You are on page 1of 14

ISU-ISU SEMASA DALAM PENENTUAN HARTA PUSAKA ORANG ISLAM DI MALAYSIA Mohd Zamro Muda Prof. Madya Mohd.

Ridzuan Awang Dr. Zuliza Mohd. Kusrin Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM

PENDAHULUAN Harta warisan atau harta pusaka ialah semua harta yang menjadi milik seseorang semasa hidup dan berkekalan pemilikannya sehingga dia meninggal dunia dan menjadi hak mutlak waris-warisnya untuk diagih-agihkan dalam kalangan mereka yang berhak. Justeru, istilah harta pusaka adalah umum yang merujuk kepada segala harta yang ditinggalkan selepas kematian dan bersih daripada hutang dan wasiat. Ayat al-Quran tidak menjelaskan dengan terperinci berkaitan harta yang dikategorikan sebagai harta pusaka dan nas banyak tertumpu pada menyatakan individu yang layak mempusakai dan kadar bahagian yang mereka berhak. Fahaman mudah mengenai pusaka merujuk kepada harta sama ada harta alih atau tak alih yang mudah dikenal pasti seperti rumah, tanah, wang simpanan dalam bank atau amanah saham, emas permata dan kenderaan. Bagiamana pula dengan hartaharta lain seperti KWSP, wang derma atau sumbangan orang ramai, khairat kematian, imbuhan, pampasan, saguhati, pencen terbitan, bayaran gantian cuti rehat, ganjaran terbitan (ganjaran persaraan), wang PERKESO, SOCSO, insuran atau takaful, saham syarikat dan lain lain.

Justeru, penentuan sesuatu itu sebagai harta pusaka atau bukan adalah cukup penting ekoran kewujudan pelbagai bentuk dan jenis harta yang dimiliki oleh umat Islam kini. Hal ini kerana sekiranya sesuatu harta itu dianggap sebagai harta pusaka maka pembahagiannya terikat dengan hukum faraid. Manakala sebaliknya jika ia tidak dianggap sebagai harta pusaka maka pembahagiannya tidak terikat dengan hukum faraid dan terserah kepada penerimanya atau dilihat kepada objektif atau matlamat pemberian berkenaan.

Perbincangan kertas kerja ini akan difokuskan kepada penentuan sesuatu itu sebagai harta pusaka atau tidak. Tumpuan utama adalah kepada beberapa jenis harta seperti KWSP,

wang derma atau sumbangan orang ramai, khairat kematian, imbuhan, pampasan, saguhati, bayaran gantian cuti rehat dan ganjaran terbitan (ganjaran persaraan). Walaupun hampir kesemua jenis-jenis harta berkenaan telah terdapat fatwa mengenainya, namun semakan semula perlu dilakukan selaras dengan perkembangan semasa, apatah lagi kedapatan perbezaan fatwa antara negeri-negeri berkaitan dengan isu yang sama.

DEFINISI HARTA PUSAKA Dalam mazhab Shafii, harta pusaka ialah segala apa yang menjadi kepunyaan si mati pada masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak kepunyaan, begitu juga apa yang termasuk dalam miliknya yang dikerjakan semasa hidupnya tetapi diperoleh setelah dia meninggal dunia (Abdul Kadir Ismail 1983).

Al-Ramli (1938) mentakrifkan harta pusaka ialah apa-apa yang ditinggalkan untuk orang kemudian daripadanya dari sesuatu hak seperti jenayah, tuduhan berzina atau iktisas, atau mal seperti arak yang telah menjadi cuka setelah matinya, diyat yang diambil dari pembunuhannya, kerana diyat itu termasuk ke dalam milikannya. Begitu juga apa yang termasuk ke dalam pukatnya yang telah dipasang di masa hidupnya.

Kesimpulannya, harta pusaka adalah semua harta yang ditinggalkan oleh si mati yang diperoleh semasa hayatnya secara halal. Harta itu membabitkan transaksi jual beli, perniagaan dibuat secara persendirian atau perkongsian, harta yang diperoleh daripada pusaka, kaedah hibah, pemberian sedekah daripada individu dan pertubuhan atau pemilikan harta melalui wasiat juga termasuk dalam harta pusaka. Di samping itu, sewa yang belum dijelaskan kepada si mati dan hutang yang belum dijelaskan adalah dikira harta pusaka. Harta lain yang termasuk sebagai pusaka ialah dividen atau faedah yang dihasilkan daripada harta si mati dalam pelaburan yang dibuat semasa hayat dan barang yang dihasilkan selepas mati seseorang daripada usahanya semasa hayat.

PENENTUAN HARTA PUSAKA Dalam sub topik ini akan dibincangkan beberapa jenis harta yang wujud pada masa kini yang masih lagi menjadi perbahasan di kalangan masyarakat Islam dalam menentukan sama ada ia dianggap sebagai harta pusaka atau sebaliknya. Jenis-jenis harta berkenaan adalah seperti berikut:

(1) (2)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Wang derma atau sumbangan orang ramai yang diberikan selepas berlaku sesuatu kematian dan khairat kematian.

(3) (4) (5)

Imbuhan, pampasan dan saguhati. Wang gantian cuti rehat. Wang ganjaran/ganjaran terbitan atau wang gratuiti.

(1) Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah ditubuhkan pada 1 Oktober 1951 di bawah Ordinan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1951 untuk memberi jaminan kewangan kepada pekerja selepas bersara. KWSP merupakan skim tabungan wajib nasional yang menyediakan faedah persaraan bagi sektor swasta dan pekerja tidak berpencen sektor awam.

Caruman KWSP merupakan tabungan untuk persaraan ahli dan sebahagian besar simpanan diperuntukkan untuk tujuan ini. Simpanan ahli di KWSP adalah terdiri dari caruman pekerja yang dipotong dari upah atau gaji pekerja dan caruman majikan serta dividen yang dikreditkan tiap-tiap tahun pada kadar yang diisytiharkan. Bagi ahli yang meninggal dunia sebelum sempat wang berkenaan dikeluarkan kepadanya, pembayaran simpanan berkenaan akan dibuat kepada waris atau penama. Sekiranya pencarum membuat penamaan maka pembayaran akan dibuat kepada penama, sebaliknya jika tiada penamaan maka pembayaran akan dibuat kepada waris atau pemohon yang diberi surat probet, surat kuasa pentadbiran atau perintah pembahagian (Ibrahim Talib 2005).

Secara umumnya, amalan penamaan di KWSP sudah bermula sejak tahun 1952 lagi. Sistem ini diperkenalkan untuk membantu ahli menamakan orang atau mana-mana orang yang dikehendaki ahli untuk diberikan atau diagihkan simpanan KWSP apabila ahli meninggal dunia. Penama yang dilantik tidak semestinya saudara mara atau kaum kerabat, malah boleh melantik orang yang tiada kaitan langsung dengan ahli. Ia terserah kepada ahli untuk menamakan sesiapa sahaja yang ahli kehendaki semasa hidup. Penama berhak mendapat simpanan tersebut dan boleh membuat tuntutan terhadap wang simpanan ahli yang meninggal dunia tanpa perlu mendapat surat kuasa tadbir.

Ahli boleh menamakan seberapa ramai penama yang difikirkan perlu dengan menggunakan borang KWSP 4 (AHL) dan boleh mengisi lebih dari satu borang jika tidak mencukupi. Pelantikan penama berkuat kuasa pada tarikh penyerahan borang yang lengkap disi di mana-mana kaunter KWSP. Penamaan yang dibuat oleh ahli adalah sulit. Namun, sekiranya ahli meninggal dunia waris boleh menyemak status penamaan dengan syarat perlu mengemukakan sijil kematian ahli dan bukti hubungan seperti sijil kelahiran atau sijil perkahwinan. Sekiranya jelas bahawa ahli ada membuat penamaan maka bayaran simpanan akan dibuat kepada ahli mengikut pecahan atau peratusan yang tecatat pada borang penamaan (Suhaida Abu Bakar 2010).

Bagi ahli yang beragama Islam, timbul isu adakah bayaran yang dibuat kepada penama merupakan milik mutlak penama atau penama hanya dianggap sebagai wasi (pentadbir) harta berkenaan sahaja? Dalam masalah ini, terdapat beberapa fatwa di peringkat kebangsaan telah dikeluarkan, antaranya seperti berikut: (i) Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang dikeluarkan pertama kalinya pada 9 Oktober 1973 menyatakan: Penama-penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, wang simpanan pejabat pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang-orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati daripada sumber-sumber tersebut untuk dibahagi-bahagikan kepada orang-orang yang berhak menurut pembahagian faraid

(ii)

Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-49 pada 19 September 2000 memutuskan: Wang KWSP yang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid dan penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.

(iii) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-61 pada 27 Januari 2004 berhubung dengan Hukum pembayaran KWSP bagi ahli yang memeluk Islam telah memutuskan:

Mengikut hukum syarak, orang bukan Islam tidak berhak mewarisi harta orang Islam dan begitulah sebaliknya; Jika seseorg bukan Islam memeluk Islam dan mempunyai simpanan KWSP dan telah menamakan penama orang bukan Islam maka hendaklah menukar penama tersebut kepada orang Islam. Jika tiada penama orang Islam dan tiada waris Islam yang berhak ke atas harta tersebut setelah beliau mati maka harta itu tidak menjadi hak kepada penama yang bukan Islam, sebaliknya hendaklah diserahkan kepada Baitumal; dan Orang Islam boleh membuat wasiat kepada orang bukan Islam tidak melebihi 1/3 daripada hartanya.

(iv) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-67 pada 22 Februari 2005 berhubung dengan hukum menjadikan caruman KWSP sebagai harta sepencarian telah memutuskan: Wang caruman KWSP tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian dan menetapkan wang tersebut sebagai harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid.

Selain dari fatwa-fatwa peringkat kebangsaan, terdapat beberapa fatwa negerinegeri berkaitan dengan KWSP. Fatwa-fatwa berkenaan boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu (Suhaida Abu Bakar 2010): (i) Fatwa negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang dan Terengganu adalah sama dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan iaitu penama hanya bertindak sebagai wasi (pentadbir) harta pusaka dan hendaklah mengagih-agihkan wang KWSP kepada waris-waris yang berhak. Peletakan penama dalam KWSP tidak bermakna ahli telah membuat wasiat. Oleh itu, harta berkenaan adalah harta pusaka.

(ii)

Fatwa negeri Perak dan Kelantan cenderung menyatakan bahawa penamaan terhadap KWSP adalah dianggap sebagai wasiat. Justeru penama adalah bertindak sebagai penerima wasiat. Dalam hal ini, jika penama adalah waris yang layak mendapat bahagian dalam harta pusaka maka wasiat berkenaan bergantung kepada persetujuan waris-waris yang lain. Manakala jika penama adalah bukan waris yang

layak mendapat harta pusaka maka harta berkenaan menjadi haknya sebagai penerima wasiat dengan syarat tidak melebihi 1/3 keseluruhan harta si mati, dan jika melebihi 1/3 harta pusaka si mati maka bahagian yang lebih itu bergantung kepada persetujuan waris-waris.

Berhubung dengan perkara ini, jika dilihat kepada borang penamaan KWSP iaitu Borang KWSP 4 pindaan 21 September 2011 bahagian maklumat penamaan ada menyatakan: Saya seperti nama dan nombor ahli KWSP yang tercatat di atas, dengan ini menamakan individu seperti disebutkan di bawah untuk menerima simpanan KWSP saya mengikut bahagian atau peratusan yang diserahkan apabila berlaku kematian ke atas diri saya. Berdasarkan kepada penggunaan lafaz atau akad berkenaan maka kecenderungan mengganggap penama sebagai penerima wasiat ada kebenarannya. Selain itu, penama yang boleh dinamakan tidak ditentukan berapa orang dan terpulang kepada ahli, sedangkan menurut undang-undang, pentadbir harta pusaka si mati tidak boleh lebih daripada empat orang. Di samping itu, dalam borang penamaan ini juga tidak dinyatakan secara jelas bahawa penama bagi orang Islam hanya bertindak sebagai wasi (pentadbir). Justeru, pada pandangan saya fatwa berkenaan perlu dikaji semula selaras dengan penggunaan borang penamaan yang baru ini sama ada penama berhak ke atas harta KWSP atau hanya sebagai wasi sahaja. Untuk lebih jelas lagi boleh dilihat kepada kes Wan Puziah lwn Wan Abdullah bin Muda & Seorang Lagi [2001] JH 235, [2004] CLJ 604 mengenai penamaan dalam Tabung Haji. Dalam kes ini Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu memutuskan bahawa penamaan sebahagian harta berkenaan kepada anak angkatnya dianggap sebagai wasiat dan bukan harta pusaka.

(2)

Wang Derma atau Sumbangan Orang Ramai Yang Diberikan selepas Mati dan Khairat Kematian

Orang ramai yang datang melawat kematian selalunya menghulurkan wang kepada keluarga si mati sebagai derma. Sumbangann wang juga diberikan kpd keluarga si mati oleh majikannya, pihak sekolah anak-anaknya dan lain-lain pihak. Tujuan sumbangan atau derma ini bagi meringankan beban keluarga si mati untuk pengurusan jenazah dan sebagainya.

Wang sumbangan atau derma ini tidak dianggap sebagai harta pusaka dan menjadi milik keluarga si mati. Oleh itu, ia tidak tertakluk kepada hukum pusaka atau faraid tanpa mengira jumlahnya. Justeru, waris-waris bolehlah menggunakan wang tersebut untuk apa jua keperluan yang difikirkan patut berkaitan dengan pengurusan jenazah. Jika jumlahnya banyak dan berbaki maka ia bolehlah dibahagi-bahagikan kepada waris-waris atau kaum keluarga mengikut persetujuan mereka (Wan Abdul Halim Wan Harun 2006).

Namun pada pandangan saya, lebihan sumbangan berkenaan hendaklah diberikan kepada keluarga terdekat si mati yang merasai kesan kematian berkenaan terutamanya mereka yang di bawah tanggungan si mati seperti isteri, anak-anak yang belum dewasa dan ibu bapa. Ini kerana matlamat pemberian atau sumbangan berkenaan ialah untuk meringankan beban kaum keluarga akibat kematian. Justeru, pihak-pihak lain tidak layak mendapat harta berkenaan walaupun mereka merupakan waris kepada si mati mengikut hukum faraid seperti adik beradik dan bapa saudara si mati kecuali terdapat persetujuan di antara mereka.

Begitu juga dengan khairat kematian yang mempunyai ciri yang hampir sama dgn derma atau sumbangan. Konsep atau matlamatnya adalah sama iaitu bagi meringankan beban keluarga untuk menguruskan jenazah. Adakalanya khairat kematian yang dibayar oleh agensi tertentu seperti ASB, KWSP (faedah kematian) dan agensi-agensi tertentu. Oleh kerana khairat kematian diberikan kepada keluarga si mati maka ia bukan harta pusaka. Yuran yang dibayar oleh ahli dianggap sebagai sumbangan dan bukan simpanan. Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah adalah seperti berikut: Wang khairat kematian adalah wang derma kebajikan dari persatuan atau pertubuhan khairat kematian atau orang ramai bagi membantu keluarga si mati menyelenggarakan jenazahnya dan membuat apa-apa kebajikan untuknya. Ia tiada termasuk kira harta pusaka.

(3)

Imbuhan, Pampasan dan Saguhati

Terdapat pelbagai bentuk pampasan, imbuhan dan saguhati yang diwujudkan sama ada melalui skim tajaan kerajaan atau swasta. Melalui skim ini, kakitangan kerajaan atau swasta akan mendapat pampasan dalam jumlah tertentu sekiranya mereka ditimpa kecelakaan yang mengakibatkan kecacatan atau kematian ketika bertugas. Jika pemberian

itu terus diberikan kepada pekerja berkenaan ketika masih hidup maka ia menjadi miliknya. Namun, jika pekerja berkenaan telah meninggal dunia maka imbuhan, pampasan dan saguhati selalunya diberikan oleh majikan kepada keluarga pekerjanya berkenaan. Penerimanya seperti balu, anak, ibu bapa atau adik beradik si mati (Wan Abdul Halim Wan Harun 2006).

Justeru, timbul persoalan sama ada wang imbuhan, pampasan dan saguhati berkenaan harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid atau bukan harta pusaka. Jika mengambil kira wang yang dibayar ini semata-mata ihsan daripada majikan kepada keluarga pekerjanya, maka ia bukanlah harta pusaka. Tetapi jika terdapat perkiraan tertentu bagi menetukan jumlah bayaran berkenaan seperti tempoh khidmat, pangkat, gred gaji dan sebagainya maka kecenderungan menganggap ia sebagai harta pusaka ada kebenarannya.

Dalam masalah ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-49 pada 19 September 2000 telah membincangkan berkenaan wang pampasan kematian pekerja yang dianugerahkan oleh kerajaan atau syarikat swasta. Muzakarah berkenaan telah memutuskan bahawa wang pampasan yang diperolehi dari kematian pekerja, wang pampasan melalui tuntutan mahkamah, wang SOCSO dan seumpamanya tidak dianggap harta pusaka. Dalam hal yang sama juga, Mufti Terengganu dalam fatwanya berpendapat wang pampasan atau saguhati bukan harta pusaka. Walau bagaimanapun, Mufti Kerajaan Johor telah memfatwakan sebaliknya di mana wang saguhati askar yang terkorban dalam perjuangan dianggap sebagai harta pusaka (Mohd Zamro Muda & Mohd Ridzuan Awang 2006).

Perbincangan mengenai pampasan ini boleh dilanjutkan lagi kepada skim ex-gratia yang diwujudkan oleh pihak kerajaan bagi anggota perkhidmatan awam. Skim ini berkuat kuasa mulai 20 Oktober 1994 melalui Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 13 Tahun 1994 dan penambahbaikan melalui Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 Tahun 2001 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2001. Skim ex-gratia ialah skim yang memberi pampasan kepada anggota perkhidmatan awam yang ditimpa bencana kerja semasa menjalankan tugas rasmi hingga menyebabkan hilang upaya kekal atau kematian termasuk yang teraniaya disebabkan perbuatan balas dendam akibat daripada tindakan semasa

menjalankan tugas rasmi. Skim ini diwujudkan bertujuan menjaga kebajikan anggota perkhidmatan awam dan orang tanggungan sekiranya terjadi sesuatu bencana semasa pegawai melaksanakan tugas rasmi memandangkan anggota perkhidmatan awam dikecualikan daripada mencarum kepada skim yang ditubuhkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Melalui skim ex-gratia, jika pegawai berkenaan meninggal dunia maka bayaran akan dibuat kepada tanggungannya. Orang tanggungan yang ditakrifkan di bawah skim ini ialah bagi pegawai berkeluarga orang tanggungan adalah isteri atau suami dan anak-anak, manakala bagi pegawai bujang orang tanggungan merupakan ibu dan bapa pegawai. Exgratia yang dibayar kepada tanggungan bagi anggota yang meninggal dunia dikenali sebagai ex-gratia terbitan. Jabatan Perkhidmatan Awam melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2008 (berkuat kuasa mulai 1 Januari 2009) menyatakan bahawa pemberian ex-gratia terbitan sekaligus kepada ibu atau bapa anggota berpencen yang meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan tanpa meninggalkan balu atau duda atau anak. Melalui pekeliling ini juga, jika berlaku sebarang pertikaian mengenai pemberian exgratia terbitan ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berhak untuk menentukan pihak yang sepatutnya diberi ex-gratia terbitan serta kadarnya dan keputusan ini adalah muktamad. Namun demikian, secara umumnya kadar bayaran ex-gratia terbitan mempunyai sifir atau kaedah pengiraan yang tersendiri yang mengambil kira tempoh perkhidmatan dan gaji anggota. Hal ini telah ditunjukkan secara jelas dalam Lampiran A Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 Tahun 2001 dan Lampiran A, B dan C Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2008 (http://www.treasury.gov.my/index.php?option= com_content&view=article&id=1572%3Askim-ex-gratia-bencana-kerja&catid=151%3A bahagian-dasar-saraan-wang-awam-dan-khidmat-pengu&Itemid=306&lang=my) [1 Jun 2012] .

Bayaran ex-gratia terbitan ada kalanya dibuat secara bulanan kepada tanggungan si mati dan ada kalanya dibayar secara pukal (sekaligus). Oleh kerana pemberian ex-gratia terbitan ini dibuat berasaskan pengiraan tertentu terutamanya tempoh perkhidmatan dan gaji anggota, maka sewajarnya ia dianggap sebagai harta pusaka. Ini bersesuaian dengan takrif harta pusaka oleh al-Ramli (mazhab Shafii) sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini iaitu harta pusaka termasuk apa yang termasuk ke dalam pukatnya yang telah

dipasang di masa hidupnya. Dalam hal ini, tempoh perkhidmatan dan gaji yang menjadi perkiraan utama dalam menentukan jumlah bayaran ex-gratia terbitan merupakan usaha yang dilakukan oleh anggota semasa hidupnya.

Berhubung dengan pemberian ex-gratia ini juga, Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan memutuskan (11 Februari 2011) dengan sebulat suara bahawa exgratia sejumlah RM2 juta yang dibayar kepada balu Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh adalah harta pusaka dan perlu dibahagikan mengikut hukum faraid. Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Syariah pada 1 April 2010 memutuskan bahawa ex-gratia kepada balu Allahyarham iaitu Puan Sri Siti Nurhayati Mohd Daud sebagai hibah (pemberian) (Utusan Malaysia 12 Februari 2011).

Berdasarkan kepada perbincangan sebelum ini dan keputusan kes Mahkamah Rayuan Syarian Wilayah Persekutuan mengenai ex-gratia, maka sewajarnya fatwa mengenai pampasan perlu disemak semula. Ini kerana ex-gratia juga ditakrifkan sebagai pampasan dan Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa ia adalah harta pusaka.

(4)

Gantian Cuti Rehat (GCR)

Cuti rehat yg tidak dapat dihabiskan dalam satu-satu tahun bekerja dan dikumpulkan sehingga maksimum 150 hari akan diganti dengan wang tunai apabila pekerja berkenaan bersara. Pembayaran dibuat berdasarkan formula 1/30 x (gaji akhir + imbuhan tetap) x jumlah cuti terkumpul (Perkara 3, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1993). Biasanya bayaran gantian cuti rehat dibayar dengan wang bersekali dengan ganjaran persaraan.

Perkara 5.1(b) Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1993 memperuntukkan bahawa bagi pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, bayaran kepada tanggungan pegawai berkenaan akan dibuat sekadar segera sebaik sahaja notis kematiannya diterima. Amalan yang ada menunjukkan ia bukan harta pusaka dan tidak diketegorikan sebagai harta pusaka kerana bayaran dibuat hanya kepada tanggungan si mati dan bukannya waris yang layak mendapat harta pusaka.

Namun demikian, bayaran gantian cuti rehat dibuat berdasarkan formula yang telah ditetapkan sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini maka sewajarnya ia dianggap sebagai harta pusaka. Ini kerana cuti rehat berkenaan telah wujud semasa seseorang pekerja berkenaan masih ada dan berterusan sehingga bersara. Setelah bersara, cuti rehat yang dikumpulkan itu dikira dan diganti dengan sejumlah wang, maka ia menjadi milik pesara tersebut. Apabila berlaku kematian sebelum bersara, cuti rehat tersebut juga dikira dan digantikan dengan wang. Apakah wang tersebut tidak boleh dikategorikan sebagai harta pusaka berdasarkan kepada ciri-cirinya yang telah wujud semasa hayat pekerja lagi? Oleh itu pihak berkuasa agama perlu mengeluarkan suatu fatwa yang dapat menjelaskan hal ini agar selari perjalanannya dengan hukum syarak (Wan Abdul Halim Wan Harun 2006).

(5)

Wang Ganjaran/Ganjaran Terbitan atau Wang Gratuiti

Ganjaran ialah pemberian kerajaan atau majikan kepada kakitangannya yang telah bersara atau dikehendaki bersara atau menamatkan perkhidmatannya dengan kerajaan. Pemberian atau bayaran akan dibuat secara sekaligus kepada anggota yang berpencen. Ganjaran atau gratuiti yang diberikan kepada seseorang itu dikira mengikut formula yang ditetapkan iaitu 7.5/100 x tempoh perkhidmatan (bulan) x gaji akhir. Wang bayaran akan menjadi milik anggota berkenaan selepas persaraan wajib.

Namun sekiranya seseorang itu meninggal dunia dalam perkhidmatan, ganjaran tersebut akan dikeluarkan kepada orang-orang tanggungannya yang dinamakan ganjaran terbitan. Orang yang layak menerima ganjaran terbitan ialah balu/duda, anak bawah 21 tahun yang belum berkahwin dan ibu. Jika si mati tidak meninggalkan orang-orang tersebut, maka ganjaran terbitan diberikan kepada wakil diri di sisi undang-undang bagi seseorang pegawai yang mati itu (Perkara 15, Peraturan-Peraturan Pencen 1980). Pembayarannya adalah tertakluk kepada Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-21 pada 12 September 1988 memutuskan bahawa ganjaran terbitan dan pencen terbitan tidak termasuk sebagai harta pusaka, maka kaedah pembahagiannya tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka. Walau bagaimanapun, fatwa ini terutamanya mengenai ganjaran terbitan perlu dikaji semula. Ini kerana ganjaran terbitan

yang diberikan bersangkutan dengan khidmat seseorang di dalam kerajaan. Jumlah bayaran yang akan diberikan kepada orang tanggungan berdasarkan kepada tempoh seseorang itu berkhidmat. Ini bermakna perkiraan tentang ganjaran terbitan sudah sedia ada dan jumlahnya sudah diketahui ketika seseorang itu berkhidmat lagi, begitu juga apabila berlaku kematian. Pada pandangan saya, ganjaran terbitan ini seharusnya dianggap sebagai harta pusaka sama seperti keputusan kes ex-gratia dan dibahagi-bahagikan kepada wariswaris yang berhak. Apatah lagi ganjaran terbitan ini tetap diberikan walaupun si mati tidak meninggalkan tanggungan. Namun demikian, bagi melancarkan perjalanan pembayaran ganjaran terbitan satu kajian semula ke arah penyemakan fatwa perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agama.

BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH DALAM PENENTUAN HARTA PUSAKA Secara umumnya, setelah meneliti tentang kedudukan Mahkamah Syariah dalam pentadbiran harta pusaka maka adalah jelas bahawa Mahkamah Syariah juga berbidang kuasa dalam menentukan sesuatu harta yang ditinggalkan oleh si mati sebagai harta pusaka atau tidak. Oleh itu, jika timbul pertikaian mengenai sesuatu harta itu sama ada harta pusaka atau pun tidak maka forum yang sesuai untuk menyelesaikannya adalah Mahkamah Syariah. Walaupun secara tersuratnya tidak terdapat peruntukan khusus dalam statut Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri, namun oleh kerana Mahkamah Syariah berbidang kuasa dalam menentukan waris-waris yang berhak dan bahagian masing-masing dalam Sijil Faraid atau Perintah Faraid, maka ia juga berbidang kuasa menentukan status sesuatu harta itu sama ada harta pusaka atau sebaliknya.

Keadaan ini telah dibuktikan dalam kes tuntutan harta pusaka Shaikh Dawood @ A.S Dawood Abdul Razak (meninggal pada 3 April 1989) yang bernilai RM1 bilion. Kes ini telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur di hadapan Hakim Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid pada 27 Julai 2005. Harta pusaka yang ditinggalkan adalah melibatkan 540,000 unit saham dalam Syarikat Pasla Holding Sdn. Bhd. dan 99.55 hektar tanah. Waris-waris yang terlibat adalah terdiri daripada 23 orang iaitu isteri pertama, kedua, ketiga, keempat dan 19 orang anak.

KESIMPULAN

Jelaslah pada hari ini kita dapat lihat bahawa pemilikan dan pemunyaan sesuatu harta itu tidak terbatas kepada harta alih dan tak alih yang berada dalam pemilikan secara langsung seseorang sahaja. Malah kini muncul pelbagai bentuk harta yang tetap diberikan selepas seseorang itu meninggal dunia, seperti imbuhan, pampasan, saguhati, gantian cuti rehat dan ganjaran terbitan.

Secara umumnya harta pusaka ialah harta yang dimiliki oleh seseorang semasa hidup dan kekal pemilikan tersebut sehingga dia meninggal dunia, dan seterusnya harta berkenaan akan diwarisi oleh waris-warisnya yang berhak berdasarkan hukum faraid. Dalam konteks ini, harta pusaka juga termasuk harta yang diperolehi selepas seseorang itu meninggal dunia tetapi dia telah berusaha untuk memilikinya semasa hidupnya, namun belum sempat harta berkenaan menjadi miliknya, dia telah meninggal dunia. Bertitik tolak dari takrifan harta pusaka inilah maka kewujudan sesuatu harta selepas kematian perlu dihubungkan dengan usaha seseorang dalam memperolehi harta berkenaan. Justeru terdapat beberapa jenis harta sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini perlu kepada suatu penjelasan yang konkrit sama ada ianya dianggap harta pusaka atau sebaliknya. Selain itu juga, hal berkenaan dengan penama wang KWSP jupa perlu diberi perhatian.

RUJUKAN Abdul Kadir Ismail. 1983. Sistem Pusaka Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Akta Pencen 1980 (Akta 227). Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239). Borang Penamaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Pindaan 21 September 2011. http://www.treasury.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1572%3A skim-ex-gratia-bencana-kerja&catid=151%3Abahagian-dasar-saraan-wang-awamdan-khidmat-pengu&Itemid=306&lang=my (1 Jun 2012) Ibrahim Talib. 2005. Harta suami: harta isteri caruman KWSP dan peruntukan undangundang berkaitan. Kertas kerja Seminar Mahkamah Syariah & Isu-isu Semasa Siri 2, Anjuran Persatuan Peguam Syarie Malaysia dengan Kerjasama Jabatan Syariah

& Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Bertempat di Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. 9 April. Mohd Zamro Muda & Mohd Ridzuan Awang. 2006. Undang-undang Pusaka Islam: Pelaksanaan di Malaysia. Bangi: Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1993. Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 13 Tahun 1994. Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 Tahun 2001. Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2008. Peraturan-Peraturan Pencen 1980. al-Ramli, Shihab al-Din. 1938. Nihayah al-Muhtaj. Juz. 6. Mesir: Maktabah Mustafa alBabi al-Halabi. Suhaida Abu Bakar. 2010. Penamaan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji (TH): Satu Kajian Menurut Undang-undang Islam. Disertasi Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Utusan Malaysia. 2011. 12 Februari. Wan Abdul Halim Wan Harun. 2006. Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like