You are on page 1of 15

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN


TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU
KALI KE-43
"GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI"
16 MEI 2014, PUKUL 9.00 PAGI, DEWAN MERDEKA, PWTC
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Yang Berhormat Datuk Seri Idris bin Jusoh
Menteri Pendidikan II
Yang Berhormat Datuk Mary Yap Kain Ching
Timbalan Menteri Pendidikan I
Yang Berhormat Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan
Timbalan Menteri Pendidikan II
Yang Berbahagia Datuk Dr. Madinah binti Mohamad,
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia;
Yang Berbahagia Dato Seri Ir Dr. Zaini bin Ujang,
Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Malaysia;
Yang Berbahagia Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran
Malaysia,
Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian Pendidikan
Malaysia, Pengarah-Pengarah Pendidikan Negeri,
Yang Berusaha Tuan Haji Abdullah bin Mad Yunus,
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,

Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para pendidik
yang saya hormati sekalian.
1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan rahmat-Nya kita dapat
berhimpun pada hari ini sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-43
Tahun 2014. Saban tahun kita meraikan Perayaan Hari Guru sebagai mengiktiraf peranan
dan sumbangan guru dalam mendidik anak bangsa dan memacu kemajuan negara.
Sempena hari yang amat bermakna ini, saya merakamkan ucapan segunung kasih dan
setulus penghargaan kepada semua guru di seluruh pelosok negara atas segala jasa, bakti
dan sumbangan anda semua.
GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI
Para guru, saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
2. Selaras dengan tema Hari Guru pada tahun ini, iaitu Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana
Inovasi, sudah tiba masanya guru benar-benar menjadi pencetus kreativiti dan penjana
inovasi dalam mendidik murid. Ini adalah amat penting memandangkan negara kita sedang
menuju era negara maju di mana ekonomi negara kita perlu dipacu oleh daya inovasi
rakyat. Untuk menghadapi persaingan global yang semakin sengit dalam persekitaran
ekonomi yang dipacu oleh inovasi, sistem pendidikan kita sebenarnya memainkan peranan
yang amat penting dalam menjana daya inovasi rakyat.
3. Menyedari hakikat ini, kerajaan berusaha mentransformasi sistem pendidikan negara
menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang memberi
penekanan terhadap elemen kreativiti dan inovasi. Selaras dengan itu juga, Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi (KBAT) telah dilaksanakan di sekolah yang merangkumi tujuh elemen
iaitu kurikulum, pedagogi, pentaksiran, sumber, sokongan masyarakat, ko-kurikulum dan
bina upaya guru. KBAT di bilik darjah telah diperkukuh melalui Program i-Think iaitu satu
program yang membantu pihak sekolah memupuk kemahiran berfikir, menyemai budaya
pembelajaran sepanjang hayat, mahir dalam menyelesaikan masalah dan berupaya
menghasilkan jalan penyelesaian secara kreatif dalam kalangan murid. InsyaAllah,
menerusi program i-Think ini kita akan dapat melahirkan para pencipta generasi masa
depan Malaysia yang hebat dengan kebolehan dan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif
dan inovatif.
4. Dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia (AIM), sebanyak 1,048 buah sekolah telah
melaksanakan Program i-Think pada tahun 2013. Pada tahun ini, guru-guru dari 1,000 buah
sekolah telah diberi latihan KBAT secara dalam talian sebagai langkah memperluas
Program i-Think ke semua sekolah di seluruh negara. Pembudayaan KBAT turut
dilaksanakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) melalui kursus untuk guru pelatih dan

pensyarah.
5. Bagi menggalakkan pembudayaan inovasi dalam kalangan warga pendidik, Kementerian
Pendidikan sentiasa memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada projek-projek inovasi
guru melalui Pertandingan Anugerah Guru Inovatif Peringkat Kebangsaan yang
dilaksanakan sejak tahun 2002. Antaranya projek Smart Kiosk oleh Cikgu Mohd Solleh
Halim bin Mohd Sokhi dari Sekolah Kebangsaan Parit Serong, Tanjung Karang, Selangor,
yang dihasilkan daripada bahan terbuang yang terdapat di persekitaran sekolah. Cikgu Teh
Tik Seng dari SMK Sacred Heart, Sibu, Sarawak yang telah menghasilkan inovasi
Matematik EZ Draw, iaitu satu kaedah penyelesaian masalah bagi meningkatkan prestasi
murid dalam Matematik. Cikgu Vimala a/p Muniandy dari SJK(T) Subramaniya Barathee,
Gelugor, Pulau Pinang menghasilkan Courseware Kesusasteraan Bahasa Tamil untuk
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Produk inovasi berkaitan disiplin juga turut dihasilkan
bagi meningkatkan pengurusan disiplin di sekolah. Pada tahun 2013, SMK Agama
Putrajaya telah menghasilkan X-Time2 untuk membantu murid menepati masa; Jabatan
Pendidikan Negeri Sabah menghasilkan Minda Ajaib Portable Whiteboard untuk
mengatasi masalah pembelajaran luar kelas; dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas
Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menghasilkan projek Smart Iqra untuk mengatasi
masalah penguasaan asas al-Quran dalam kalangan murid berkeperluan khas penglihatan.
6. Semua inovasi ini telah dihasilkan melalui pendekatan, kaedah, teknik, bahan dan
peralatan baharu yang terbukti berjaya meningkatkan keberkesanan PdP. Semoga
kejayaan guru-guru yang saya sebutkan tadi dapat merangsang guru-guru lain untuk terus
meningkatkan usaha mencari idea baharu yang lebih kreatif dan inovatif ke arah
meningkatkan kualiti pendidikan negara.
PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU
Para guru dan hadirin yang saya hormati sekalian,
7. Sememangnya menjadi guru dewasa ini tidaklah semudah yang disangka. Tugas dan
tanggungjawab besar yang terletak di bahu para guru menuntut komitmen yang tinggi
khususnya dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam
sistem pendidikan. Untuk itu, guru sebagai golongan profesional perlu bersedia untuk
menerima perubahan dan memiliki ciri inovatif sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam
sebuah Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud, Barang siapa melakukan hal baharu yang
baik, maka ia mendapat pahalanya dan mendapat pula pahala orang lain yang
mengerjakan hal baharu yang baik itu.
8. Guru juga perlu sentiasa menambah nilai intelektualnya kerana guru merupakan agen
perubahan dalam menghasilkan modal insan yang diperlukan oleh negara kita. Great
teachers groom their students to become leaders. Ordinary teachers direct us along the

right path, but great teachers inspire us to seek our own path. They encourage us to
discover our talents.
9. Peningkatan profesionalisme dan kualiti guru harus diutamakan bagi mencapai matlamat
PPPM. Untuk tujuan ini, Kementerian akan memantapkan latihan guru di IPG. Kursuskursus dalam program pendidikan guru turut memberi penekanan terhadap penerapan
unsur-unsur kreativiti dan inovasi dalam latihan perguruan merangkumi Program
Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP), Program Ijazah Sarjana Muda
Perguruan (PISMP) dan Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah (PDPLI). Elemen
inovasi turut diberi tumpuan melalui aktiviti PdP merangkumi pembentangan, projek,
pembinaan sumber PdP, pertandingan inovasi bagi pendidikan lestari dan pembelajaran
atas talian. Pembudayaan inovasi di IPG juga dimantapkan dengan penganjuran programprogram inovasi di peringkat IPGM dan IPG kampus.
10. Selain itu, dalam usaha kita untuk memartabatkan profesion keguruan, Kementerian
telah menggabungkan skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah
(PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) ke dalam satu
skim perkhidmatan bersepadu PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP)
berkuatkuasa pada 1 Januari 2014. Pada tahun ini dianggarkan 5,000 orang Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG29, DG32, DG34 dan DG38 akan dinaikkan
pangkat ke Gred DG42.
11. Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang bermula di bawah Rancangan Malaysia
Kesepuluh meletakkan sasaran 60 peratus guru siswazah sekolah rendah dan 90 peratus
guru siswazah sekolah menengah pada tahun 2015. Pada tahun ini seramai 6,286 orang
PPP yang sedang mengikuti PPG dijangka bergraduat, manakala 27,105 orang PPPD
dijangka bergraduat pada tahun 2015. KPM juga sentiasa menyokong guru-guru untuk
menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi. Berdasarkan rekod pada tahun
2014 sahaja, seramai 250 guru menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan
150 guru ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah.
12. Selanjutnya, penambahbaikan laluan kenaikan pangkat secara Time-Based Berasaskan
Kecemerlangan yang memberi peluang yang luas kepada Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan untuk menikmati kenaikan pangkat merupakan satu penghargaan dan
pengiktirafan kerajaan kepada para guru. Sehingga Jun 2014, dijangkakan seramai 195
orang guru dinaikkan ke gred DG54, manakala 643 orang ke gred DG52, 803 orang ke gred
DG48 dan 8,954 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 354 orang
dinaikkan ke gred DGA38, manakala 11,314 orang dinaikkan ke gred DGA34 dan 4,091
orang ke gred DGA32.
13. Dianggarkan seramai lebih 10,500 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah
dan 15,700 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma telah mendapat

manfaat kenaikan pangkat melalui skim tersebut. Bagi melaksanakan semua urusan
kenaikan pangkat guru, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar kewangan yang
membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam
membentuk modal insan yang berpersonaliti unggul. Justeru, saya berharap agar peluang
kenaikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk
meningkatkan prestasi masing-masing.
14. Saya juga telah mengumumkan penganugerahan Tawaran Baru Guru Besar kepada
566 buah sekolah rendah yang berjaya melonjakkan pencapaian sekolah masing-masing
melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan pada tahun 2013. Bilangan sekolah tersebut
mewakili 7.31 peratus daripada 7,746 sekolah rendah dan melepasi sasaran 6 peratus yang
ditetapkan oleh KPM. Sebanyak 209 (36.9%) adalah sekolah bandar, 302 (53.4%) adalah
sekolah luar bandar dan 55 (9.7%) adalah sekolah pedalaman. Ini menunjukkan
peningkatan berbanding pencapaian bagi tahun 2012 iaitu sebanyak 180 sekolah bandar
dan 280 sekolah luar bandar telah menerima anugerah ini.
15. Daripada keseluruhan penerima anugerah ini, 119 buah sekolah telah menerima
anugerah ini sebanyak empat kali berturut-turut. Sebanyak RM23.1 juta telah diagih kepada
hampir 22,063 orang warga sekolah, yang terdiri daripada guru besar, guru-guru serta
anggota kumpulan pelaksana sebagai ganjaran kepada penganugerahan tersebut. Saya
mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemimpin sekolah dan guru-guru yang telah
menerima ganjaran tawaran baru pada tahun ini. Saya berharap ganjaran ini dapat
menyemarakkan semangat guru dalam mengoptimumkan peranan untuk melahirkan anak
didik yang boleh bersaing di peringkat global, mempunyai keistimewaan tersendiri serta
bersahsiah tinggi.
KEJAYAAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
16. Hasil bimbingan guru yang kreatif mampu menjana inovasi murid. Kita berbangga
dengan pencapaian murid kita dalam pelbagai pertandingan seperti Pertandingan Inovasi
Kebangsaan dan Malaysian International Young Inventors Olympiad 2013 (MIYIO) dengan
muncul sebagai johan dalam beberapa kategori. Di peringkat antarabangsa, murid kita
melakar kejayaan dengan muncul johan keseluruhan dalam World Robots Olympiad 2013
di Jakarta. Pingat emas dan markah penuh telah diraih oleh adik Yeoh Zi Song dari SJKC
Chong Teik, Balik Pulau, Pulau Pinang dalam 16th Primary Mathematics World Contest
(PMWC, 2013) Hong Kong. Semasa 64th INTEL International Science and Engineering Fair
(INTEL ISEF) di Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat, adik Nur Liyana Johari telah menerima
Intel ISEF 2013 Special Awards Organizations berjumlah USD5000 daripada United Airlines
Foundation.

17. Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor pula telah memenangi Anugerah Best
International Team Award Pertandingan National Final F1 di United Kingdom dan Anugerah
Emas dalam Asia Pasific Conference of Young Scientists yang diadakan di Palembang,
Indonesia. Sekolah Seri Puteri Cyberjaya telah menyertai Festival Muzik Antarabangsa
Australia (SP Winds) dan dianugerahkan Gold Award di Sydney, Australia. Manakala,
Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, telah memenangi tempat kedua anugerah
khas United Airlines Foundation sempena Intel International Science and Engineering Fair
2013 di Arizona, Amerika Syarikat. Sekolah Menengah Sains Selangor memperolehi
Anugerah Emas dalam European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT)
2013 yang diadakan di Lasi, Romania. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua
warga pendidikan yang telah berusaha gigih untuk memastikan nama negara harum di
peringkat antarabangsa.
18. Dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa pula, Malaysia melakar sejarah
tersendiri apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Asia
(ASTFC) yang pertama dengan meraih 12 pingat emas, 14 pingat perak dan 10 pingat
gangsa untuk mendahului lapan lagi negara yang bertanding. Pasukan Malaysia juga
mencapai kejayaan cemerlang dalam Temasya Sukan Asean Para Games, Nay Pyi Taw
Myanmar 2014 dengan memenangi 9 emas, 5 perak dan 2 gangsa.
19. Saya juga amat berbangga dengan kejayaan guru kita yang meraih kejayaan cemerlang
dalam temasya sukan di peringkat antarabangsa. Saya mengucapkan tahniah kepada
Cikgu Mohd Jironi Riduan dari Sekolah Sukan Tuanku Mahkota Ismail, Johor yang telah
memenangi 2 pingat emas dalam Sukan Sea ke-27, di Nay Pyi Taw, Myanmar dalam acara
lumba lari 800m dan 1500m.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
20. Sempena majlis yang penuh bermakna ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggitinggi penghargaan dan tahniah kepada para guru yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru
Kebangsaan, Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan Ikon Guru bagi tahun ini.
Anugerah ini ialah tanda penghargaan dan pengiktirafan negara terhadap jasa serta
pengorbanan tokoh-tokoh guru yang tidak ternilai kepada bangsa dan negara.
21. Justeru, sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para insan bergelar
guru di mana jua anda berada. Biarkan ungkapan keramat guru atau cikgu tetap kekal
meniti di bibir murid, ibu bapa dan masyarakat hingga ke akhir hayat seorang guru. Semoga
saudara dan saudari para guru terus menjadi inspirasi kepada generasi penerus bangsa.
Kepada guru-guru saya ingin berpesan agar sayangilah murid-murid seumpama ibu atau
bapa kepada mereka dan didiklah mereka dengan baik. Kepada murid-murid, nasihat saya,
hormatilah dan hargailah jasa guru-guru anda.

16 Mei sentiasa dinanti


Sambutan meriah penuh tradisi
Terima kasih guru-guru yang dikasihi
Jasa baktimu sentiasa diingati
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya merasmikan Sambutan Perayaan
Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-43 Tahun 2014. SELAMAT HARI GURU! TERIMA
KASIH CIKGU! Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

ome > Pendidikan > Ucapan oleh Menteri Pelajaran sempena Hari Guru 2009

Ucapan oleh Menteri Pelajaran


sempena Hari Guru 2009
on Tuesday, May 19, 2009
Alhamdullilah, saya merafakkan rasa syukur setinggi-tingginya ke hadrat Allah SWT
kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, sekali lagi kita dapat bersama-sama
menjayakan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2009.
Pada pagi yang sungguh bermakna ini, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Guru
kepada warga guru di seluruh pelosok tanah air dan merakamkan ucapan setinggi-tinggi
penghargaan atas jasa, pengorbanan dan perjuangan guru-guru dalam mendidik anak
bangsa. Untuk kesekian kalinya kita meraikan hari guru sebagai tanda penghormatan
dan pengiktirafan tertinggi masyarakat terhadap sumbangan besar kaum guru. Sejak
dari awal lagi, guru-guru telah memainkan peranan penting sebagai penyuluh
masyarakat.
Mereka tanpa rasa jemu mencurahkan ilmu kepada anak bangsa, menyemai rasa taat
setia kepada negara dan memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat berbilang
kaum dan agama dengan satu matlamat untuk membina sebuah negara bangsa yang
aman, maju dan makmur. Justeru, tema Hari Guru yang dipilih bagi tahun ini iaitu Guru
Pembina Negara Bangsa amat bertepatan sekali dengan peranan besar yang digalas
oleh guru-guru.
Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, usaha membina sebuah negara bangsa
yang bersatu padu dan harmoni adalah prasyarat utama kepada keupayaan kita untuk
memacu kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi. Tidak ada sebuah negara pun
yang boleh bergerak maju ke hadapan jika rakyatnya tidak mampu untuk membulatkan
tekad dan bergerak seiring selangkah untuk membangunkan negara bangsa.

Keupayaan untuk membina negara bangsa pula amat bergantung kepada sejauh mana
nilai-nilai patriotisme, toleransi serta sikap saling hormat menghormati dapat dipupuk
dan dikongsi secara bersama oleh setiap lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan
agama. Nilai-nilai yang seharusnya dikongsi secara bersama ini sudah tentu perlu
dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi.
Justeru, dalam usaha kita untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu, di
bahu para gurulah terletaknya satu amanat besar untuk menyemai nilai-nilai
patriotisme, perpaduan dan rasa saling hormat-menghormati di kalangan anak bangsa.
Berjaya guru dalam menyemai nilai-nilai murni ini, berjayalah kita dalam membina
sebuah negara bangsa yang aman, maju dan makmur.
Penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi di kalangan rakyat merupakan
prasyarat utama kepada kecemerlangan bangsa dan negara. Bangsa yang menguasai
ilmu akan menjadi bangsa yang maju. Oleh itu, peranan besar para guru ialah untuk
melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran tinggi serta mempunyai kepakaran
untuk memajukan negara.
Dalam usaha kita untuk melonjakkan pencapaian ekonomi negara ke tahap rantaian
nilai yang lebih tinggi, serta menghadapi iklim ekonomi global yang semakin kompetitif,
tugas untuk melahirkan modal insan yang berinovasi dan kreatif menjadi lebih
mencabar.
Tumpuan kerajaan pada ketika ini ialah untuk mempertingkatkan mutu pendidikan
negara dengan memberikan penekanan terhadap aspek inovasi dan kreativiti dalam
proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah. Aktiviti kurikulum dan kokurikulum akan memberi penekanan khusus kepada usaha untuk membangunkan
potensi daya cipta anak-anak agar mereka mempunyai kebolehan untuk mencipta dan
berfikir secara kreatif. Matlamat kita adalah untuk menjadikan keinginan mencipta
sebagai satu budaya yang diamalkan oleh anak-anak.
Potensi mereka tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan
semata-mata, tetapi dinilai secara holistik dengan merangkumi aspek daya cipta dan
kreativiti. Dengan cara ini saya yakin bahawa kita akan berjaya melahirkan modal insan
yang kompeten.
Untuk mencapai hasrat ini, Kementerian Pelajaran sedang membangunkan kurikulum
yang menumpukan kepada perkembangan potensi pelajar secara holistik dengan
memberikan lebih banyak peluang kepada mereka untuk meneroka bidang ilmu melalui
proses pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan merangsang minda serta tidak
berorientasikan peperiksaan semata-mata.
Transformasi Kurikulum Kebangsaan bagi sekolah rendah yang akan dilaksanakan tidak
lama lagi akan menumpukan pembelajaran dalam disiplin komunikasi, kerohanian, sikap
dan nilai, kemanusiaan, ketrampilan diri, fizikal dan estetika, serta literasi sains dan
teknologi. Melalui transformasi kurikulum ini, Kementerian Pelajaran berharap agar
proses pembelajaran akan menjadi lebih berkesan dan holistik.
Dalam usaha kita untuk melahirkan insan kamil selaras dengan hasrat yang terkandung
dalam Falsafah Pendidikan Negara, potensi anak-anak kita perlu dibangunkan secara
menyeluruh dan seimbang. Ini termasuklah membangunkan potensi jasmani anak-anak
yang berkait rapat dengan perkembangan minda mereka.

Jasmani yang sihat menjamin perkembangan minda yang cerdas. Aktiviti sukan
merupakan komponen utama dalam proses pembelajaran anak-anak yang akan
membantu perkembangan jasmani yang sihat.
Oleh itu, kerajaan akan memberikan penekanan khusus kepada usaha mempergiatkan
aktiviti kesukanan dan riadah di sekolah-sekolah sebagai satu usaha untuk
membangunkan potensi jasmani anak-anak.
Pihak kerajaan pada ketika ini sedang mengkaji model pembangunan sukan yang paling
berkesan untuk diaplikasi di sekolah-sekolah di seluruh negara. Khidmat profesional
mungkin akan digunakan di sekolah-sekolah untuk melatih anak-anak dalam bidang
sukan yang tertentu. Dengan cara ini kita berharap agar sistem pendidikan kita akan
mampu untuk melahirkan juara dalam pelbagai bidang sukan dan sekali gus membantu
memajukan industri sukan negara.
Di samping mencurahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran, guru juga
bertanggungjawab menerapkan nilai-nilai murni kepada anak-anak. Tugas ini tentu
sekali perlu digalas secara bersama oleh guru-guru, ibu bapa dan masyarakat.
Untuk itu, perlu wujud persefahaman antara guru dan ibu bapa untuk mengasuh anakanak dengan sifat-sifat terpuji. Sebagaimana ibu bapa, guru-guru juga perlu menjadi
role model kepada anak-anak.
Sekiranya tanggungjawab ini boleh dilaksanakan dengan baik, saya yakin bahawa kita
akan mampu untuk mengatasi masalah disiplin di sekolah-sekolah serta mengurangkan
gejala antisosial dalam masyarakat, terutamanya di kalangan generasi muda.
Guru juga menggalas amanah penting untuk menyemai dan mengukuhkan sanjungan
terhadap bahasa, seni, warisan serta budaya bangsa dalam jiwa anak-anak.
Kita perlu ingat bahawa bahasa adalah jiwa bangsa. Luntur bahasa, lunturlah jiwa
bangsa. Untuk itu kerajaan sentiasa komited untuk memartabatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.
Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan di negara kita perlu menjadi teras
kepada jiwa negara bangsa yang ingin kita bina. Bahasa Melayu juga perlu
diperkasakan sebagai bahasa perpaduan yang menyatukan setiap rumpun masyarakat
yang ada di negara kita.
Pada masa yang sama, kerajaan juga komited untuk mempertingkatkan penguasaan
bahasa Inggeris di kalangan pelajar untuk menjadikan mereka lebih kompeten dalam
menghadapi persaingan globalisasi yang semakin mencabar.
Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu di samping
mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, Kementerian Pelajaran akan
melaksanakan latihan perguruan berfokus kepada bahasa Melayu di Institut Pendidikan
Guru Malaysia (IPGM), Kampus Bahasa Melayu.
Latihan perguruan berfokus kepada bahasa Inggeris akan dijalankan di empat Institut
Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) iaitu di IPGM Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala
Lumpur; IPGM Kampus Gaya, Kota Kinabalu; IPGM Kampus Dato Razali Ismail, Kuala

Terengganu; dan IPGM Kampus Batu Lintang, Kuching.


Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) juga diwujudkan bertujuan untuk
meningkatkan profesionalisme guru termasuk memartabatkan bahasa Melayu dan
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
Kursus dalam perkhidmatan untuk bahasa Inggeris diperkukuhkan lagi di English
Language Teaching Centre (ELTC) yang akan menjadi nadi kepada latihan dalam
perkhidmatan bagi guru-guru Bahasa Inggeris.
Kerajaan juga sentiasa prihatin untuk memastikan sektor pendidikan negara terus
diberikan keutamaan, khususnya untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Pada tahun 2009 sejumlah RM3.406 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian
Pelajaran untuk membiayai 21 jenis bantuan kepada murid-murid dari keluarga miskin
dan berpendapatan rendah. Ini termasuklah RM254.92 juta bagi Rancangan Makanan
Tambahan; RM1.142 bilion bagi bantuan makanan asrama, RM255 juta bagi Skim
Bantuan Tuisyen, RM180 juta bagi Skim Pinjaman Buku Teks, RM400 juta untuk
Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan lebih RM270 juta untuk pemberian
biasiswa pendidikan.
Guru-guru kita telah memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaan kita pada
hari ini. Tanpa sumbangan guru-guru, kita sudah tentu tidak berada di sini pada hari ini.
Walau siapa pun kita pada hari ini, ingatlah jasa, pengorbanan dan perjuangan guruguru yang telah mendidik kita semua menjadi insan yang berjaya. Tanpa rasa jemu
mereka telah memerah keringat, berkorban masa dan mengharungi pelbagai cabaran
demi menyempurnakan amanah mendidik anak bangsa.
Di mana saja mereka berada, baik di bandar mahupun di desa, para guru sentiasa
bersedia untuk mencurahkan khidmat bakti. Di hati para guru hanyalah satu matlamat.
Setiap murid perlu ditingkatkan kemampuan inteleknya, dibina akhlak peribadinya,
dikukuhkan jati dirinya untuk menjadi insan yang seimbang dan warganegara yang baik.
Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua guru. Tidak dinafikan bahawa
kebajikan guru serta peluang laluan kerjaya menjadi faktor utama motivasi guru untuk
terus menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara. Rungutan guru tentang
bebanan tugas yang terlalu berat perlu diteliti agar ia tidak menjejaskan motivasi guru
untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.
Menyedari betapa pentingnya aspek kebajikan guru serta insentif yang boleh
mendorong mereka untuk terus mengamalkan budaya kerja yang cemerlang, saya ingin
mengumumkan keputusan kerajaan mengenai prospek laluan kerjaya bagi Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan (PPP).
Sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada guru-guru, kerajaan telah
meluluskan pertambahan kuota guru dan Pengetua Cemerlang bagi Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di Sekolah Menengah.
* Guru Cemerlang Gred Khas C ditambah daripada 24 kepada 36,
* Guru Cemerlang Gred DG54 ditambah daripada 100 kepada 134,

* Guru Cemerlang Gred DG52 ditambah daripada 250 kepada 336,


* Guru Cemerlang Gred DG 48 ditambah daripada 1,000 kepada 1,345,
* Guru Cemerlang Gred DG44 ditambah daripada 4,000 kepada 5,379.
* Pengetua Cemerlang Gred JUSA C daripada 10 kepada 20 jawatan, iaitu pertambahan
100 peratus,
* Pengetua Cemerlang Gred DG54 pula ditambah daripada 200 kepada 475 jawatan;
dan
* Pengetua Cemelrang Gred DG52 dikekalkan sebanyak 400 jawatan.
Selain daripada itu, kerajaan juga telah bersetuju mewujudkan beberapa jawatan Guru
Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah yang berkhidmat di
sekolah rendah iaitu:
* Guru Cemerlang Gred DG48 sebanyak 173 jawatan, dan
* Guru Cemerlang Gred DG44 sebanyak 1,737 jawatan.
Pegawai Perkhidmatan Bukan Siswazah juga akan menikmati laluan kerjaya yang sama
apabila kerajaan selesai melakukan kajian mengenainya tidak lama lagi.
Selaras dengan hasrat untuk mewujudkan masyarakat penyayang, kerajaan juga
bersetuju untuk memanjangkan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan
(EKMLTK) kepada pasangan pegawai yang turut berkhidmat di sekolah-sekolah
pedalaman. Tarikh berkuat kuasa pemanjangan elaun ini dikebelakangkan mulai 1 Mac
2009.
Kerajaan juga menghargai pengorbanan yang telah diberikan oleh Anggota Khidmat
Sokongan, terutamanya Pembantu Pengurusan Murid (PPM).
Justeru, sukacita saya memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membuat
Bayaran Insentif Pembantu Pengurusan Murid (BIPPM) sebanyak RM200 sebulan kepada
Pembantu Pengurusan Murid yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas
dan Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah
Kebangsaan. Tarikh kuat kuasa Bayaran Insentif ini juga telah dikebelakangkan mulai 1
Januari 2009.
Setelah saya memaklumkan beberapa keputusan kerajaan berhubung dengan insentif
perkhidmatan kepada guru-guru, izinkan pula saya menyampaikan beberapa amanat
penting.
Mendidik anak bangsa adalah tugas yang amat mulia. Saya berharap, usaha murni ini
akan terus dilaksanakan dengan penuh dedikasi agar kita berjaya membina sebuah
negara bangsa yang aman, maju dan makmur.
Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh warga pendidik supaya terus
gigih berusaha dan bekerja sebagai satu pasukan. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas

dan jadikan profesion perguruan sebagai medan perjuangan untuk memajukan anak
bangsa.
Kepada guru-guru yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru pada tahun ini, setinggi-tinggi
tahniah saya ucapkan. Sesungguhnya budi anda mendidik anak bangsa akan sentiasa
disanjung oleh masyarakat.
Harum sungguh bunga melati
Kembang setangkai di ruang laman
Budi guru kita hargai
Jadi sanjungan sepanjang zaman
Selamat Menyambut Hari Guru!
Terima Kasih Cikgu!

2014
2013
2012
2011
2010
2009
2008
2007
2006
2005
2004
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
1989
1988
1987

Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi


Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda
Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
Guru Pembina Negara Bangsa
Guru Pembina Negara Bangsa
Guru Cemerlang Negara Terbilang
Guru Penjana Modal Insan Gemilang
Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
Guru Berkualiti Aspirasi Negara
Guru Berkualiti Aspirasi Negara
Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
Guru Bestari Sekolah Bestari
Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
Ke Arah Pendidikan Cemerlang
Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
Guru Pembina Budaya Ilmu
Guru Pengasas Budaya Membaca
Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan

1986
1985
1984
1983
1982
1981
1980
1979
1978
1977
1976
1975
1974
1973
1972

Pendidikan Teras Nasionalisme


Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
Pendidikan Teras Perpaduan Negara
Murid Sejahtera Negara Jaya
Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
Guru dan Pembangunan Negara
Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

PENGENALAN

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun
1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council)
telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the
Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.
Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi
Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

OBJEKTIF HARI GURU MALAYSIA

Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan


integrasi),
pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru
dalam
masyarakat Malaysia.

Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.

Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.

Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar,


persidangan
-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.

Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan


mengambil
langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

LOGO HARI GURU

Putih
- Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
Perak
- Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.
Kuning
- Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan. Bulan dan bintang
membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.
Merah
- Menunjukkan keteguhan semangat.
Biru
- Menunjukkan perpaduan muhibah.
Dari pusat lambang tersebut, muncullah buku yang memberi ilmu pengetahuan dalam
segalalapangan bagi kepentingan negara yang aman dan makmur. Di hadapan bukudidapati
rekabentuk seorang murid yang sentiasa memerlukan pengajarandan pendidikan daripada
guru. Dua reka bentuk di antara murid dan buku,ialah guru perempuan dan lelaki berfikiran
sama dalam segala lapangantentang mata pelajaran dan kokurikulum. Mereka sentiasa
menggalakkanmurid-murid supaya meninggikan mutu pelajaran dan kegiatan
kokurikulummengikut prinsip-prinsip Ruku Negara. Dari bawah didapati satu garisanbulat yang

tebal mengandungi slogan "HIDUP BERBAKTI". Ini menjadisebuah tapak yang luas dan kukuh
membuktikan perpaduan guru.

IKRAR HARI GURU


Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

You might also like