You are on page 1of 4

1.

JURNAL REFLEKTIF
Penulisan Jurnal tentang adat Resam perkahwinan di Malaysia ini, secara tidak

langsung telah membuka mata dan minda saya tentang kepelbagaian budaya di kalangan
masyarakat majmuk di Malaysia. Semasa pencarian maklumat mengenai adat resam kaum
Bajau yang saya kaji, saya dapati terdapat pelbagai budaya dan adat yang unik semasa Majlis
Perkahwinan mereka. Sebagai contohnya, semasa persandingan beberapa das tembakan akan
dilepaskan untuk sebagai tanda hormat dan ucapan alu-aluan. Situasi ini adalah amat jarang
kita lihat namun masih lagi diamalkan di kawasan kampung, walau bagaimanapun adat ini
amat kurang diamalkan dewasa ini kerana faktor keselamatan dan masyarakat Bajau kini
juga sudah semakin moden dan majlis perkahwinan mereka pun lebih bercirikan moden
kontemporari.
Semasa menghadiri majlis perkahwinan masyarakat Bajau pada masa sekarang, saya
juga tidak dapat melihat adat menaiki tandu untuk ke rumah pengantin perempuan.
Masyarakat Bajau zaman sekarang lebih gemar menggunakan kereta untuk ke rumah
pengantin perempuan. Namun demikian, adat melepasi satu demi satu tabir atau kaukaban
lawang masih lagi diamalkan oleh masyarakat Bajau pada zaman moden ini. Adat ini amat
menarik hati dan kadang-kadang boleh menimbulkan suasana lucu apabila melihat
tingkahlaku orang-orang yang terlibat dalam upacara melepasi tabir ini. Pelbagai ragam dan
gaya dapat dilihat agar mereka boleh melepasi tabir dan pihak perempuan pula akan
melakukan pelbagai helah untuk menyusahkan pihak pengantin lelaki daripada melepasi
tabir.
Selain itu, semasa proses penyediaan makanan untuk majlis perkahwinan, masyarakat
Bajau kini lebih menyediakan pelbagai juadah yang moden dan amat jarang sekali kita lihat
perkahwinan yang menghidangkan makanan tradisional mereka. Perkara ini berlaku mungkin
akibat perubahan cara hidup masyarakat Bajau kini yang jauh lebih moden dan memilih
juadah yang boleh dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat. Hal ini juga mungkin
diakibatkan oleh sikap muda-mudi yang tidak begitu menggemari makanan tradisional
masyarakat mereka dan lebih tertarik dengan makanan yang lain.

Semasa hari perkahwinan, pengantin zaman dahulu akan dihias dengan pakaian yang
berwarna kuning dan hijau yang diperbuat daripada kain sutera. Rambut pengantin
perempuan pula dihiasi dengan serempak iaitu sejenis mahkota. Manakala, pengantin lelaki

pula berpakaian serba kuning lengkap dengan tanjak dan bersenjatakan sebilah keris diusung
dengan tandu oleh beberapa orang ahli keluarganya, atau menunggang kuda ketika menuju ke
kediaman pengantin perempuan dengan diiringi pukulan gong berirama tigad-tigad semasa
melalui jalan yang dihias dengan bendera yang berwarna-warni. Namun kini, pakaian
masyarakat Bajau lebih moden dan amat kurang yang memakai pakaian tradisional mereka.
Pengantin zaman kini, lebih berminat untuk memakai pakaian pengantin yang lebih moden
dan tidak menampakkan lagi ciri-ciri masyarakat Bajau.
Dalam melangsungkan majlis perkahwinan, Kaum Bajau amat berpegang teguh kepada
pantang larang. Penetapan hari perkahwinan perlulah dielakkan daripada hari Rabu dan Ahad.
Ini kerana kedua-dua hari ini dianggap kurang baik untuk upacara tersebut. Jika ada yang
melanggar pantang ini, pengantin akan jatuh sakit dan tidak akan mendapat rezeki yang baik.
Lazimnya, mereka akan memilih hari yang ke-14 atau ke-15 mengikut kalendar Islam, kerana
dipercayai ketika itu cahaya bulan terang dan rezeki pengantin baru itu akan menjadi murah.
Masyarakat Bajau amat teliti dengan perlaksanaan sesuatu majlis perkahwinan. Mereka
percaya bahawa perkahwinan tidak boleh dilakukan dengan sambil lewa, sebaliknya
dilaksanakan dengan tuntutan adat dan agama. Amalan seperti ini masih lagi diamalkan oleh
masyarakat Bajau dewasa ini. Dalam perkahwinan Bajau yang saya hadiri, mereka masih lagi
mengamalkan pemilihan tarikh dan tidak akan memilih sebarangan tarikh untuk
melangsungkan perkahwinan.
Umum mengetahui bahawa masyarakat Bajau amat mementingkan hubungan
kekeluargaan dan leod iaitu kelompok sedaerah. Namun, sesuai dengan perkembangan
semasa, ramai masyarakat Bajau berkahwin dengan bangsa lain termasuk Cina, Arab, India,
dan suku kaum tempatan yang lain. Oleh itu, masyarakat Bajau yang ada sekarang
kebanyakannya bukan masyarakat Bajau yang betul-betul tulen. Mereka terdiri daripada
gabungan pelbagai etnik hasil daripada perkahwinan campur. Satu kelemahan hasil daripada
perkahwinan campur ini, anak-anak tidak pandai bertutur dalam bahasa Bajau. Kebanyakan
generasi muda lebih suka bertutur dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Ibunda mereka.
Saranan saya adalah lebih elok dan lebih baik jika anak-anak kita diajar untuk bertutur dalam
bahasa Ibunda agar bahasa ini tidak luput ditelan dek zaman.
Dalam mengkaji keunikan adat resam perkahwinan Bajau ini, dapat disimpulkan dari
pandangan mata saya sebagai pemerhati, adat resam ini perlu diteruskan dan harus diketahui
oleh generasi muda pada zaman ini. Walaupun, ada sesetengah adat resam ini tidak sesuai dan

tidak boleh diikuti tetapi ianya perlu diketahui oleh masyarakat muda zaman ini melalui
pameran atau pertunjukan kerana keunikan budaya ini perlu dikongsi bersama dengan
generasi muda.
Sebagai salah seorang warga bumiputera di Sabah khususnya saya juga amat berharap
agar adat resam perkahwinan etnik-etnik ini dapat dikekalkan agar warisan generasi kita pada
masa akan datang boleh mengenali dan memahami budaya dan cara hidup masyarakat
mereka . Pengalaman sebenar yang mereka perolehi semasa menghadiri sesuatu majlis
lazimnya akan memberikan impak yang mendalam dalam jatidiri mereka. Sebagai guru, saya
akan memastikan murid-murid saya memahami dan mendalami budaya etnik mereka sendiri
dan menanamkan jatidiri dalam diri mereka agar lebih kukuh dan kuat.

You might also like