You are on page 1of 18

KEBEBASAN, KESAMAAN DAN KEADILAN - JEAN JACQUES ROUSSEAU

Oleh: Shaiful Rizal Mohd Sani


PENDAHULUAN
Penulisan ini akan menghuraikan apa yang telah diketengahkan oleh Jean
Jacques Rousseau tentang konsep kebebasan, kesamaan dan keadilan. Umum
mengetahui beliau memiliki posisi yang unik dalam pemikiran politik barat.
Pemikirannya, selain menimbulkan kontroversi, juga sukar untuk diklasifikasikan.
Misalannya, apakah beliau seorang liberalis, totalitarian atau seorang demokrat?
Kesulitan mengklasifikasikan ini disebabkan pemikiran tokoh ini menjangkau spectrum
pemikiran intelektual yang luas dan variatif. Macfarlane menyebut Rousseau sebagai
tokoh yang melahirkan gagasan individualism ekstrem meskipun di sisi lain, beliau juga
seorang pendokong utama kolektivisme.

Pada pendapat Plamenatz, Rousseau adalah seorang philosophe tetapi
sekaligus musuh filsafat, rasionalis, romantis dan sensualis. Lanjut Plamenatz lagi, tidak
ada seorang pemikir polotik lain yang mempunyai pengaruh yang luas terhadap
generasi seterusnya melainkan Rousseau. Sememangnya revolusi Perancis liberte
(kebebasan), egalite (persamaan) dan fraternite (persaudaraan) sukar ipisahkan dari
beliau.

LATAR BELAKANG JEAN JACQUES ROUSSEAU
Jean Jacques Rousseau (1712-1778) merupakan seprang ahli falsafah Perancis
dalam abad ke-18 dan dilahirkan pada 28 Jun 1712 di Geneva, Switzerland. Ibunya
meninggal dunia ketika beliau masih kecil dan diasuh selama beberapa tahun oleh
ayahnya yang kemudiannya menyerahkan Rousseau kepada pakciknya. Beliau hidup
bilamana Perancis menjadi salah satu centre of civilization Eropah.
Ayah Rousseau, Isaac Rousseau merupakan seorang tukang jam, suka berburu
dan meninati muzik. Dalam karya beliau bertajuk Confessions, menyatakan bahawa
ayahnya banyak mempengaruhi kehidupan Rousseau terutama terhadap pembentukan
watak dan pemikirannya. Zaman kanak-kanaknya banyak dihabiskan dengan membaca
pelbagai karya klasik Plutarch, seorang tokoh di zaman Romawi kuno. Beliau sangat
mengkagumi tokoh ini sehinggakan pada suatu masa beliau pernah mengatakan
bahawa beliau telah menjadi seorang Romawi ketika berusia dua belas tahun.
Kebiasaan membaca buku bersama ayahnya ini diceritakan di dalam karyanya
antaranya; Kita biasa membaca bergantian tanpa henti, dan menghabiskan sepanjang
malam melakukan aktiviti ini. Kami tidak dapat berhenti sehingga buku tersebut habis
dibaca. Sehinggakan ayah saya mendengar burung layang-layang mulai berkicau di
pagi hari, dan berkata dengan sedikit malu, marilah kita tidur, saya lebih kanak-kanak
daripada kamu.

Ayahnya juga merupakan seorang yang terlalu mengagumi peradaban Romawi,
terutama ketika mencapai puncak kejayaannya. Kekagumannya ini selalu diceritakan
kepada Rousseau. Misalnya, beliau menyatakan menginginkan hidup di negara-negara
kota Romawi kuno yang menurutnya aman, sejahtera, adil dan tidak seorang pun
penduduk merasakan dirinya mengatasi undang-undang serta adanya jalinan yang
akrab di antara anggota masyarakat. Negara kota Romawi kuno dibayangkan seperti
sebuah keluarga yang bahagia. Didikan ayahnya jugalah yang membuatkan Rousseau
mengagumi Geneva, sebuah kota kecil di Switzerland, yang diibaratkan oleh ayahnya
sebagai sebuah negara kota Romawi moden. Geneva adalah kota yang sejahtera,
aman dan damai, dikelilingi gunung-ganang, lembah-lembah dengan hutan-hutannya
yang menghijau. Keadaan ekologinya bersih, belum tercemar. Penduduknya mematuhi
undang-undang. Rousseau dan ayahnya sememangnya berbangga menjadi warga kota
kacil ini.

Sosialisasi di zaman kanak-kanaknya di Geneva amat mempengaruhi jiwa dan
perkembangan intelektualnya. Dalam karyanya, Rousseau menyatakan bahawa beliau
merasa beruntung dibesarkan oleh seorang ayah yang romantis dan emosional.
Didikan ayahnya membuat dirinya memiliki kepekaan perasaan dan jiwa romantis yang
tinggi. Maka, tidak menghairankan jika sejak kecil beliau terbiasa melatih emosi dan
jiwanya berbanding untuk berfikir secara rasional. Didikan itu memberikan kesan
sehingga Rousseau dewasa yang mana beliau lebih mementingkan kepekaan emosi
dan kehalusan jiwa daripada pertimbangan rasional dan logika.

Sejak kecil sehingga usia remaja, Rousseau merupakan pengikut Protestan,
tetapi ketika tinggal di Turin telah bertukar menjadi penganut Katolik. Beliau pernah
mejadi guru muzik dan mengunjungi daerah-daerah di sekitar Swirzerland dan
Perancis. Tahun 1932, di Chambery beliau diangkat menjadi anak asuhan Madam de
Warren, seorang janda kaya dan cantik. Janda ini ternyata jatuh hati dengan
keperibadian Rousseau yang kemudiannya menjadikannya kekasih. Pada usia yang ke-
20, Rousseau mengatakan bahawa Madam de Warren treats me as a man. Madam de
Warren amat berjasa membentuk keperibadian dan watak pemikiran Rousseau. Wanita
inilah yang telah membiayai pendidikannya, menyediakan perpustakaan peribadinya
serta membentuknya menjadi seorang penulis yang hebat.

Beliau banyak menghasilkan tulisan-tulisan yang mana ramai beranggapan
tulisannya merupakan faktor penting bagi pertumbuhan sosialisme, romantisme,
totalitersme, anti-rasionalisme serta dikatakan mengilhamkan Revolusi Perancis pada
tahun 1789 dan merupakan penyumbang kepada idea-idea moden yang menuju
kepada kebebasan, kesamaan dan keadilan. Antara penulisan beliau yang terkenal
adalah Discourse On The Origin of Inequality (1755), La Nouvelle Heloise (1761), The
Social Contract [Du Contrat Social] (1762), Emile (1762) dan Confessions (1770).
Rousseau juga dikenali sebagai pemikir politik yang radikal kerana di samping
mengemukakan pendapat mengenai sejarah manusia yang agak idealistik, beliau juga
mencadangkan beberapa perkara yang perlu diperkenalkan supaya manusia dapat
mengekalkan sifat-sifat semulajadi. Contohnya, beliau mencadangkan satu cara
pendidikan dan pengasuhan yang beliau yakin akan menghasilkan manusia yang tidak
dicemari sifat-sifat buruk malahan sudah pasti mewujudkan manusia yang mempunyai
sifat yang serba legkap. Beliau meninggal dunia pada tahun 1778 di desa Ermenonville.

DEFINISI, KONSEP DAN TEORI
Definisi Kebebasan
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002) halaman 120, kebebasan bermaksud
tidak terhalang (untuk bergerak dan bercakap), tidak terkongkong, tidak terkurung dan
lain-lain.

Definisi Kesamaan
Kesamaan menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002) halaman 1177
menjelaskan perihal sifat dan keadaan yang sama.

Definisi Keadilan
Keadilan pula menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002) halaman 8 bermaksud
sifat yang lebih menjurus kepada perbuatan dan tindakan yang adil; ianya menuntut
penyelesaian yang adil; mengadakan susunan dan keadaan yang adil bagi kehidupan
dalam maysarakat.

Teori Kontrak Sosial
Ketika Eropah masih di zaman kegelapan (dark ages), gereja bersikap keras
terhadap sains dan akan menghalang apa sahaja teori yang bercanggah dengan
dogmanya. Ini menyebabkan wujudnya ahli fikir dan ahli falsafah (golongan intelektual)
yang amat tidak berpuas hati dan mengambil keputusan untuk menggulingkan kuasa
gereja/agama. Setelah itu, terjadi pertembungan yang begitu hebat di antara gereja dan
kelompok intelektual ini. Krisis berdarah ini berakhir dengan kedua-dua pihak bersetuju
untuk mengambil jalan tengah (kompromi) di mana kuasa pemerintahan yang ada pada
gereja dihapuskan dan diserahkan kepada golongan intelektual. Gereja hanya dibenar
menguruskan hal-hal agama sahaja. Agama tidak dinafikan tetapi mesti dipisahkan dari
kehidupan atau pemerintahan. Setiap orang adalah bebas untuk percaya kepada
agama atau tidak (kebebasan beraqidah). Yang penting, agama mesti dipisahkan dari
urusan kehidupan. Inilah peristiwa yang menyebabkan lahirnya Sekularisme.
Golongan Intelektual ini kemudian berfikir keras tentang cara untuk mewujudkan
sebuah negara yang ideal (sempurna). Mereka kekurangan idea untuk membina
sebuah negara yang ideal. Dari sini, lahirlah para pemikir atau cendekiawan Barat yang
cuba membina suatu persepsi baru untuk memulakan sebuah negara. Beberapa
perkara tentang negara mula difikirkan oleh pemikir-pemikir Eropah yang akhirnya
meletuskan Revolusi Perancis sebagai manifestasi dari proses Renaissance
(pencerahan dari aspek pemikiran). Para pemikir ini kemudian melahirkan pelbagai teori
bagaimana untuk mengatur urusan sebuah negara. Untuk menjelaskan teori tersebut
beberapa istilah digunakan, antaranya yang terawal ialah istilah Kontrak Sosial (the
social contract) telah dikemukakan oleh Plato, seorang ahli falsafah Yunani, lebih 2,500
tahun yang lalu dalam tulisannya The Republic. Namun begitu beliau tidak
memberikan penjelasan secara terperinci mengenainya. Setelah itu, datang ahli
falsafah yang menerangkan konsep Kontrak Sosial ini; antaranya adalah Hugo Grotius,
Kant, Rousseau dan Hobbes. Ahli-ahli falsafah ini bersetuju tentang wujudnya Kontrak
Sosial antara pemerintah dengan rakyat. Idea Kontrak Sosial ini diasaskan atas premis
bahawa kuasa terletak pada rakyat. Tiga orang ahli falsafah yang banyak
menghidupkan dan mewarnai teori Kontrak Sosial dalam sains politik moden Barat,
ketika zaman pencerahan (Enlightenment) dan Revolusi Industri adalah Thomas
Hobbes [Leviathan, 1651M], dikuti oleh John Locke [Two Treaties of Goverment,
1690M] dan Jean Jacques Rousseau [Du Contrat Social 1762M].

Kontrak Sosial [Du Contrat Social] (1762)
Karya Rousseau, Du Contrat Social (The Social Contract, 1762), dikatakan amat
berpengaruh dalam mencetuskan Revolusi Perancis 1789. Teori Kotrak Sosial
Rousseau adalah satu konsep yang kerap dilihat di dalam sejarah pemikiran liberal.
Beliau menekankan idea ini dari pendapat yang menyatakan bahawa kontrak sosial
adalah satu perkara yang semulajadi dan seseorang individual itu lebih mengetahui
tentang apa yang terbaik untuk dirinya. Masyarakat beraja di zaman Rousseau kurang
senang dengan teori Rousseau yang mengatakan setiap manusia itu dilahirkan bebas
tetapi pendidikan adalah mencukupi untuk membataskan perilaku manusia itu di dalam
masyarakat. Beliau juga menyatakan bahawa kebebasan untuk menentukan masa
depan sendiri adalah kehendak setiap negara. Sekali lagi, idea Rousseau ini adalah
bertentangan dengan sistem politik di Perancis pada masa itu.
Dalam penulisan beliau ini, Rousseau mencadangkan corak komuniti atau Negara yang
sesuai untuk menjaga kepentingan manusia yang tidak terikat. Seperti teori-teori
kontrak lain, Rousseau memulakan teori asal mula negara dari tahap keadaan semula
jadi. Menurut beliau manusia ialah makhluk istimewa kerana bukan sahaja mereka baik
dan bersifat simpati terhadap manusia lain, tetapi lebih penting lagi adalah kerana
hanya mereka sahaja yang dapat mambuat pelbagai pilihan.
Dua isu penting yang dibincangkan di dalam teori Kontrak Sosial ini ialah:-
Institusi yang baik dan berkesan untuk menjaga kepentingan rakyat ialah
Negara di mana setiap individu melepaskan dirinya dan kuasanya
kepada kehendak umum.
Negara diwujudkan ekoran dari sebuah perjanjian.

Walaupun pada prinsipnya manusia itu sama, tetapi alam, fizik dan moral
menciptakan ketidaksamaan. Muncul hak-hak istimewa yang dimiliki oleh beberapa
orang tertentu kerana mereka ini lebih kaya, lebih dihormati, lebih berkuasa dan
sebagainya. Organisasi sosial digunakan oleh mereka sebagai tempat untuk
menambahkan kuasa dan menekan yang lain. Keadaan ini menunjukkan ianya lebih
cenderung kepada potensi kekuasaan tunggal.

Konsep Kesamaan.
Falsafah politik menetapkan bahawa kesamaan merupakan satu konsep yang
seringkali dibincangkan dari pelbagai sudut dan perspektif. Pertamanya kesamaan dari
segi layanan iaitu equality of treatment. Keduanya, dari segi pemberian dan penerimaan
peluang ataupun equality of opportunity. Ketiga, kesamaan boleh dilihat dari segi
implikasi-implikasi legalistic atau legal equality, seterusnya kesamaan dari segi ekonomi
atau economic equality dan yang terakhir kesamaan dari sudut perspektif politik atau
political equality.

Melihat kepada konsep kesamaan, kebebasan dan keadilan, Rousseau juga
mempunyai pendapat tersendiri terhadap konsep tersebut. Konsep kesamaan bagi
pandangan Rousseau adalah manusia ini mempunyai keupayaan yang sama iaitu
menikmati kesusahan dan kesenangan serta kemewahan. Manusia terpaksa berkongsi
segala kemudahan dan sumber-sumber secara bersama. Maka pengagihan sumber
ekonomi perlulah diwujudkan untuk memperseimbangankan kuasa politik di kalangan
rakyat. Maka, beliau mengesyorkannya kepada negara yang kecil kerana ianya boleh
desentralisasi kuasa. Institusi keluarga juga perlulah wujud kerana keperluan
semulajadi manusia adalah untuk hidup berkeluarga. Wanita akan dianggap sebagai
isteri dan juga ibu. Beliau menyatakan bahawa kaum wanita adalah kurang berupaya
kerana kurangnya kefahaman terhadap sifat demokrasi.

Konsep Kebebasan
Konsep kedua adalah kebebasan. Seperti yang telah kita ketahui, Rousseau
telah menghasilkan ungkapan yang berpengaruh sehingga ke hari ini iaitu man is born
free but everywhere he is in chain di dalam karyanya bertajuk The Social Contract.
Rousseau berpendapat bahawa manusia ini perlulah diasuh untuk menikmati
kebebasan. Manusia diasuh adalah melalui pendidikan. Dalam pendidikan, beliau
mengesyorkan sistem pendidikan yang berkesan perlu diwujudkan untuk mewujudkan
manusia yang akan menghormati kebebasan yang telah diberikan. Rousseau juga
mengatakan kita akan mematuhi peraturan tersebut kerana kita sendiri yang telah
menciptakan peraturan tersebut.

Dalam keadaan alamiah atau semulajadi, manusia menurut Rousseau- mirip
dengan pandangan Hobbes- memiliki kebebasan mutlak. Mereka bebas untuk
melakukan apa sahaja yang dikehendakinya. Kebebasan merupakan penemuan yang
membuatkan manusia menjadi manusia alamiah. Dalam konsep kambali ke alam,
Rousseau, seperti ditulis Magnis, mengidealisasikan manusia yang liar tetapi baik. Ia
adalah manusia yang dalam hidupnya selalu mementingkan keutamaan seperti orang-
orang di zaman Romawi kuno. Manusia alamiah menurutnya adalah makhluk yang
belum mengerti nilai-nilai bail dan buruk dalam pengertian moraliti yang kita fahami,
kerana mereka tidak terdidik dalam struktur social yang didominasi oleh moraliti.

Manusia menjadi buruk perilakunya, tidak lagi menjadi manusia alamiah adalah
kerana masyarakat sekitarnya serta peradaban modennya telah membuatnya demikian.
Peradaban dan masyarakat moden secara perlahan menghakis sifat-sifat luhur
manusia. Inilah kejahatan peradaban moden yang mungkin tidak disedari oleh para
perintis dunia moden. Untuk menjadi manusia alamiah dalam konteks moden,
Rousseau mencuba untuk merungkai masalah tersebut. Manusia menurutnya harus
dididik seawall usia kanak-kanak. Mereka harus dibiarkan bebas menentukan watak
dan keperibadiannya sesuai dengan kehendak alam. Dalam karyanya Emile: Ou
leducation, karya yang sarat dengan falsafah pendidikan, Rousseau mengemukakan
bahawa pendidikan yang baik bukanlah membuat anak-anak belajar segala tatasusila
dan kesopanan, terikat dengan norma-norma atau nilai-nilai etika, tetapi seharusnya
membiarkan sepenuhnya berkembang sesuai dengan nalusi kemanusiaan dan instinct
kemanusiaannya.

Dalam Du Contrat Social, Rousseau menegaskan bahawa dasarnya semua
manusia menurut kudrat alaminya bebas, tetapi kemudian terbelenggu setelah terlepas
dari kudrat alaminya. Man, kata Rousseau, was born free and he is everywhere in
chains. Kata-kata beliau ini sebenarnya menegaskan bahawa manusia itu merdeka,
tetapi kemerdekaan itu terampas dari dirinya kerana adanya berbagai konvensi, adat
istiadat, sekatan-sekatan yang melibatkan institusi ekonomi dan politik.

Rousseau menolak pemikiran Hobbes bahawa hanya ada dua pilihan bagi
manusia; kebebasan atau menjadi objek kekuasaan atau dikuasai. Hobbes tidak
membuka peluang kemungkinan manusia dapat bebas tetapi pada masa yang sama
berada dalam dominasi kekuasaan negara. Dengan kata lain, manusia tidak dapat
hidup dalam negara bila ia tetap menuntut kebebasan sejati seperti yang dimiliki
sebelum terbentuknya negara. Pandangan ini berbeza dengan Rousseau di mana
menurut beliau seperti yang dinyatakan sebelum ini, pada dasarnya manusia bebas
merdeka. Kebebasan itu tetap dapat dimilikinya meskipun dalam situasi yang berbeza,
walaupun ia berada menjadi sebahagian daripada political society atau berada dalam
kekuasaan negara, kebebasan itu masih boleh diraih oleh manusia. Rousseau
mengingatkan bahawa meskipun telah terbentuk negara, tidak bererti kebebasan dan
kebaikan-kebaikan tertentu tang terdapat dalam keadaan alamiah atau semulajadi
menjadi lenyap.

Konsep Keadilan
Konsep keadilan pada umumnya mempunyai tiga bidang yang penting iaitu
konsep keadilan yang berkaitan dengan distribusi, keduanya konsep keadilan yang
berkaitan dengan keadilan moral dan yang terakhir konsep keadilan yang berkaitan
dengan undang-undang atau keadilan legalis. Keadilan ditetapkan sebagai satu
keadaan di mana pemerintah politik digunakan untuk mewujudkan suatu keadaan di
mana individu-individu dan juga kumpulan-kumpulan diberi layanan yang adil ataupun
yang sama mengikut keadaan masing-masing.

Konsep keadilan berdasarkan distribusi iaitu keadilan yang ditetapkan sebagai
satu keadaan pemerintah politik digunakan untuk mewujudkan suatu keadaan di mana
individu-individu dan kumpulan-kumpulan diberi layanan yang adil ataupun yang sama
mengikut keadaan masing-masing. Umpamanya dari segi hak, seorang raja mempunyai
hak yang agak berlainan daripada seorang rakyat biasa. Oleh itu, di sini kita menerima,
pertama, bahawa masyarakat yang dimaksudkan selalunya merupakan masyarakat
berlapis. Kedua, kita juga menerima bahawa tiap-tiap satu kumpulan mempunyai
kehendak-kehendak berlainan. Ketiga, kedudukan sosio-eknomi sesebuah kumpulan itu
ada implikasi pentingnya ke atas penerimaan benda ataupun penerimaan hak suatu
individu itu. Ini berubah dari situasi ke situasi. Jika kita menerima masyarakat dan
manusia itu bukan satu masyarakat ataupun keadaan yang sama maka kita menerima
bahawa keadilan yang dimaksudkan adalah keadilan yang mengambil kira:
Manusia mempunyai kebolehan-kebolehan dan kehendak-kehendak
yang berlainan.
Manusia juga mempunyai kehendak-kehendak yang tidak terkira tetapi
kebolehan pemimpin ataupun kebolehan sistem itu untuk membekal
sesuatu adalah kebolehan yang tehad.
Keadilan yang dimaksudkan di sini adalah satu keadilan yang hanya
mempunyai makna untuk realiti jika kita menerima bahawa masyarakat
yang dimaksudkan merupakan masyarakat yang berlapis ataupun
stratified society.
Ketiga-tiga komponen ini telah diterima oleh semua pemikir politik. Oleh kerana
itu, jaranng sekali kita mendengar tentang seorang pemikir politik yang berbicara
tentang keadilan secara mutlak. Apabila mereka menggunakan perkatan keadilan apa
yang mereka maksudkan adalah keadilan ataupun satu sistem pembahagian melalui
sistem kuasa yang mempunyai kewibawaan yang menukar daripada keadaan ke
keadaan.
Kedua, konsep keadilan mengikut pembahagian yang adil adalah satu konsep
yang memberitahu kita tentang apakah standard-standard yang digunakan dalam suatu
sistem kepimpinan dan apakah sistem perundangan yang digunakan dalam suatu
sistem politik untuk menentukan bahawa keadilan itu akan dibahagikan secara adil. Kita
harus membuat dua perbezaan di antara dua jenis kehendak. Satu kehendak adalah
mengikut apa yang kita berkehendakan ataupun to each according to his need dan
kedua adalah kehendak-kehendak yang harus dibahagikan kepada manusia secara adil
mengikut apa yang manusia itu patut terima ekoran sumbangannya pada masyarakat
atau each according to his merit.
Konsep kedua adalah satu konsep yang ada kaitannya dengan keadilan moral.
Keadilan moral adalah satu sistem keadilan di mana setiap individu itu mempunyai hak
untuk mendapat pertimbangan yang sama dari pihak berkuasa. Pihak pemerintah
mempunyai satu tanggungjawab moral untuk membahagikan benda ataupun nilai
secara adil. Pengasas teori kontrak sosial mengatakan bahawa negara itu timbul akibat
satu kehendak manusia untuk mengumpulkan tenaganya dalam satu struktur politik
yang tertentu untuk menentukan bahawa suatu asas pentadbiran kuasa diwujudkan dan
dengan ini manusia dapat hidup secara harmoni. Oleh itu, manusia mempunyai
tanggungjawab untuk mengekalkan ataupun membangkitkan satu sistem yang
dinamakan negara maka pemerintah mempunyai satu tanggungjawab moral untuk
memerintah secara adil.

Kuasa yang diberikan kepadanya adalah kuasa perwakilan, ia tidak boleh
menyalahgunakan kuasa ini dan suatu daripada cara untuk mengelakkan diri daripada
menyalahgunakan kuasa adalah melalui satu sistem pentadbiran kuasa yang adil.
Keadilan juga bermakna tingkahlaku daripada kacamata pemerintah yang adil, bukan
sahaja dari segi kebendaan tetapi dari segi moral mereka yang memegang kuasa tahu
bahawa kuasa itu diberikan kepada mereka oleh rakyat dengan harapan bahawa
pemerintah akan memerintah secara adil.

Aspek ketiga konsep keadilan adalah satu aspek yang ada pertalian dengan
sistem perundangan. Ianya ada kaitan dengan sistem perundangan ataupun sistem
perlembagaan. Perundangan tidak semestinya dikhaskan kepada perundangan
ataupun daripada rang undang-undang yang dikeluarkan daripada mahkamah. Oleh itu,
selain daripada keadilan moral, keadilan distribusi, hak-hak rakyat dari segi
perlembagaan atau sistem kehakiman memainkan peranan penting sekiranya setiap
satu perundangan mempunyai implikasi-implikasi yang penting untuk perlembagaan.
Dalam perlembagaan telah menetapkan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab
yang tertentu yang dinamakan public accountability.

Bagi Rousseau pula, beliau tidak menyentuh dalam aspek tersebut kerana ianya
telah wujud dalam konsep kesamaan. Namun begitu secara umumnya, keadilan adalah
apabila masyarakat memerlukan satu sistem ketertiban iaitu masyarakat yang baik
adalah masyarakat yang adil. Di dalam memberi hukuman kepada orang yang
melakukan kesalahan, tiga syarat perlulah dipatuhi bagi mencapai keadilan. Antara
syaratnya adalah hanya menghukum orang yang melakukan sesuatu yang dilarang dan
yang kedua adalah hukuman tersebut mestilah setimpal dengan kesalahan yakni ianya
tidaklah terlalu ringan dan tidaklah terlalu berat. Hukuman tersebut pula adalah
bertujuan untuk mencegah daripada ianya berlaku sekali lagi atau bersifat pembalasan
dengan sewajarnya. Jikalau 3 syarat tadi tidak dipatuhi, maka akan berlakunya
ketidakadilan. Konsep keadilan ini dibina atas asas peraturan semulajadi dan untuk
melindungi serta memelihara ketertiban masyarakat.

KESIMPULAN
Idea-idea Rousseau merupakan unsur-unsur utama di dalam pengisytiharan
Perhimpunan Kebangsaan Revolusi Perancis serta di dalam penulisan pemikir-pemikir
Amerika seperti Benjamin Franklin dan Thomas Jefferson. Dengan kata lain, idea
kebebasan, kesamaan dan kedaulatan awam Jean Jacques Rousseau ini telah
mengilhamkan Revolusi Perancis pada tahun 1798. Idea-idea beliau juga
mempengaruhi corak pemerintahan di Amerika Syarikat. Ianya juga membezakan
kuasa rakyat dengan kuasa pemerintah. Beliau juga menegaskan rakyat adalah punca
segala kuasa pemerintahan dan pemerintah memegang kuasa dengan izin rakyat dan
akan dipertanggungjawabkan oleh rakyat itu sendiri. Menurut Rousseau lagi, perpaduan
sesebuah negara itu datang dari persetujuan bersama yang dikenali sebagai General
Will (kehendak umum). Perpaduan ini membolehkan sesuatu negara itu untuk wujud
tanpa terikat kepada sistem sosial yang telah wujud sebelum ini, seperti aristokrasi.

PANDANGAN DAN KOMEN

Pada pandangan saya, dapat diperkatakan bahawa teori kontrak sosial atau
perjanjian sosial seperti yang diperkenalkan oleh Hobbes, Locke dan Rousseau
sebenarnya satu teori rekaan. Sebenarnya tidak ada satu negara yang wujud
berdasarkan teori tersebut. Dalam keadaan semulajadi, tidak semua manusia itu jahat
dan begitu juga sebaliknya. Dimana-mana negara pun, sifat hak kesamaan dan
keadilan juga tidak dapat dijamin kepada semua rakyat. Jika kebebasan bertindak
sesuka hati dibenarkan, ia tentu akan mengakibatkan keadaan anarki. Semua hak
mesti diiringi tanggungjawab untuk bertindak menurut kehendak umum yang
semestinya akan bertindak untuk menyekat beberapa kebebasan tertentu. Lazimnya,
kita dilahirkan dalam negara dan ini bererti kita terpaksa tunduk kepada kehendak
negara itu. Sebenarnya teori perjanjian sosial tidak dapat mengenalpasti asal usul
negara. Sebaliknya golongan yang memperkenalkan teori ini mengenalpasti autoriti
politik dan cuba mencadangkan cara-cara untuk memaksimumkan input rakyat dalam
semua bentuk pemerintahan.
Namun begitu teori ini penting kerana ia mengakui negara sebagai hasil
persetujuan ramai dan negara pula diwujudkan untuk memenuhi tujuan tertentu, iaitu
untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Teori ini dianggap liberal kerana ia
memindahkan kuasa mutlak daripada raja atau pemerintah kepada rakyat. Keadaan ini
seharusnya seiring dengan peraturan, undang-undang dan perlembagaan atas
keinginan dan kehendak rakyat dan ia seharusnya juga mencerminkan kepentingan
mereka. Teori menegaskan bahawa tidak akan wujud negara jika kepentingan rakyat
tidak diberi keutamaan dalam semua bidang. Nyata sekali teori kontrak sosial ini
memuliakan konsep persetujuan rakyat dalam semua bidang pemerintahan. Rakyat dan
kepentingan merekalah yang membolehkan negara mencapai darjat kestabilan yang
tinggi dengan tidak menimbulkan keadaan yang boleh menjejaskan kewujudan satu
masyarakat yang adil dan saksama.
















BIBLIOGRAFI

K. Ramanathan, Asas Sains Politik, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Berhad, Kuala Lumpur,
2003
K. Ramanathan, Konsep Asas Politik, ALMS Digital Enterprise , Pulau Pinang, 2000
Latif Kamaludin, Falsafah Politik, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti
Sains, Pulau Pinang, 2008
Macfarlane, Modern Political Theory, Fletcher and Son Limited, Norwich, 1970
Plamenatz, Man and Society, Vol. 1, Longmans Green and Co. Limited, London, 1965
J.J Rousseau, Confessions (edited by J.M. Cohen), Panguin Books, England, 1953

You might also like