You are on page 1of 11

Isnin, 30 Jun 2014

Tugasan PT 3 Sejarah
Nasihat saya

jangan salin bulat-bulat apa yang saya dah sediakan . ianya boleh dianggap sebagai meniru.
boleh ambil cara / bentuk huraian saya untuk dijadikan panduan sahaja. Saya membuat tugasan
ini cuma dalam masa 2 hari sahaja jadi mungkin ada beberapa kekurangan dalam penulisannya.
Jadikan huraian saya ini sebagai contoh sahaja. terima kasih.

Dicatat oleh CIKGU RAZAK di Isnin, Jun 30, 2014
Reaksi:
Tiada ulasan:
Label: SEJ PT 3
Tugasan PT 3 Sejarah

Draf awal huraian - jangan salin bulat-bulat. ini cadangan saya sahaja

1. Tajuk rencana - Perpaduan kaum di Malaysia

2. Nama penulis Nama kita

3. Isi kandungan: bahagikan isi kandungan berdasarkan konstruk yang dikehendaki

(a) Pengenalan

Perpaduan boleh ditakrifkan sebagai satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat
dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan dalam kalangan
mereka. Perpaduan masyarakat merupakan antara aspek yang penting dalam membentuk
perpaduan negara. Malaysia kini dihuni oleh beberapa kaum dan etnik yang bersifat majmuk
yang membawa kepada wujudnya jurang perpisahan .


Pada zaman pemerintahan British di negara ini , mereka mengamalkan dasar pecah dan
perintah terutama membiarkan penduduk negara ini mengamalkan kegiatan ekonomi masing-
masing mengikut komposisinya. Orang Melayu dibiarkan berada di kampung yang terlibat dalam
bidang pertanian dan penanaman padi serta menangkap ikan manakala tenaga buruh di ladang
diambil dari negara India dan di kawasan lombong bijih timah tenaga imigran dari China
diambil. Kesannya jurang perpaduan mula timbul disebabkan kegiatan ekonomi yang diusahakan
di samping tempat tinggal yang berbeza . Keadaan ini mengurangkan kebarangkalian penduduk
Melayu , Cina dan India bersama-sama dalam satu lokaliti.Kesan jangka panjang keadaan ini
ialah wujudnya jurang pemisahan antara kaum.

Bersama-sama dengan kedatangan imigran ini ialah sistem pendidikan mereka yang dibawa
ke negara ini. Orang Cina dan India memiliki sistem sekolah vernakular sendiri yang membawa
masuk guru, buku dan sukatan pelajaran dari negara mereka. Kesannya di negara ini telah wujud
satu sistem pendidikan yang di dalamnya terdapat sekolah aliran agama , Inggeris, Cina , Tamil
dan aliran Melayu. Kesan langsung wujudnya sistem pendidikan zaman British ini
menyebabkan terhalangnya proses asimilasi yang boleh memungkinkan pergaulan kaum dapat
dilakukan dengan sempurna.

Penaklukan Jepun di Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua iaitu pada 1941-1945 juga
tak kurang mendatangkan kesan yang hebat ke atas hubungan integrasi kaum di negara ini. Pihak
Jepun pula mengamalkan dasar anti-Cina dan pro-Melayu yang ternyata mengeruhkan lagi
keadaan semasa dengan menyebabkan timbulnya perasaan benci dan prasangka buruk
masyarakat Cina terhadap orang Melayu. Orang Cina bertindak mengambil kesempatan utuk
membalas dendam dengan menganggotai Bintang Tiga atau lebih dikenali sebagai Parti Komunis
Malaya (PKM) dalam tempoh masa Jepun menyerah kalah dan sebelum kedatangan kembali
pihak British. Ketika inilah berlakunya keganasan 14 hari seperti membunuh, menculik,
membakar masjid dan bangunan sebagai cara membalas dendam . Keadaan ini menyebabkan
berlakunya persengketaan kaum antara orang Melayu dan orang Cina. Lebih memburukkan lagi
keadaan adalah apabila kebanyakan orang Cina terlibat dalam pergerakan PKM manakala orang
Melayu kebanyakannya merupakan anggota pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada
1948-1960.

Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik dari
kalangan parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal Bangsa Malaysia berkaitan dengan
Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai (Bumiputera)
dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah memberi kesempatan kepada ahli-ahli
politik yang ingin mendapatkan faedah dalam pilihanraya.
Pada pilihanraya umum 1969 Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO-MCA-MIC)
telah gagal memperolehi majoriti 2/3 diparlimen, walaupun masih berjaya membentuk kerajaan
persekutuan. Hal ini disifatkan oleh parti pembangkang sebagai satu kemenangan yang besar
buat mereka. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun
daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969.Parti Gerakan Rakyat
Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP)
menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.
Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian gemilang dalam pilihanraya telah
meraikan kemenangan mereka pada 11 Mei 1969. Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif
untuk menimbulkan isu perkauman. Malah terdapat segelintir pengikut perarakan telah
mengeluarkan slogan-slogan sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan perarakan di
jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan turut dijalankan pada 12 Mei 1969 di mana
kaum Cina berarak menerusi kawasan Melayu, melontar penghinaan sehingga mendorong
kepada kejadian tersebut. Pihak pembangkang yang sebahagian besar darinya kaum Cina dari
Democratic Action Party dan Gerakan yang menang, mendapatkan permit polis bagi perarakan
kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun perarakan
melencong dari laluan yang ditetapkan dan melalui kawasan Melayu Kampung Baru, menyorak
penduduk di situ. Sesetengah penunjuk perasaan membawa penyapu, kemudiannya dikatakan
sebagai simbol menyapu keluar orang Melayu dari Kuala Lumpur, sementara yang lain meneriak
slogan mengenai tengelamnya kapal Perikatan . Orang Melayu memandang perisitiwa ini
sebagai kaduk naik junjung. Natijahnya berlaku kemarahan yang meluap-luap dalam kalangan
orang Melayu sehingga menumpahkan darah .Maka berlakulah kejadian yang dinamakan
Tragedi 13 Mei 1969. Kepanasan isu ini cepat menular sehingga ke seluruh negara dalam masa
yang begitu singkat sahaja.

Perpaduan negara ini juga diuji dengan pelbagai isu berkaitan dengan agama dan soal hak
kerakyatan dan beberapa isu sensitif lain yang mampu menjejaskan perpaduan kaum di negara
ini . Ianya dibawa dan dimainkan oleh beberapa badan bukan kerajaan yang cuba mendapatkan
nama dalam usaha mendapatkan sokongan berterusan sehingga ke tarikh pilihanraya akan
datang. Jika dibiarkan begitu sahaja tanpa diselesaikan atau dirungkai terlebih awal hal ini
mampu merobek perpaduan kaum sedia ada pada masa sekarang.

(b) Kepentingan perpaduan kaum

Perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di negara kita haruslah dikekalkan untuk
menjamin keselamatan negara agar kemerdekaan yang kita kecapi sekarang ini berkekalan .Hal
ini adalah untuk mengelakkan berulangnya perkara yang tidak diingini seperti rusuhan kaum
pada 13 mei 1969 yang telah berlaku di negara kita. Kesan daripada rusuhan ini kita dapat lihat
betapa ramai masyarakat negara kita yang mati dalam peristiwa berdarah ini. Oleh itu,
perpaduan penting agar kejadian yang sama tidak akan berulang. Dalam nada yang sama kita
akan dapat mengekalkan kestabilan politik jika kejadian rusuhan kaum ini dapat dielakkan oleh
semua anggota masyarakat yang memiliki semangat nasionalisme dan patriotik yang tinggi.

Selain itu, keharmonian ini juga mestilah dikekalkan untuk melahirkan perasaan cintakan
tanah air dan sanggup berkorban untuk negara kita. Perpaduan dalam kalangan etnik di negara
ini juga akan dapat mengukuhkan lagi keselamatan negara daripada ancaman luar dan dalam
negara. Warganegara yang memiliki semangat nasionalisme akan melahirkan kekuatan dalam
mempertahankan negara ini daripada campurtangan kuasa luar seterusnya memelihara
kedaulatan negara ini dan mengekalkan kemerdekaan negara ini seterusnya.

Perpaduan negara yang jitu juga dapat membina sebuah masyarakat yang saling
menghormati antara satu sama lain disebabkan faktor rasa bersama dan kekitaan yang lahir
dalam jiwa seluruh anggota masyarakat. Sifat dengki dan khianat akan terlebur begitu sahaja
jika semua anggota masyarakat memiliki sifat saling menghormati yang dipupuk sejak kita kecil
lagi.


(c) Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan kaum ( pilih 3 sahaja )

Peristiwa 13 Mei telah menjadi catatan sejarah yang suram di negara ini. Hal ini demikian
kerana peristiwa ini memperlihatkan bahawa hubungan kaum akan menjadi rapuh jika ada
tindakan luar batasan dilakukan dan tindakan mencegah tidak dilakukan dengan secukupnya.
Peristiwa berdarah ini menjadi iktibar bahawa perpaduan kaum boleh menjadi bom jangka yang
boleh meletup pada bila-bila masa memandangkan terdapat sebahagian anggota masyarakat yang
gemar menjaja isu sensitif bagi meraih sokongan politik mudah untuk bangsa mereka. Selepas
kejadian ini lahir kesedaran untuk menyatupadukan kaum di negara ini dengan terbentuknya
Rukun Negara yang menjadi satu identiti bagi semua anggota masyarakat. Dalam masa yang
sama kekurangan orang Melayu dalam bidang ekonomi cuba diselesaikan dengan pelaksanaan
Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada 1970.

Rentetan peristiwa tersebut juga telah terbentuknya MAGERAN pada 17 Mei 1969 yang
berfungsi sebagai pengembali keamanan dan undang-undang negara; penentu pentadbiran yang
licin dan sempurna; dan pengembali keharmonian dan kepercayaan antara kaum. MAGERAN
didapati berjaya mengembalikan keamanan kepada negara selepas dua tahun ditubuhkan.
Seterusnya, pada tahun 1969 juga, Jabatan Perpaduan Negara(JPN) dan Majlis Muhibah
Negara(MMN) telah dibentuk. JPN yang diketuai Tan Sri Mohd Ghazali Shafie telah ditubuhkan
untuk membantu kerajaan menggerakkan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan negara.
MMN pula ditubuhkan pada 18 Julai 1969 bertujuan memulihkan kepercayaan dan keyakinan
antara kaum, mengkaji dan mengatasi masalah untuk menghapuskan perselisihan faham,
membantu dan menyusun kerja-kerja sukarela. MMN dan JPN telah digabungkan pada 1Januari
1972 menjadi Kementerian Perpaduan Negara yang kini bergelar Kementerian Perpaduan
Negara dan Pembangunan Masyarakat yang ditugaskan untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti
bercorak muhibah untuk masyarakat yang berbilang kaum


Penubuhan parti politik di negara kita sebenarnya bermula pada 1940 apabila kesedaran
politik mula melonjak hasil pengenalan Malayan Union oleh Inggeris di negara ini. Penubuhan
UMNO , MCA dan MIC pada awalnya bermaksud untuk membela masyarakat atau kaum
masing-masing dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Perpaduan kaum mula dibentuk
apabila Parti Perikatan mula ditubuhkan hasil gabungan UMNO,MCA dan MIC yang
merapatkan hubungan antara orang Melayu, Cina dan India dalam bidang politik dalam usaha
memuju kerjasama kaum ke arah mencapai kemerdekaan. Proses ini dilakkukan mulai 1948
hinggalah 1956 . Dapat dilihat pada masa ini kesedaran pentingnya perpaduan kaum dibentuk
bagi menjamin keadaan negara yang aman dan damai dengan penduduknya dapat bekerjasama
antara satu sama lain.


Kerajaan telah merangka Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai landasan mewujudkan
masyarakat yang bersatu padu. Penyata Razak dan Ordinan Pelajaran yang telah termaktub
sebelum merdeka telah disemak semula menghasilkan Laporan Rahman Talib dan seterusnya
dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961 merupakan antara usaha awal kerajaan dalam sektor
Pendidikan. Matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan diharapkan dapat memenuhi keperluan
tenaga rakyat negara ini dalam jangka pendek dan panjang demi melahirkan masyarakat yang
bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara strategi yang dirancang untuk mencapai matlamat
Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah menjadikan Bahasa Kebangsaan bahasa pengantar yang
utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis
sekolah, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama dan sebagainya.

(d) Cabaran untuk mengekalkan perpaduan kaum ( pilih 3 sahaja )

Cabaran kepentingan etnik dari aspek politik iaitu politik perkauman boleh menimbulkan
perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan
diambil tanpa mendapat kata sepakat oleh semua pihak. Isu-isu perkauman seperti bahasa,
kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan
berpolitik, pastinya, ia tidak akan menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu.Ianya
ditambah lagi dengan usaha parti tertentu yang mengemukakan ideologi Malaysian Malaysia
bagi mendapatkan hak yang sama rata dalam kalangan penduduk di negara ini.Sekali pandang
ianya merupakan suatu isu yang kecil tetapi sebenarnya isu ini berlawanan dengan kontrak sosial
yang dibuat sebelum negara ini mencapai kemerdekaan.


Sejak zaman penjajahan lagi, masalah integrasi telah wujud terutamanya semasa
penjajahan British. Mereka menjalankan dasar divide and rule iatu dasar pecah dan perintah
agar dapat memerintah dan mengeksploitasi ekonomi negara. Dasar ini jugalah yang
memisahkan kaum-kaum utama negara ini mengikut bidang ekonomi yang dijalankan.
Masyarakat melayu mengendalikan pertanian dan ditempatkan di kawasan luar Bandar iaitu di
kampong-kampung. Masyarakat Cina ditempatkan dilombong-lombong bijih timah dan bandar-
bandar kerana aktiviti perlombongan dan perdagangan yang dijalankan mereka. Manakala
masyarakat India pula ditempatkan di lading-ladang getah. Perubahan fungsi ini telah
menyebabkan ketiga-tiga kaum ini terpisah dan hubungan semakin terhada dan menjadi
bertambah renggang.

Cabaran dari segi ekonomi yang paling nyata ialah perbezaan dari segi pekerjaan di mana
perbezaan ini diwujudkan oleh pihak British melalui pecah dan perintah sepertimana dinyatakan
sebelum ini. Masalah ini telah mewujudkan perasaan curiga dan telah mewujudkan jurang
ekonomi antara kaum-kaum terbabit. Akibat daripada dasar yang dicipta oleh British itu,
kesannya masih lagi dapat dilihat sampailah sekarang di mana sektor perniagaan masih lagi
didominasi oleh orang Cina dan kebanyakkan orang India masih lagi tinggal di lading-ladang.
Perbezaan pekerjaan ini telah membataskan interaksi sosial antara mereka kerana masa banyak
diluangkan ditempat kerja dan sekiranya rakan sekerja terdiri daripada kaum atau etnik yang
sama maka interaksi dan komunikasi hanya berlaku dan berada dalam lingkungan kaum yang
sama sahaja. Kesannya adalah di mana perasaan prasangka dan perkauman akan menjadi
semakin kuat dan menebal di antara sesama kaum terbabit.


Sistem persekolahan yang wujud di negara ini, pada dasarnya berpandukan sistem Barat yang
diperkenalkan oleh pentadbiran British mulai abad ke 19, Pelajaran Cina telah memberi
kesedaran kebangaaan pemuda pemuda Cina. Sekolah Cina bukan hanya menggunakah bahasa
Cina sebagai bahasa pengantar, gurunya datang dari negara China, buku teks diimport dari
negara China dan berkiblatkan China.
Sekolah Tamil pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang tunggal.
Kebanyakan sekolah Tamil terletak di kawasan ladang dan sebahagian besarnya dibiayai oleh
syarikat-syarikat yang memiliki ladang-ladang berkenaan. Kerajaan sebelum merdeka
menganggap sekolah Inggeris sebagai sistem persekolahan yang unggul. Kelulusan sekolah
Inggeris terdedah kepada pemikiran Barat. Perbezaan di antara sekolah Inggeris dengan sekolah-
sekolah lain bukan dari segi bahasa pengantar sahaja, sukatan pelajaran juga tidak sama dan
sekolah Inggeris juga memberi kesan kepada perpecahan yang berlaku di dalam masyarakat.
Jelas sekali, sistem persekolahan sebelum merdeka memainkan peranan penting mengekalkan
keperibadian satu-satu golongan etnik dan, di samping itu, mewujudkan dua golongan terdidik
berpelajaran Inggeris dan berpelajaran vernakular yang tidak mempunyai pandangan dunia
(world view) yang sama. Pihak Inggeris tidak memberatkan objektif perpaduan dalam sistem
pelajarannya. Tidak ada satu dasar pendidikan kebangsaan sepertimana yang kita lihat hari ini.
Yang penting bagi mereka ialah memberi pelajaran kepada segolongan rakyat untuk
membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi.

Penyalahgunaan media sosial telah mula menular sejak akhir-akhir ini. Media sosial seperti
web dan blog serta face book menyebabkan timbulnya kerenggangan kaum kerana banyak
menimbulkan isu sensitif . Beberapa laman web yang bebas bergerak telah memperkatakan
begitu banyak isu bersifat sensiti di samping menaburkan fitnah serta berita palsu menyebabkan
wujudnya keresahan dalam masyarakat di negara ini. Beberapa kenyataan bersifat rasis dan
berunsur perkauman begitu berleluasa pada masa sekarang. Keadaan ini pula tidak diambil
tindakan oleh pihak berkuasa kerana pertindihan tugas dan bidang kuasa antara badan
penguatkuasa dan badan pengawal komunikasi. Penyebaran berita palsu dan tohmahan juga
menjadi punca perbalahan dan persengketaan terhadap anggota masyarakat di negara ini. Isu
kalimah Allah dalam bible yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu contohnya menyebabkan
berlaku pertentangan pendapat dalam kalangan rakyat di negara ini. Ianya bakal menyebabkan
wujudnya rasa benci dan dendam dalam masyarakat yang mampu mengguggat keamanan negara.

Campurtangan kuasa luar juga boleh menlunturkan perpaduan di negara ini.Beberapa
individu yang dikenalpasti sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada Amerika Syarikat
dan Australia dalam usaha mendapatkan sokongan dan dokongan terhadap permasalahan yang
mereka hadapi. Kehadiran beberapa pemimpin dari luar ini boleh dianggap cuba mencampuri
urusan negara ini kerana cuba mempertikaikan isu hubungan sesama jenis dan hak golongan
lesbian, gay dan transgender di negara ini.Segelintir anggota masyarakat juga mengaitkan isu di
atas sebagai isu hak asasi manusia di negara ini. Dengan menjadikan isu ini sebagai isu hak asasi
maka ianya mendapat sokongan sebahagian daripada anggota masyarakat.

(e) langkah-langkah untuk mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di Malaysia ( pilih 3
sahaja )

Beberapa kempen dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan mampu mengekal dan
memantapkan perpaduan kaum di negara ini. Pelan Tindakan Perpaduan & Integrasi Nasional
telah dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Ia merupakan rancangan
lima tahun iaitu dari 2005-2010 yang merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan
mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Pelan ini mengandungi pelbagai strategi
yang dirancang dari pelabagai aspek seperti strategi politik, ekonomi, pendidikan, penggunaan
Bahasa Kebangsaan, Agama, Kebudayaan, Integrasi Wilayah, Keselamatan, Pembangunan
Kawasan, Penggunaan Tenaga Manusia, Media Massa, Kesukanan, Pemasyarakatan Perpaduan,
Pertubuhan Sukarela, Penyelidikan Dan Penerbitan Bahan Bacaan, Pemantauan Isu-isu Semasa
dan Konflik, Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan Jawatankuasa
Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri (JKPPN), program dan aktiviti perpaduan, Sekolah
Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara. Kesemua program, pelan dan aktiviti yang
dirancang telah dijalankan dengan bertujuan supaya masyarakat dapat melibatkan diri dan
memupuk hubungan etnik yang erat antara rakyat di negara ini.


Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada
awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah
rendah dan menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin
hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan
perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka akan timbul
suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adapt resam sesuatu kaum dengan
kaum yang lain. KPM menyediakan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk bergaul mesra
secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat dipupuk dan dibina agar semangat
tersebut dapat diamalkan dalam masyarakat. Usaha ini dijana semula kea rah merealisasikan
hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.Antara
aktiviti yang dilaksanakan ialah lawatan sambil belajar, kursus motivasi, kem perpaduan ,
sambutan hari perayaan , pameran kebudyaan dan persembahan pentas.


Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang
berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul
kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam
sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara. Selaras
dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama bagai aur
dengan tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan
yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa PLKN turut
memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan kaum.

Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan
setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat memupuk
semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap
mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Namun, sikap negative
masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang hanya bekerja tidak tentu masa
dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat perpaduan sukar untuk
diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus dijalinkan seperti aktiviti gotong
royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut supaya
perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti kemasyarakatan dapat
menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri
setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu
walaupun berlainan bangsa mahupun agama

Satu daripada cara mencapai perpaduan di antara kaum ialah menjaga budi bahasa serta
akhlak dalam pergaulan. Perbezaan agama serta kepercayaan tidak mengurangkan kepentingan
pemupukan budi bahasa. Adat istiadat adalah peraturan yang sentiasa dlpatuhi dan diamalkan
dalam masyarakat Malaysia terutamanya pada hari perayaan. Adat istiadat ini mencirikan
Kebudayaan Kebangsaan. Antara hari-hari perayaan yang sama-sama dihormati ialah Hari
Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos, Hari Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Raya, Sambutan
Maulud Nabi Muhammad s.a.w,


Slogan 1Malaysia atau 'Satu Malaysia' adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan
oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati
gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.
Semua pihak mestilah bersama-sama menjayakannya. Pelaksanaannya bukan dibuat semalaman
tetapi secara evolusi.Ia adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses negara menuju
Wawasan 2020 serta menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang diperjuangkan
perdana menteri keempat dan kelima iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad
Badawi
Aspek utama ialah sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima di antara satu
sama lain.Masyarakat majmuk di Malaysia perlu disatukan melalui '1Malaysia'. Hubungan kaum
dipereratkan bagi jangka masa panjang. Prinsip utama yang mendasari 1Malaysia adalah
kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar. Oleh yang demikian slogan ini sudah tentu
menjadi satu pemangkin kepada perpaduan rakyat di negara ini.

Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah
melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan
persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa
curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini.

(f) Rumusan

Pengetahuan
Keamanan negara ini sangat penting dalam usaha negara ini menginjak menjadi sebuah
negara maju menjelang tahnun 2020. Antara faktor utama kejayaan ini boleh dicapai ialah
melalui situasai keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terjamin atau tidak boleh
dikompromi oleh sebarang faktor lain.
Berdasarkan peristiwa 13 Mei 1969 kita wajar memperkuat semula perpaduan kaum di negara
ini agar semua anggota masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni di negara
yang kita cintai ini.
Dalam nada yang sama kita seharusnya memahami dan menghayati peristiwa sejarah negara
negara ini yang terjajah sekian lama dan memerlukan kekuatan segenap sudut bagi menjamin
penjajahan ke atas negara ini tidak lagi akan berlaku .

Iktibar
Kita juga seharusnya mengambil iktibar bahawa perpaduan hanya dapat dicapai jika
semua rakyat bersatu padu , bertolak ansur, hormat menghormati antara sesama angota
masyarakat

Harapan
Saya berharap agar semua warga negara ini akan sentiasa mematuhi undang-undang/
peraturan, tidak terpengaruh dengan anasir luar dan menghargai jasa tokoh yang telah banyak
berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dan memenuhi kemerdekaan ini agar menjadi lebih
bermakna akhirnya.

(g) sumber rujukan

http://ms.wikipedia.org/wiki/Peristiwa_13_Mei
https://www.google.com.my/?gws_rd=ssl#q=RIMUP
Dicatat oleh CIKGU RAZAK di Isnin, Jun 30, 2014
Reaksi:
4 ulasan:
Label: SEJ PT 3
Tugasan PT 3 Sejarah
Draf awal/ kerangka awal ( kena buat dan hantar kepada cikgu ) yang ini 30 markah


Jadual kerja

1. Objektif kajian

Mengenalpasti isu-isu perpaduan kaum secara umum
Mengenalpasti kepentingan perpaduan kaum kepada negara ini
Menghuraikan cabaran dan kekangan dalam usaha mengekalkan perpaduan kaum di negara ini
Menyenaraikan langkah-langkah untuk mengekalkan dan memantapkan perpaduan kaum di
Malaysia
2. Menetapkan kaedah kajian
Membaca akhbar tempatan
Merujuk buku teks atau rujukan
Melayari internet berkaitan dengan isu perpaduan

3. Menetapkan tajuk perpaduan kaum di Malaysia

4. Menyediakan kerangka kasar penulisan

Kerangka awal

a. Tajuk rencana- Perpaduan kaum di negara ini
b. Nama penulis nama awak
c. Isi kandungan

Pengenalan isu perpaduan secara umum
Dasar pecah dan perintah British
Sistem pendidikan zaman british
Pendudukan Jepun
Peristiwa 13 Mei

Kepentingan perpaduan kaum ( huraikan 3 aja)
- mewujudkan masyarakat harmoni dan aman
- memelihara kedaulatan Negara
- mewujudkan perasaan cinta kepada Negara/ patriotism
- meningkatkan imej Negara di mata dunia
- membangunkan ekonomi negara
- mengekalkan kestabilan politik
- membina masyarakat yang saling menghormati

Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan kaum ( huraikan 3 aja )
Peristiwa 13 mei
Sistem pendidikan penjajah
Penubuhan parti politik
Isu perkauman ( bahasa , budaya , pendidikan , agama , kerakyatan
Dasar pebdidikan kebangsaan


Cabaran mengekalkan perpaduan kaum ( huraikan 3 aja )
kewujudan pelbagai aliran sekolah
- parti politik berasaskan kaum
- kesan dasar penjajahan british
Sikap individulistik dalam masyarakat
Penyalahgunaan media sosial menimbulkan isu sensitif
Campurtangan kuasa luar


Langkah untuk mengekalkan dan menetapkan perpaduan kaum di Malaysia ( huraikan 3 aja )
Kempen kerajaan
Program RIMUP
Gotong royong
Rumah terbuka
Sambutan perayaan
Program sukan
Slogan I Malaysia
Aktiviti kokurikulum

Membuat rumusan
- Keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terjamin
- Berdasarkan peristiwa sejarah lama ( ) kita wajar ........
- Memahami dan menghayati peristiwa sejarah negara

Meletakkan rujukan
Akhbar
Buku- Buku teks sejarah tingkatan 3 , KPM, DBP , 2007, KL
Majalah
Internet

Pelaksanaan kerja
Bil Tarikh Huraian/ perkara/ aktiviti Catatan
1 30/6/2014 Mendengar taklimat daripada guru
2 Membuat rujukan lanjut ke laman web
kementerian Pendidikan/ LPM


3 Bertanya guru untuk mengenalpasti tugasan
4 Menentukan tajuk tugasan
5 Membuat kajian perpustakaan
6 Membuat kajian internet
7 Membuat kerangka kasar
8 Merujuk guru tentang huraian tugasan
9 Membuat draf akhir
10 15/7/2014 Menulis rencana ikut format
11 16/7/2014 Menyemak tugasan
12 17/7/2014 Menghantar laporan

You might also like