformasi ekonomi ini bukannya mudah. Dengan masyarakat berbilang kaum, latar sosio dan sejarah yang begitu unik, ia lebih mencabar (dan juga lebih menarik) untuk Malaysia. Sokongan padu seluruh warga Malaysia dari setiap lapisan masyarakat, di mana sahaja mereka berada, di sektor awam dan swasta, amat penting. Umpama pertandingan mendayung. Sampan tidak akan bergerak, mungkin tersalah arah atau lebih buruk mungkin juga terbalik sekiranya pendayung-pendayungnya tidak sepakat dan mendayung sesuka hati. Agenda transformasi sebesar ini perlu dilaksanakan secara strategik. Perincian pelaksanaan 12 NKEA oleh Pemandu adalah penting tetapi ia bersifat sektoral tertumpu pada industri yang khusus dan perincian blue print pelaksanaan. Pihak yang terlibat secara langsung mungkin faham dan berminat. Namun mungkin ramai masyarakat awam di luar sana masih kurang jelas. Keyakinan masyarakat terhadap nilai awam inisiatif perubahan makro ini perlu diperkukuhkan. Antara persoalan paling utama yang perlu diperjelaskan dan dibincang secara berterusan ialah, mengapa perubahan ini perlu dilaksanakan? Apa manfaatnya untuk saya kalau transformasi ini berjaya dilaksanakan? Apa ruginya saya kalau agenda perubahan ini tergendala? Setiap pihak berkepentingan (saya ) perlu jelas nilai transformasi ekonomi ini bagi dirinya. Mensasarkan Laporan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diumumkan pada bulan Mac yang lalu mensasarkan lima ciri utama negara pada tahun 2020, iaitu: berpandukan pasaran, tadbir urus yang rapi, berintegrasi serantau, keusahawan dan inovatif. Secara

ringkasnya inilah persekitaran baru Malaysia yang akan dihasil oleh transformasi ekonomi ini. Takrifan keberhasilannya (outcome) lima ciri persekitaran ini mesti jelas bagi memudahkan semua pihak mengambil tindakan yang tepat. Strategik dan perincian pelaksanaan MBE perlu dilandaskan ke arah merealisasikan lima ciri persekitaran ini. Setiap kita harus sudah mula memikirkan, dimanakah saya pada tahun 2020 nanti? Di manakah kedudukan bumiputra, orang Melayu khususnya, pada kerika itu? Di manakah industri yang saya kecimpung hari ini akan berada? Bagaimana bentuknya? Bagi rakan-rakan di universiti, bagaimanakah universiti harus beroperasi untuk kekal relevan dalam persekitaran sedemikian? Apakah peranan universiti? Bagi industri kecil dan sederhana (IKS), bagaimana untuk terus berdaya saing dalam suasana sedemikian? Apakah peranan IKS ketika itu? Masyarakat pendidik perlu mula berbincang, bagaimanakah persekolahan pada tahun 2020? Bagaimana melahirkan masyarakat kreatif dan inovatif? Pokoknya, semua pihak perlu berbincang dan memahami aspirasi perubahan ini. Mesti ada badan khusus yang menggerakkan dialog ini, secara strategik, sistematik, telus dan professional berdasarkan fakta bukan emosi. Kita mesti segera meleraikan salah tafsir dan salah faham, merungkai benang yang kusut dan memastikan kesediaan semua pihak untuk mengambil bahagian. Kita mesti bersedia memberi ruang untuk berubah. Bukan secara sesuka hati tetapi secara teratur, terancang dan sepakat. Tiada fakta yang dapat menolak bahawa struktur ekonomi dunia hari ini sudah jauh berubah dari persekitaran ekonomi pada era awal kemerdekaan, pada tahun 70-an, 80-an mahupun era 90-an. Proses globalisasi, kemajuan teknologi, ciri geopolitik dunia dan pemusatan kuasa ekonomi sudah berubah dengan begitu nyata. Negara China yang tidak berapa jam penerbangan dari Malaysia sudah melangkah menjadi negara kedua terbesar ekonomonya di dunia. India mengejar dengan pantas. Asia menjadi bangkit. Apakah ini pusingan kedua untuk

Malaysia mengulangi era keangungan Melaka? Malaysia jangan ketinggalan. Tiada siapa dapat menyangkal bahawa Malaysia telah berjaya melaksanakan perubahan yang membanggakan. Pada tahun 1970, pandapatan purata seorang rakyat Malaysia AS$380, setanding dengan negara-negara miskin benua Afrika, pada tahun 2008 ia meningkat sebanyak 19 kali ganda kepada AS$7,250. Keupayaan kita hari ini juga sudah jauh berbeza dengan keupayaan kita dahulu. Kini kita berhadapan dengan keperluan untuk melakukuan satu lagi perubahan. Kalau daya saing kita belum kukuh, ayuh kita perkukuhkan di mana perlu. Menolak perubahan tidak membawa kita ke mana-mana, malah kemungkinan besar hanya merugikan kita. Penumpuan harus diberikan kepada merealisasikan perubahan. Perubahan untuk diri sendiri, perubahan untuk agama dan perubahan untuk bangsa dan perubahan untuk negara. Selamat berjaya Malaysia.
Dipetik dari Utusan Malaysia, Ahad 17 Oktober 2010 karya Noor Azlan Ghazali.

Profesor Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali adalah Ketua Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara dan kini sedang mengikuti program kepimpinan Edward S. Mason di Kennedy School of Government (KSG), Universiti Harvard, Baston, Amerika Syarikat.

You might also like