You are on page 1of 20

PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN: SUATU PENTAFSIRAN DAN TINJAUAN MENGENAI PENDEKATAN SERTA PELAKSANAANNYA DALAM SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA*

(Oleh: Ahmad Fauzi bin Mohamed)

PENGENALAN Y.A.B. Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia semasa memperkenalkan Wawasan 2020 di Persidangan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28hb. Februari, 1991 telah mencetuskan hasrat untuk meningkatkan status negara Malaysia daripada sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara perindustrian yang maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Dalam perkembangan berkaitan, Y.A.B Perdana Menteri telah menegaskan: "Daripada pengalaman yang menakjubkan selama dua dasawarsa yang lalu di kalangan semua negara yang dulunya terbatas 'sumber alamnya', maka amatlah jelas bahawa sumber yang paling utama bagi sesebuah negara adalah bakat, kemahiran, daya cipta dan daya usaha rakyatnya. Tenaga otak kita adalah sumber yang jauh lebih berharga daripada sumber alam. Rakyat adalah sumber kita yang paling utama. Tanpa ragu-ragu lagi, pada tahun 1990-an dan seterusnya Malaysia mestilah memberi perhatian yang sepenuhnya terhadap pembangunan sumber yang amat penting ini. (Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 20-21) Matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 boleh dilaksanakan melalui pembangunan sumber manusia yang lengkap, seimbang dan bersepadu. Proses pembangunan sumber manusia juga mestilah bersifat total atau menyeluruh. Dengan lain perkataan, kita mestilah memastikan bahawa tidak ada manamana golongan di dalam negara kita yang tercicir atau diabaikan dalam proses tersebut dan menurut Y.A.B Perdana Menteri: "Dalam pembangunan sumber tenaga manusia, kita tidak harus mengabaikan separuh jumlah penduduk kita, yakni golongan Bumiputra. Jika golongan ini tercicir, jika kemungkinankemungkinan yang ada pada mereka tidak diperkembangkan, jika

mereka dibiarkan menjadi rintangan terhadap pertumbuhan kebangsaan kita, maka kemajuan kita pastilah akan pincang. (Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21-22) Wadah utama kepada pembangunan sumber manusia pula sudah pasti sebahagian besarnya bergantung kepada sistem pendidikan negara. Dengan lain perkataan, apabila kita memperkatakan tentang isu pembangunan sumber manusia, maka mahu ataupun tidak kita mesti menyentuh tentang sistem pendidikan negara. Untuk mencapai matlamat pembangunan sumber manusia yang yang lengkap, seimbang, bersepadu dan menyeluruh, maka sistem pendidikan juga mestilah berupaya menyediakan peluang yang secukupnya kepada semua lapisan rakyat. Apabila kita berbicara mengenai isu peluang dalam pendidikan, maka kita sebenarnya telah menyentuh tentang pendemokrasian dalam pendidikan. Esei ini secara ringkas akan cuba menyentuh, mentafsir dan membicarakan mengenai pendemokrasian pendidikan. Beberapa isu lain yang bersangkutan dengannya meliputi kepentingan serta pendekatan, pelaksanaan dan amalannya di dalam sistem pendidikan di Malaysia akan turut dihuraikan terutamanya yang berkaitan dengan hasrat dan cita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara maju seperti apa yang diungkapkan dalam Wawasan 2020. DEFINISI PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN Agak rumit bagi kita untuk memberi pengertian ungkapan pendemokrasian pendidikan kerana skopnya amat luas dan agak subjektif. Pendemokrasian yang berasal daripada perkataan demokrasi mempunyai beberapa definisi dan membawa pengertian yang amat luas. Menurut Shaik Mohd. Noor Alam S.M. Hussain (1993) terlalu banyak pengertian telah diberikan oleh ahli kaji politik dan sosiologi sehinggakan istilah demokrasi menimbulkan lebih banyak kekeliruan daripada menampilkan suatu kepastian pengertian yang perlu ada pada sesuatu doktrin yang boleh dijadikan asas serta penentuan bukan sahaja bagi pembentukan kerajaan tetapi juga sebagai satu rangka budaya pentadbiran sesebuah negara. Namun begitu, pengertian demokrasi yang akan dijadikan

asas dan premis perbincangan berkaitan dengan isu yang akan diutarakan ialah "social equality and respect for the individual.1 Pendidikan pula bolehlah diertikan sebagai "the knowledge or skill obtained.2 Walau bagaimanapun dalam mendefinisikan pendidikan dalam konteks negara kita, rujukan terbaik haruslah berdasarkan kepada apa yang telah diungkapkan di dalam Falasafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi teras dan tonggak kepada pembangunan sistem pendidikan negara iaitu: "Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. (Akta Pendidikan, 1996) Berdasarkan definisi-definisi yang tersebut di atas, pendemokrasian dapatlah dikonotasikan sebagai prinsip-prinsip kesamarataan hak-hak sosial setiap individu yang menganggotai sesuatu masyarakat. Manakala pendidikan pula yang dikaitkan dengan satu usaha adalah merupakan satu proses mendidik atau dididik (the act or process of educating or being educated) untuk memanusiakan manusia. Apabila kita

memperkatakan tentang usaha mendidik dan dididik, ia pula berkait rapat dengan proses yang berkaitan dengan pengajaran dan pemelajaran (the field of study concerned with teaching and learning). Justeru itu, secara `simplistic' dapatlah disimpulkan bahawa pendemokrasian pendidikan adalah persamaan hak yang sama rata bagi setiap individu dalam proses
1

Microsoft Encarta 97 Encyclopedia. 1993-1996 Microsoft Corporation. All rights reserved. Microsoft Encarta 97 Encyclopedia. 1993-1996 Microsoft Corporation. All rights reserved.

pengajaran dan pemelajaran yang disediakan oleh sesuatu sistem pendidikan di sesebuah negara. Ini secara langsung bermaksud tidak harus wujud sebarang diskriminasi dalam bidang atau sektor pendidikan di semua peringkat individu atau masyarakat. KONSEP PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN Apabila kita memperkatakan tentang pendemokrasian pendidikan sebagai persamaan hak yang sama rata bagi setiap individu dalam proses pendidikan, maka secara mudahnya apa yang dimaksudkan ialah pendidikan untuk semua. Namun begitu, untuk menjamin sistem pendidikan negara mampu menyumbang dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020, maka seharusnyalah konsep pendemokrasian pendidikan di Malaysia dilihat dari skop yang lebih luas. Pendemokrasian pendidikan yang dimaksudkan bukanlah sekadar

pendemokrasian sahaja tetapi ialah persamaan hak yang sama rata dari segi peluang mendapat pendidikan yang bermutu (democratization of access to quality education). Justeru itu, pendemokrasian pendidikan dari segi konsepnya adalah berkait rapat dengan peluang serta mutu keseluruhan proses pendidikan dan melibatkan di semua peringkat pendidikan. Konsep pendidikan untuk semua bukanlah sekadar meliputi peluang yang sama untuk mendapat pendidikan semata-mata tetapi pendemokrasian pendidikan yang dihajati haruslah juga merangkumi peluang bagi semua individu untuk mendapat pendidikan yang berkualiti. Dengan lain perkataan, tidak harus wujud sebarang perbezaan dan diskriminasi di mana-mana peringkat masyarakat dari segi peluang dan mutu dalam pelaksanaan sistem pendidikan pendidikan negara. Menurut Nor Aziah bt. Alias dan Azni Zain bt. Ahmed (1995) pendidikan seharusnya merangkumi dan terbuka kepada segenap lapisan masyarakat, bukan sahaja dari segi geografi bahkan juga dari segi golongan jenis dan sektor ekonomi. Oleh yang demikian, sistem pendidikan haruslah memastikan tidak ada manamana golongan di negara ini yang tercicir dari memperolehi peluang untuk mendapat

pendidikan yang bermutu kerana jika keadaan sedemikian berlaku maka kemajuan yang akan kita kecapi pada tahun 2020 nanti pastinya menjadi pincang. Secara `simplistic' dapatlah disimpulkan bahawa dari segi konsepnya pendemokrasian pendidikan adalah berkaitan dengan keupayaan dan kemampuan sistem pendidikan negara kita dalam menyediakan peluang untuk menikmati pendidikan yang bukan sahaja luas tetapi juga adil, saksama serta bermutu untuk semua lapisan rakyat Malaysia. KEPENTINGAN ISU PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN Secara umumnya, isu pendemokrasian pendidikan adalah penting kepada semua lapisan masyarakat baik mereka yang terlibat secara langsung mahupun mereka yang berada di luar sistem pendidikan. Kepada para pengurus pendidikan, isu ini penting untuk dijadikan asas dan sandaran dalam membuat perancangan. Para pengurus atau pentadbir pendidikan perlu merancang bagaimana matlamat yang telah ditetapkan dapat dicapai. Dalam hal ini matlamat pendidikan adalah jelas iaitu mestilah berlandaskan kepada apa yang terkandung di dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dan apa yang tersirat di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perancangan dan penyelenggaraan sumber-sumber secara berkesan dan saksama akan memastikan agenda pendemokrasian pendidikan diteruskan seadilnya dari segi peluang dan pendidikan mutu di semua peringkat pendidikan. Oleh kerana pendidikan adalah sebenarnya milik masyarakat, maka isu pendemokrasian pendidikan turut penting kepada semua golongan masyarakat. Kepada masyarakat umum isu ini penting dalam memberi kesedaran tentang kepentingan dan keperluan pendidikan terutamanya dalam aspek pendemokrasian. Ini bertujuan untuk meningkatkan keprihatinan mereka terhadap perkembangan terkini dan seterusnya menimbulkan minat terhadap pendidikan secara amnya dan khususnya terhadap pendidikan anak-anak mereka. Dengan ini adalah diharapkan agar wujudnya perkongsian idea dalam menangani pelbagai masalah pendidikan. Justeru itu, masyarakat umum dapat menjadi penyumbang terhadap maklum balas terhadap keberkesanan pelaksanaan sistem pendidikan.

Isu ini juga penting kepada seluruh warga pendidikan khususnya mereka yang berada di peringkat akar umbi iaitu di sekolah-sekolah. Golongan inilah sebenarnya merupakan barisan hadapan di dalam menentukan kejayaan pelaksanaan sesuatu perancangan. Dalam konteks pendemokrasian pendidikan, guru-guru haruslah sentiasa memahami bahawa kewujudan mereka adalah bukan sekadar mengajar tetapi yang utama ialah menyediakan peluang kepada anak didik mereka untuk menikmati pendidikan berkualiti tanpa mengira batas-batas sosio-ekonomi, sempadan-sempadan geografi ataupun perbezaan politik. Memahami isu ini bererti para pendidik haruslah menginsafi bahawa peranan mereka adalah memastikan para pelajar mereka memperolehi persamaan hak yang sama rata dari segi peluang mendapat pendidikan yang bermutu sama seperti rakan-rakan mereka yang lain baik di dalam daerah, negeri, negara atau di peringkat dunia. Untuk itu, haruslah timbul kesedaran di kalangan para pendidik untuk terus menerus mengemaskini ilmu pengetahuan, meningkatkan kepekaan dan sentiasa berusaha memperbaiki serta menyesuaikan metodologi pengajaran selaras dengan keperluan masyarakat dan tuntutan semasa khasnya dalam arus perkembangan teknologi maklumat yang semakin kuat melanda dunia pada hari ini. Isu pendemokrasian pendidikan juga adalah penting kepada para pelajar khususnya dalam menimbulkan kesedaran dalam jiwa mereka tentang peluang yang luas yang disediakan oleh sistem pendidikan negara. Adalah diharapkan dengan kesedaran tersebut mereka akan untuk berlumba-lumba mencapai kecemerlangan. Mereka juga harus sedar tentang kepentingan pendidikan untuk masa depan diri serta kepentingannya dalam menentukan kelangsungan atau kesinambungan kegemilangan negara. PENDEKATAN & PELAKSANAAN PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN Pendekatan dan pelaksanaan pendemokrasian pendidikan dalam sistem

pendidikan di negara kita kebanyakannya adalah didorong oleh reformasi-reformasi pendidikan. Justeru itu, dari segi pendekatan, pelaksanaan serta amalannya, reformasireformasi pendidikan dalam sistem pendidikan negara selama ini adalah juga merupakan salah satu isu yang berkait amat rapat dengan pendemokrasian pendidikan. Dalam

perkembangan yang sama, Wan Mohd. Zahid bin Mohd. Noordin (1993) menegaskan bahawa: "Reformasi Pendidikan juga telah menyediakan ruang untuk kita melaksanakan pendemokrasian pendidikan. (Pendidikan Profesional, 1993 hal.2) Dalam lipatan sejarah pendidikan negara, sistem pendidikan kita telah mengalami beberapa kali reformasi terutamanya selepas negara mencapai kemerdekaan. Sejak sistem kebangsaan yang dibentuk berasaskan perakuan-perakuan Penyata Razak (1956), Penyata Rahman Talib (1960) dan Akta Pelajaran (1961), beberapa perkembangan telah berlaku sehingga kajian semula perlu dibuat ke atas sistem tersebut dari semasa ke semasa. Umpamanya pada tahun 1979, Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah membuat beberapa perakuan penting ke arah memperkemaskan pelaksanaan sistem pendidikan kita. Begitu juga halnya dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan kemudiannya diikuti dengan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Sesungguhnya, reformasi dalam pendidikan adalah perkara biasa kerana sistem pendidikan bukanlah sesuatu yang statik. Sistem pendidikan yang berwibawa dan responsif mestilah bersifat dinamis iaitu sentiasa berkembang dan berada di dalam keadaan terkini selaras dengan peredaran masa dan keperluan zaman. Dengan lain perkataan, tujuan reformasi adalah untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi kemampuan sistem pendidikan untuk memenuhi keperluan semasa dan cabaran masa muka. Maksud memperbaiki dan meningkatkan lagi kemampuan sistem pendidikan dalam konteks reformasi pendidikan sebenarnya adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi peluang serta mutu pendidikan. Dengan lain perkataan, reformasi pendidikan adalah berkaitan dengan keupayaan dan kemampuan sistem pendidikan negara kita dalam menyediakan peluang pendidikan yang adil, saksama serta berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.

Apakah telah wujud apa yang dikatakan pendemokrasian pendidikan di dalam sistem pendidikan di negara kita? Secara ringkasnya, ramai pakar yang terlibat dengan sistem pendidikan mengakui bahawa pendemokrasian pendidikan sememangnya telah wujud. Malaysia yang dikatakan sebagai sebuah negara yang mempunyai salah satu sistem pendidikan yang terbaik di Dunia Ketiga diakui mengamalkannya. Isu pendemokrasian pendidikan di Malaysia khususnya dari segi peluang dan mutu atau kualiti pendidikan dapat dilihat atau dikesan beberapa aspek pendekatan, perlaksanaan dan amalan seperti berikut: Sistem Pendidikan Secara amnya sistem pendidikan negara dapat dikategorikan kepada beberapa peringkat. Peringkat-peringkat tersebut adalah peringkat Rendah yang memakan masa enam tahun, peringkat Menengah yang dibahagikan kepada peringkat Menegah Rendah selama tiga tahun, peringkat Menengah Atas selama dua tahun dan peringkat Tingkatan Enam selama dua tahun. Ini diikuti dengan peringkat Pendidikan Tinggi yang terdiri dari dua jenis institusi iaitu maktab dan universiti. Peringkat-peringkat pendidikan tersebut boleh diklasifikasikan atau dipecahpecahkan lagi kepada beberapa jenis. Pendidikan Rendah contohnya terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu (1) Sekolah Kebangsaan; (2) Sekolah Rendah Kebangsaan; dan (3) Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) dan (Tamil). Begitu juga dengan Pendidikan Menengah juga dapat dibahagi kepada berberapa kategori iaitu Sekolah Menengah Biasa, dan Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional. Disamping itu juga, dalam sistem pendidikan Malaysia terdapat institusi-insitusi pendidikan swasta dan kini ianya meliputi semua peringkat pendidikan. Sistem pendidikan di Malaysia juga membenarkan penubuhan Sekolah Agama Rakyat iaitu warisan dari Sistem Pondok sebagai pilihan untuk mendapatkan pendidikan. Ada juga segelintir mempertikaikan perbezaan-perbezaan ini terutamanya peringkat Pendidikan Rendah kerana sistem pendidikan sedemikian dikatakan tidak menggambarkan satu bentuk pendidikan nasional. Isu tersebut tidak harus ditimbulkan

sekiranya kita dengan penuh sedar dan fahami bahawa semua perbezaan tersebut adalah selaras dengan pendekatan dan pelaksanaan agenda pendemokrasian pendidikan. Perkara ini dapat difahami dengan jelas dan mudah jika kita mengambil kira kedudukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbagai kaum. Perlulah ditegaskan bahawa walaupun terdapat perbezaan-perbezaan, namun dari segi pelaksanaannya semua Pendidikan Rendah masih berdasarkan dasar pendidikan yang sama dan mengamalkan kurikulum yang serupa. Dalam konteks yang sama, sistem pendidikan yang sedia ada tidak juga melupakan atau mengabaikan kanak-kanak daripada golongan istimewa. Dengan lain perkataan, kanak-kanak daripada golongan buta, cacat pendengaran dan bisu, serta kanak-kanak down syndrome juga berpeluang mendapat pendidikan di negara ini. Namun yang masih menjadi isu ialah kanak-kanak golongan terpaksa mengikuti kurikulum yang sama serta menduduki peperiksaan awam yang setaraf dengan rakanrakan mereka yang normal walaupun kemampuan mereka adalah lebih rendah. Begitu juga halnya dengan institusi-institusi pendidikan swasta begitu ketara kewujudannya pada masa kini. Peningkatan bilangan berbagai instiusi pendidikan swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan pada akhir-akhir ini serta keupayaannya menawarkan berbagai kursus dan bidang pengajian juga adalah sebenarnya merupakan sebahagian daripada agenda pendemokrasian pendidikan. Sesungguhnya peluang dan kemudahan-kemudahan pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan swasta pada hari ini adalah merupakan kesinambungan dan pelengkap kepada sistem pendidikan yang sedia ada. Namun begitu, apa yang membimbangkan ialah wujudnya petanda-petanda perbezaan yang ketara dan jelas dari segi peluang dan kualiti pendidikan di antara institusi pendidikan swasta berbanding institusi pendidikan kerajaan. Meskipun dapat difahami bahawa kewajipan dan kos untuk kerajaan untuk memperlengkapkan keseluruhan institusi pendidikannya agar setanding dengan institusi pendidikan swasta adalah jauh lebih besar, namun ini tidaklah harus dijadikan alasan untuk menghalalkan apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Begitu juga dengan langkah meningkatkan bilangan pelajar di universiti-universiti tempatan mulai sesi pengajian Mei 1998 adalah merupakan langkah memantapkan pendemokrasian sistem. Pertambahan bilangan pelajar bermaksud lebih ramai warga negara yang layak akan diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan. Namun begitu, dalam pelaksanaannya haruslah dipastikan bahawa garduan yang bakal dihasilkan nanti selain dari mampu memenuhi pasaran pekerjaan tempatan adalah benar-benar berkualiti untuk menghadapi daya saing di peringkat global. Pendidikan Untuk Semua Sama sekali tidak dapat dinafikan bahawa dari segi pendekatan dan pelaksanaannya sistem pendidikan di Malaysia sememangnya diwujudkan untuk semua iaitu merangkumi segenap golongan masyarakat tanpa mengira batas sosial, ekonomi, politik ataupun perbezaan geografi. Menurut Wan Mohd. Zahid bin Mohd. Noordin (1993): " ruang untuk kita melaksanakan pendemokrasian pendidikan dengan makna bahawa setiap anak bangsa kita, khususnya anakanak daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah, anakanak di luar bandar dan pendalaman, memperolehi pendidikan berkualiti. (Pendidikan Profesional, 1993 hal. 2) Berdasarkan pernyataan tersebut jelas sekali bahawa dari segi pendekatan dan pelaksanaannya dalam aspek pendidikan untuk semua, pendemokrasian pendidikan memerlukan pengagihan peruntukan kewangan dan sumber secara adil dengan memberi tumpuan khusus kepada kawasan luar bandar di Semenanjung, kawasan pendalaman di Sabah dan di Sarawak serta kawasan-kawasan yang sesak dan miskin di bandar-bandar. Dengan lain perkataan, sistem pendidikan kita tidak pernah mengabaikan atau meminggirkan mana-mana golongan masyarakat khususnya untuk mendapat pendidikan yang bermutu. Selain daripada pendidikan percuma atau tidak dikenakan apa-apa bayaran, beberapa langkah sokongan yang lain telah diwujudkan bertujuan memantapkan pelaksanaan agenda pendemokrasian pendidikan dalam aspek ini, Bantuan buku-buku teks melalui Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Rancangan Makanan Tambahan (RMT)

dan pemberian biasiswa oleh Kementerian Pendidikan atau lain-lain agensi bagi mereka yang layak diadakan bertujuan agar kemiskinan tidak dijadikan alasan untuk seseorang itu tidak bersekolah. Namun begitu, sekali sekala kita dapati masih ada kanak-kanak di sana sini tidak dapat meneruskan persekolahan atau terpaksa berhenti bersekolah kerana desakan hidup keluarga. Fenomena ini amat sukar difahami terutamanya setelah 40 tahun negara mencapai kemerdekaan lebih-lebih lagi dalam usaha kita menjadikan negara kita sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Adalah lebih janggal wujudnya situasi sedemikian apabila kita sedang mengimpikan pendidikan bertaraf dunia. Sebenarnya isu sebegini tidak harus timbul dalam era ini jika pihak-pihak pelaksana sistem pendidikan terutamanya di peringkat akar umbi iaitu di sekolah-sekolah lebih peka dan memahami tentang agenda pendemokrasian pendidikan. Pendidikan Sarwajagat Isu pendidikan untuk semua juga berkait rapat dengan aspek pendidikan sarwajagat atau pendidikan universal. Pendidikan sarwajagat adalah berkaitan dengan had umur seseorang kanak-kanak untuk mendapat pendidikan formal. Dari segi sejarahnya, had umur bagi setiap individu untuk mendapat pendidikan formal semakin diperluaskan. Perluasan ini adalah bertujuan memenuhi keperluan semasa dan cabaran masa muka. Pendekatan dan pelaksanaan pendemokrasian pendidikan dalam aspek pendidikan sarwajagat mendapati bahawa mulai pada tahun 1965 telah dilaksanakan sistem pendidikan komprehensif. Semua pelajar secara automatis meningkat dari sekolah rendah ke Tingkatan Satu dan pendidikan sarwajagat diperluaskan dari enam tahun kepada sembilan tahun iaitu hingga ke Tingkatan Tiga di mana Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Lower Certificate of Education (LCE) dan kini dikenali sebagai Penilaian Menengah Rendah (PMR) dijadikan sebagai sekatan atau sempadan. Keputusan peperiksaan tersebut dijadikan kayu pengukur untuk melayakkan seseorang individu meneruskan pendidikan. Hanya yang melepasi piawai yang ditetapkan sahaja yang layak ke Tingkatan Empat dan seterusnya ke Tingkatan Lima.

Bagi meneruskan agenda pendemokrasian pendidikan, kini pendidikan sarwajagat telah dilanjutkan kepada 11 tahun walaupun bukan secara automatis, iaitu dengan meletakkan syarat yang jauh lebih mudah dan longgar dari sebelumnya. Kini, dengan keputusan yang paling minimum seseorang pelajar boleh meneruskan pendidikan formalnya ke Tingkatan Empat walaupun dengan keputusan yang tersebut beliau sebelum ini dikira tidak layak ke Tingkatan Empat dan langkah pelaksanaan ini adalah selaras dengan dengan perakuan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran, 1979. Seperti biasa dari segi pendekatan dan pelaksanaannya, terdapat beberapa isu lain yang berbangkit. Antaranya ialah pertambahan bilangan kelas dan guru berbanding dengan sebelumnya dan perkara ini sebenarnya bukanlah satu masalah yang besar dan telahpun dapat diatasi. Namun begitu, terdapat dua isu yang agak besar yang menjadi cabaran dan harus ditangani oleh sistem pendidikan. Pertama, ialah kesanggupan dan kesungguhan para pelajar yang memperolehi kelulusan yang minimum itu sendiri untuk meneruskan pelajaran; dan kedua ialah masalah kualiti pelajar. Masalah kesanggupan para pelajar untuk meneruskan pelajaran timbul akibat tarikan peluang pekerjaan yang agak luas terutamanya yang ditawarkan oleh sektor perkilangan. Tawaran gaji yang agak lumayan serta lain-lain insentif yang menarik serta syarat-syarat kelayakan permohonan yang rendah memindahkan minat mereka daripada meneruskan pelajaran. Bagi segelintir, terutama yang menganggap diri mereka tidak mempunyai harapan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia masa dua tahun tahun yang mereka terpaksa habiskan untuk meneruskan pendidikan adalah sia-sia berbanding dengan pendapatan yang akan diperolehi jika mereka bekerja. Masalah kualiti pelajar yang meneruskan pelajaran ke Tingkatan Empat pula sering dikaitkan dengan peratus keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Adalah menjadi anggapan umum bahawa para pelajar dengan kelulusan yang minimum ini akan menarik turun peratus kelulusan sesebuah sekolah. Kebimbangan di kalangan warga sesebuah sekolah dalam perkara ini adalah wajar kerana kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah itu sering diukur berdasarkan peratus kelulusan dalam sesuatu peperiksaan. Namun begitu, para pengurus dan pentadbir kurikulum terutamanya di

peringkat sekolah-sekolah haruslah melihat ini sebagai satu peluang dan bukannya sebagai satu masalah. Kemudahan dan Infrastruktur Apabila kita memperkatakan tentang pendemokrasian pendidikan sebagai persamaan dari segi peluang dan mutu pendidikan maka kemudahan dan prasarana atau infrastruktur pendidikan juga haruslah seimbang di antara semua sekolah. Contohnya, seharusnya tidak wujud perbezaan yang ketara di antara sekolah berasrama penuh dengan sekolah-sekolah biasa dan khususnya di antara sekolah-sekolah di bandar dan di luar bandar. Banyak perkara yang berkait dengan kemudahan dan infrastruktur pendidikan iaitu seperti kemudahan-kemudahan untuk proses pengajaran dan pemelajaran, asrama, Pusat Sumber Sekolah, komputer, tenaga pengajar yang berkualiti, sukan dan sebagainya. Dalam perkembangan berkaitan, usaha memperbaiki prasarana pendidikan luar bandar diteruskan umpamanya dengan membina asrama desa di setiap daerah, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan pendalaman. Daripada segi kemudahan dan infrastruktur pendidikan luar bandar, Malaysia boleh dikatakan di antara negara membangun yang mencatat rekod yang cemerlang. Namun begitu, ini tidaklah pula bermakna kita harus cepat berpuas hati kerana kita tidak wajar mencatat rekod kejayaan berbanding dengan negara-negara yang lebih mundur dan dhaif. Sebenarnya apabila kita katakan pendemokrasian, kita harus juga melihatnya daripada segi perbandingannya dengan negara-negara yang lebih maju sekurangkurangnya berbanding dengan negara-negara maju di rantau ini. Pendidikan Bertaraf Dunia Sememangnya Malaysia telah diakui dan boleh dikatakan di antara negara membangun yang mencatat rekod yang cemerlang dalam bidang pendidikan. Namun begitu, apabila kita katakan pendemokrasian, kita tidak seharus melihatnya dari segi skop perbandingan di antara bandar dan luar bandar atau sekadar bersifat dalam negara semata-mata. Skop perbandingannya haruslah lebih luas dan lebih global sebagai

memenuhi cabaran semasa serta matlamat dan tuntutan sistem pendidikan sebagai wadah pembangunan negara bangsa dan ke arah pembentukan sebuah negara maju. Dalam perkembangan berkaitan, Y.A.B. Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad menegaskan: "Malaysia mempunyai salah satu sistem pendidikan yang terbaik di Dunia Ketiga. Namun sebagai bekal kita mengharungi perjalanan kepada generasi yang kedua ini, piawaian yang baru hendaklah ditetapkan dan matlamat baru hendaklah dicapai. (Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21) Justeru itu, pendekatan, pelaksanaan dan amalan pendemokrasian pendidikan haruslah dinilai dengan membuat perbandingan dengan negara-negara yang lebih maju. Jika kita enggan melihat tahap pencapaian negara kita berbanding dengan negara-negara tersebut, kita akan menjadi lebih jumud, terkongkong dalam kepompong atau cocoon serta terselubung dan terselindung seperti kata pepatah Melayu hidup bagai katak di bawah tempurung. Isu ini sebenarnya adalah selaras dengan hasrat negara untuk mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang berkualiti dan bertaraf dunia. Pendidikan Berkualiti Apabila kita menyatakan isu pendidikan bertaraf dunia, maka kita tidak dapat lari dari memperkatakan tentang pendidikan berkualiti. Pendidikan berkualiti di semua peringkat pendidikan adalah merupakan antara ciri utama yang akan menentukan taraf sesuatu sistem pendidikan. Dalam perkembangan berkaitan, Y.B. Dato Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia, semasa Persidangan Pendidikan Nasional Ke-4, di Institut Aminuddin Baki pada 5hb. Ogos 19963 telah menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat mewujudkan satu sistem pendidikan berkualiti yang bertaraf dunia. Demi mencapai matlamat strategik tersebut, Kementerian Pendidikan perlu menambahbaikkan sistem pendidikan, kurikulum, profesion pendidikan, kemudahan

Seperti yang terdapat dalam kertas kerja Seminar Keguruan Abad 21 anjuran Institut Perguruan Darulaman yang diadakan di Dewan Ibnu Khaldun, Institut Perguruan Darulaman pada 16 November, 1996.

fizikal dan kelengkapan serta keefisienan pengurusan. Justeru itu, di antara fokus strategik yang perlu diberi penekanan adalah memperkukuhkan pendemokrasian pendidikan. Oleh yang demikian, dari segi pendekatan, pelaksanaan dan amalannya maka pendemokrasian pendidikan perlulah diperkukuhkan dengan memastikan setiap kanakkanak dalam lingkungan umur persekolahan menerima pendidikan yang berkualiti tanpa mengira tahap sosio-ekonomi, keadaan fizikal dan tempat tinggal sekurang-kurangnya untuk tempoh 11 tahun. Pendemokrasian pendidikan juga haruslah memastikan sistem pendidikan memperluaskan peluang pendidikan berterusan untuk setiap penduduk. Pendidikan Berterusan Seperti yang dinyatakan di atas, pendemokrasian pendidikan juga haruslah berperanan memastikan yang sistem pendidikan memperluaskan peluang pendidikan berterusan. Pendidikan berterusan sebagai sebahagian sentuhan konsep pendidikan seumur hidup bermaksud peluang untuk mendapat dan meneruskan pendidikan setiap penduduk tanpa mengira tahap umur. Dengan lain perkataan, setiap individu tanpa mengira batas usia masih disediakan peluang yang sewajarnya untuk menyambung pendidikan khususnya selepas tamat mengikuti pendidikan wajib selama sembilan atau 11 tahun seperti apa yang terkandung dalam sistem pendidikan sekarang. Dalam perkembangan yang berkaitan, adalah didapati bahawa dari segi pendekatan dan pelaksanaan pendemokrasian dari sudut peluang untuk pendidikan berterusan pada masa kini adalah semakin baik malah jauh lebih baik berbanding perkembangannya sedekad yang lalu. Contohnya, hari ini pendidikan jarak jauh semakin diperluaskan dan menjadi sesuatu yang agak lumrah. Hari ini sudah kedengaran pendidikan jarak jauh untuk peringkat ijazah sarjana. Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat pada masa kini adalah diharapkan pendidikan jarak jauh yang mempunyai ciri istimewa dari segi kelonggaran masa dapat dijadikan wadah dalam menyediakan peluang untuk pendidikan berterusan khususnya bagi kalangan mereka yang sudah bekerja tetapi masih berminat dan berkemampuan untuk meneruskan pelajaran demi untuk meningkatkan taraf pendidikan mereka.

Sekolah Asrama Penuh Salah satu lagi usaha rancangan bagi pendemokrasian pendidikan ialah penubuhan sekolah-sekolah menengah asrama penuh. Matlamat utama penubuhannya ialah untuk menyediakan peluang untuk menikmati pendidikan yang berkualiti khususnya kepada pelajar-pelajar yang berpotensi dan cemerlang dari kalangan anak-anak keluarga miskin dan daif dari luar bandar. Contohnya Sekolah Menengah Sains Cheras telah dijadikan sebuah sekolah asrama penuh bagi anak-anak keluarga miskin. Walau bagaimanapun, kuota diadakan bagi memastikan bahawa majoriti pelajarpelajar yang dibawa masuk ke sekolah-sekolah asrama penuh lainnya adalah daripada kalangan anak-anak keluarga miskin. Semasa Allahyarham Tun Abdul Razak melaksanakan program ini, pembinaan sekolah berasrama penuh dihubungkan dengan program pembangunan luar bandar, dengan kemudahan bagi anak-anak yang paling cerdik dari beberapa sekolah tertentu, dan dihubungkan juga dengan kemudahan bagi anak-anak miskin. Jumlah selebihnya dikhaskan kepada pelajar yang memperolehi prestasi akademik dan kokurikulum yang cemerlang tanpa mengira latar belakang keluarga. Matlamat dan dasar asal program perlu dikekalkan dengan memberikan peluang kepada pelajar terbaik berdasarkan merit manakala sejumlah besarnya dikhaskan

kepada pelajar-pelajar daripada keluarga miskin. Ada yang membidas bahawa pelaksanaan prinsip pendemokrasian sekolah berasrama penuh, maktab perguruan dan universiti dengan mengatakan pelaksanaan sedemikian bermakna kita terus-menerus melayan mediocrity atau kesederhanaan. Dalam konteks ini, pendemokrasian bererti memperlahankan keadilan. Ada pula yang membicarakan tentang merit dan mediocrity terlepas sama sekali daripada perhitungan sama ada orang di kawasan pendalaman dan orang yang miskin terbela atau tidak. Ada juga pihak-pihak yang menuntut supaya kita mengetepikan soal keadilan sosial dan menekankan perhitungan merit iaitu perhitungan berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata. Ini adalah pandangan yang mengaibkan kerana sesungguhnya tidak ada negara yang mempertahankan prinsip demokrasi dan keadilan yang sama sekali

mengetepikan kepentingan masyarakat luar bandar, masyarakat susah dan masyarakat miskin. Oleh yang demikian, dasar pendemokrasian pendidikan yang sedia ada haruslah dikekalkan. Walau bagaimanapun, kita perlu menekankan, terutama kepada anak-anak bumiputra, bahawa dasar ini tidak sekali-kali bererti mempertahankan kesederhanaan atau mediocrity dalam bidang pencapaian akademik. Sebaliknya mereka mestilah berusaha mengejar kecemerlangan. Sasaran Kerja Utama Kementerian Pendidikan Malaysia Isu pendemokrasian pendidikan juga telah diungkapkan di dalam Sasaran Kerja Utama Kementerian Pendidikan Malaysia. Sasaran Kerja Utama Kementerian Pendidikan dimantapkan dalam Pelan Tindakan Sasaran 1996 di semua peringkat pengoperasian iaitu di keseluruhan peringkat organisasi pendidikan; Kementerian, Jabatan-Jabatan

Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah/Bahagian dan sekolah-sekolah. Dari segi kedudukannya, pendemokrasian pendidikan bolehlah dikatakan diberi prioriti kerana isu tersebut merupakan senarai teratas dalam Sasaran Kerja Utama Kementerian Pendidikan Malaysia. Sasaran Kerja Utama tersebut merupakan matlamat yang hendak dicapai oleh Kementerian Pendidikan dalam bidang pendidikan menjelang tahun 2000. Termaktub dalam Sasaran Kerja Utama tersebut beberapa tumpuan utama dan sasaran yang perlu dicapai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam aspek pendemokrasian pendidikan menjelang tahun 2000. Tumpuan utama yang pertama ialah menentukan tiada pelajar buta huruf dalam Sistem Pendidikan Negara. Adalah agak ganjil isu buta huruf masih wujud sedangkan telah hampir 15 tahun pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang dikenalpasti berorentasikan 3M (Membaca, Menulis dan Mengira). Masalah buta huruf sewajarnya tidak berlaku apa lagi ianya disokong oleh aktiviti pemulihan. Kegagalan mewujudkan 100% celik huruf bermaksud kegagalan pendemokrasian dalam sistem pendidikan kita.

Tumpuan utama yang kedua yang termaktub dalam Sasaran Kerja Utama ialah mewujudkan Pendidikan Universal sehingga ke peringkat Menengah Atas. Perkara ini sudah mula diperkembangkan iaitu dengan melonggarkan syarat kelulusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah sebelumnya ke tahap yang paling minimum bagi membolehkan lebih ramai pelajar meneruskan pendidikan ke peringkat Menengah Atas. Tumpuan utama seterusnya dalam aspek pendemokrasian pendidikan ialah menyediakan bilik darjah dan guru terlatih yang mencukupi selaras dengan pertambahan penduduk. Dalam konteks menyediakan guru terlatih yang mencukupi, adalah menjadi hasrat kementerian untuk untuk mewujudkan 100% guru siswazah di semua sekolah menengah menjelang tahun 2000 dan langkah ke arah tersebut sedang dan sudah dilaksanakan iaitu antaranya dengan menyediakan peluang melanjutkan pelajaran yang lebih kondusif di kalangan guru-guru yang sedang berkhidmat. Ini adalah bertujuan untuk mewujudkan pendidikan yang berkualiti. Walaupun nampak mudah tetapi masalah penyediaan bilik darjah yang secukupnya selaras dengan pertambahan penduduk agak rumit untuk dilaksanakan. Ini adalah kerana pertambahan penduduk sebenarnya adalah lebih pantas berlaku di bandarbandar besar berbanding dengan di kawasan luar bandar. Masalahnya ialah di kawasan bandar sememangnya telah sedia padat didapati kekurangan ruang dan tidak mampu untuk menampung pertambahan bilik darjah secukupnya. Tumpuan utama keempat ialah memastikan semua kanak- kanak memasuki sistem pra sekolah dan mencapai tahap "competency" yang miminum yang ditetapkan di peringkat-peringkat tertentu. Manakala tumpuan kelima ialah menyediakan kemudahan asas mengikut piawaian yang ditetapkan dan isu ini telahpun diulas di peringkat lebih awal esei ini. Sementara itu, tumpuan utama yang keenam ialah mencapai kadar penyertaan pada tahap 100% di peringkat pendidikan Rendah, Menengah dan Menengah Atas. Tumpuan ini adalah bertujuan untuk memastikan tidak ada mana-mana golongan yang tercicir dari mendapat peluang mengikuti khususnya pendidikan yang berkualiti. Manakala tumpuan utama yang ketujuh dan yang terakhir dalam aspek pendemokrasian

pendidikan ialah memastikan semua kanak-kanak akan memasuki sekolah pada umur lima tahun. Dalam perkembangan berkaitan, tentulah ada banyak rasionalnya mengapa perkara ini hendak dilaksanakan menjelang tahun 2000 nanti. PENUTUP Walaupun dapat disimpulkan bahawa dari segi pendekatan, pelaksanaan serta amalan pendemokrasian pendidikan di Malaysia berada di landasan yang betul, kita tidak harus cepat berpuas hati. Pendidikan adalah sesuatu yang bersifat dinamis dan kita sebenarnya tidak hidup dalam satu kekosongan. Sebaliknya, kita hidup dalam dunia yang penuh dengan cabaran dan persaingan. Dalam konteks negara, persaingan tersebut adalah terutamanya ialah antara bandar dan luar bandar dan antara kaum. Tugas kita ialah memastikan bahawa kita menggunakan peluang-peluang yang disediakan dengan sebaik mungkin. Namun begitu, kita haruslah memperluaskan skopnya kerana: Daya saing yang mesti ada pada kita bukan sekadar daya saing atau competitiveness di kalangan kita sama sendiri. Daya saing itu harus diperluas dalam konteks kawasan, dalam konteks rantau, dan dalam konteks dunia yang menjadikan persaingan itu global sifatnya, iaitu persaingan yang ada hubungkaitnya dengan competitive advantage negara kita dengan negaranegara lain. (Menangani Perubahan, 1989, 73) Sesungguhnya pendidikan berkait rapat dengan kehidupan manusia kerana pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menentukan kehidupan manusia sama ada masa kini atau masa depan. Pendidikan yang lengkap dan bermutu akan menjadikan manusia dapat menjalani kehidupan yang baik dan sejahtera. Namun begitu, dalam keghairahan menyediakan pembangunan sumber manusia melalui sistem pendidikan negara kita mestilah memastikan pendekatan, pelaksanaan dan amalannya adalah mengikut acuan kita sendiri iaitu berasaskan matlamat pendidikan negara. Matlamat pendidikan negara yang wujud sekarang yang berpunca dari Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah merupakan cita-cita murni yang hendak dicapai melalui proses pendidikan. Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) menegaskan bahawa:

"Untuk kepentingan pembangunan negara tenaga rakyat yang diperlukan bukan sahaja perlu dilihat dari segi bilangan, jenis pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki bahkan perlu dilihat juga dari segi nilai-nilai disiplin yang perlu diterima. (Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran, 1979. Perengan 452, hal. 227) Ini bermaksud sumber tenaga manusia yang bakal dilahirkan oleh sistem pendidikan negara mestilah bersikap jujur dan dedikasi terhadap kerja. Mereka perlulah mengamalkan budaya kerja yang sihat serta boleh berfikir secara rasional, kritis dan kreatif serta mampu bertindak dengan baik sama ada secara individu mahupun secara berkumpulan. Semua ini mestilah berlandaskan punca-punca dan nilai-nilai akhlak yang mulia. Demikianlah suatu pentafsiran tentang pendemokrasian pendidikan dan tinjauan ringkas mengenai pendekatan, pelaksanaan dan amalannya dalam sistem pendidikan di Malaysia. Walaupun agak banyak perkara yang berkaitan dengan pendemokrasian pendidikan dihuraikan, masih terdapat beberapa isu lagi yang belum disentuh. Namun begitu, adalah diharapkan esei ringkas ini dapat memenuhi keperluan untuk memberi gambaran asas tentang pendemokrasian pendidikan khususnya dalam konteks sistem pendidikan di negara kita Malaysia.

Esei ini ditulis oleh penulis pada Disember 1997. Justeru, kemungkinan besar terdapat beberapa fakta yang dibentangkan sudah tidak relevan lagi. Harap maaf.

You might also like