You are on page 1of 4

Bahasa Melayu Moden

SATU daripada ciri utama bahasa Melayu moden ialah bahasa itu memiliki pelbagai laras,
jauh lebih banyak daripada laras yang terdapat dalam bahasa Melayu klasik. Wujudnya
banyak laras itu, selain disebabkan perkembangan bahasa, turut ada kaitan dengan
perancangan yang dijalankan.
Perancangan bahasa merupakan usaha-usaha yang dijalankan untuk memupuk bahasa ke
arah taraf yang lebih maju yang dijalankan secara sistematik. Perancangan dijalankan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka. Secara kasar, perancangan bahasa dijalankan dalam tiga
peringkat utama, iaitu penentuan bahasa, pelaksanaan rancangan, dan penilaian. Peringkat
penentuan dan penilaian merupakan perancangan status (taraf), manakala peringkat
pelaksanaan ialah perancangan korpus (bahan).
(1) Perancangan Status (Taraf)
.
(a) Penentuan atau pemilihan kod (bahasa)
.
Peringkat ini merupakan peringkat pertama perancangan bahasa. Bahasa Melayu dipilih
sebagai kodnya kerana Perkara 152 Perlembagaan Tanah Melayu (1957) telah menetapkan
bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan. Penyata Rahman Talib (1960) turut
memperakukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah menengah
Melayu. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 pula menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi.
.
(b) Penilaian
.
Peringkat ini merupakan peringkat peninjauan kembali berkenaan hasil dan kesan aktiviti
perancangan. Peringkat ini melibatkan pengguna bahasa. Penilaian boleh dibuat secara
formal oleh ahli akademik, juga kritikan melalui akhbar atau rungutan penutur atau individu
biasa.
.
Langkah ini bertujuan untuk membantu perancangan selanjutnya, di samping membaiki
kelemahan yang ada. Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) umpamanya, mengalami
proses ini apabila dibuat pindaan dan tokok tambah terhadap edisi-edisi sebelumnya.
.
(2) Perancangan Korpus (Bahan)
(a) Pengekodan
.Pengekodan bererti penyeragaman, iaitu proses menghasilkan satu variasi bahasa
standard yang sempurna dan seragam, atau usaha-usaha atau prosedur-prosedur
pembakuan bahasa.
.
Dalam bahasa Melayu, pengekodan perlu dibuat kerana kewujudan pelbagai dialek daerah
yang membezakan sebutan, perkataan, serta susunan frasa dan ayat. Dengan wujudnya satu
variasi bahasa, akan wujud keupayaan memperkatakan semua gejala dalam masyarakat, dan
setanding tarafnya dengan bahasa-bahasa moden lain.
Pengekodan melibatkan korpus-korpus yang berikut:
(i) Ejaan
.
Sistem ejaan bahasa Melayu terdiri daripada Jawi dan Rumi, tetapi ejaan Rumi merupakan
ejaan utama selepas kemerdekaan. Bahasa Melayu mencapai kejayaan yang agak baik dalam
usaha penyeragaman sistem ejaan Rumi apabila wujud Sistem Ejaan Rumi Baharu (1972)
yang dilaksanakan melalui Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM). Sebelum ini, kita
menggunakan sistem Wilkinson (1904), Ejaan Sekolah (1904) dan sistem Zaba (1930-an).

Ejaan Rumi hendaklah menggunakan pedoman rasmi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,
iaitu Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia (1987) atau Pedoman Ejaan Rumi Bahasa
Melayu (2000) dan Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1993).
Ejaan Jawi pula perlu menggunakan pedoman daripada Daftar Ejaan Rumi-Jawi (1988).
.
(ii) Tatabahasa
.
Proses pengekodan dalam aspek ini ialah pengembangan cara-cara pembentukan kata
(morfologi), frasa dan ayat (sintaksis). Umpamanya, digunakan bentuk gandaan separa bagi
pembentukan istilah teknikal, seperti pepejal, gegendang, sesendi, dan sebagainya. Bahasa
Melayu juga meminjam morfem-morfem asing, seperti pra-, anti-, isme-, dan lain-lain lagi,
yang membolehkan banyak perkataan baharu dapat dibentuk.
Kejayaan pada peringkat ini ialah penerbitan buku tatabahasa, antaranya Nahu Melayu
Mutakhir (DBP:1982) oleh Asmah Haji Omar. Kemudian muncul buku Tatabahasa Dewan
Jilid 1 (DBP:1987) berkenaan dengan sintaksis, dan Tatabahasa Dewan Jilid 2 (DBP:1989)
berkenaan dengan morfologi. Kedua-dua jilid itu kemudiannya digabungkan dalam
Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993), dan ditambahsuaikan menjadi Tatabahasa Dewan
Edisi Ketiga (2008). Buku ini diangkat oleh DBP sebagai buku pegangan utama, dan
diperakukan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dan Kementerian Pendidikan Malaysia
sebagai panduan utama peringkat sekolah. Sebelum ini, bahasa Melayu menggunakan
pedoman daripada hasil usaha Zaba sepenuhnya.
.
(iii) Perkamusan
.
Usaha dalam aspek ini dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penerbitan swasta
dan orang perseorangan. Tujuannya supaya perkataan-perkataan baharu diketahui dan
difahami maknanya dengan jelas. DBP telah menerbitkan kamus ekabahasa seperti Kamus
Dewan (1970) dan Kamus Pelajar Bahasa Malaysia (1987); kamus dwibahasa seperti Kamus
Inggeris-Melayu Dewan (1991); kamus umum pelbagai bahasa; kamus istilah dalam pelbagai
bidang sains asas, sains kemasyarakatan, dan lain-lain., seperti Kamus Istilah Sains Am
(1988); kamus khusus seperti kamus tentang sinonim, dialek, etimologi, ungkapan,
peribahasa, dan lain-lain; glosari seperti Glosari Istilah Sains Nuklear (1993), dan tesaurus
yang meliputi tesaurus umum, tesaurus konsep, dan tesaurus bidang khusus.
.
(iv) Sebutan
Kepelbagaian dialek dalam bahasa Melayu yang menyebabkan perbezaan sebutan
memerlukan pembentukan satu variasi seragam untuk kegunaan semua penutur dalam
situasi rasmi. Masalah yang timbul berkaitan sebutan ialah kelainan bunyi vokal pada
lingkungan akhir perkataan, iaitu a disebut sebagai o separuh, u disebut sebagai o, dan i
disebut sebagai e taling. Dengan ini diputuskan satu sebutan baku, iaitu sebutan yang betul
berdasarkan ejaan bahasa Melayu, yang digunakan dalam acara rasmi, seperti ucapan,
pengajaran, mesyuarat, bacaan berita, dan sebagainya. Sebutan baku ini dikuatkuasakan
mulai tahun 1988. Sebutan ini digunakan dengan baik dalam penyampaian berita di stesen
televisyen TV3, tetapi tidak berkesan dalam pengajaran di sekolah. Sebutan baku
dimansuhkan apabila Kabinet (2000) berpendapat bahawa sebutan itu tidak menggambarkan
sebutan sebenar rakyat Malaysia.
.
(v) Istilah
Setiap laras memerlukan istilah. Kegiatan membina istilah baharu, khususnya dalam bidangbidang teknikal, dilaksanakan oleh DBP dengan bantuan pihak universiti dan badan lain.

Pelbagai jawatankuasa istilah telah diwujudkan untuk melaksanakan pembentukan istilah.


Pedoman Pembentukan Istilah (1975) dijadikan panduan.
Melalui MBIM dan kemudiannya Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia
(Mabbim), usaha penyeragaman kegiatan peristilahan telah dilakukan. Istilah-istilah yang
dibentuk perlu diperakukan oleh Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu, dan sesetengahnya
perlu dibawa ke peringkat Mabbim.
Pelbagai pedoman telah diterbitkan, seperti Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa
Malaysia, Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia, Pedoman Penyusunan Kamus Istilah,
Pedoman Transliterasi Huruf Arab ke Huruf Rumi (1988), dan sebagainya.
.
(b) Pemupukan
.
Pemupukan ialah usaha-usaha mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan saling
terjemah dengan beberapa bahasa moden lain.
Ilmu pengetahuan dan kemahiran teknikal terdapat dalam bahasa-bahasa asing, oleh itu
perlu diterjemahkan dan disesuaikan ke dalam bahasa Melayu dengan pantas kerana
teknologi cepat berubah. Antara istilah yang dibentuk meliputi bidang perjawatan (1960);
pentadbiran (1961); ekonomi (1965); pendidikan (1966); geografi (1967); biologi, perhutanan,
pertanian, fizik, matematik dan kimia (1968); kejuruteraan (1970); undang-undang,
linguistik, kesusasteraan, dan pos dan perhubungan (1972); perniagaan, industri,
perakaunan, sejarah dan sains rumah tangga (1973); dan muzik dan seni (1974).
Tatacara pembentukan istilah telah ditetapkan sebagaimana yang berikut:

Langkah 1: Mencari kata dalam bahasa Melayu yang lazim digunakan.

Langkah 2: Mencari kata dalam bahasa Melayu yang sudah tidak lazim digunakan.

Langkah 3: Mencari kata dalam bahasa serumpun yang lazim digunakan.

Langkah 4: Mencari kata dalam bahasa serumpun yang sudah tidak lazim digunakan.

Langkah 5: Mencari kata dalam bahasa Inggeris.

Langkah 6: Mencari kata dalam bahasa asing lain yang bersifat antarabangsa.

Langkah 7: Memilih istilah yang terbaik daripada pilihan 1 hingga 6. Pilihan-pilihan


tersebut haruslah maknanya tidak menyimpang daripada konsep istilah, tidak
berkonotasi buruk, sedap didengar, tepat, dan singkat.

EmelkanIniBlogThis!KongsikeTwitterKongsikeFacebook

BAHASA MELAYU MODEN - PERANANNYA


SEMENJAK berkembangnya bahasa Melayu klasik (abad ke-14 hingga abad ke-17), bahasa
Melayu telah memainkan peranan yang sangat penting, iaitu bahasa perhubungan. Pada
masa itu, setiap orang yang datang ke Nusantara, perlu mengetahui bahasa Melayu untuk
berhubung dengan masyarakat Nusantara, sama ada dalam urusan perdagangan, keagamaan,
atau hubungan sosial yang lain. Hal itu berlaku demikian kerana orang Melayu pada masa itu
tidak menguasai atau memahami bahasa lain. Dengan hal yang sedemikian, bahasa Melayu
berfungsi sebagai lingua franca, iaitu bahasa perantaraan bagi dua budaya atau kaum
yang berbeza.
Bahasa Melayu moden menjadi bahasa perhubungan yang teramat mustahak untuk sesama
warganegara Malaysia. Penggunaan bahasa Melayu untuk perhubungan adalah wajib dalam
urusan rasmi demi mematuhi peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia
yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Oleh hal yang demikian,
pegawai kerajaan di peringkat persekutuan, negeri, dan pihak berkuasa awam di peringkat
daerah, sepatutnya menggunakan bahasa Melayu ketika berurusan secara rasmi.
Bahasa Melayu yang dimartabatkan sebagai bahasa pengantar pendidikan dari peringkat
sekolah rendah hingga peringkat universiti, menjadi bahasa ilmu. Mata pelajaran Sains dan
Matematik, yang menggunakan banyak istilah daripada bahasa Inggeris, diajarkan dengan
baik dalam bahasa Melayu. Banyak pengetahuan yang dikumpulkan oleh rakyat Malaysia
yang membaca buku dan risalah dalam bahasa Melayu. Semenjak bahasa Melayu menjadi
bahasa pengantar, sudah ramai intelek Melayu yang dihasilkan. Walaupun mereka mendapat
pendidikan dalam bahasa Melayu, mereka juga dapat berbahasa Inggeris. Oleh itu, bahasa
Melayu dapat menjadi bahasa tinggi sekiranya diberi perhatian dan galakan yang
sewajarnya oleh pihak kerajaan dan mendapat kerjasama yang baik daripada warganegara.
Harapan untuk melihat bahasa kebangsaan ini menjadi bahasa antarabangsa juga
mungkin tercapai sekiranya bahasa ini diberi kepercayaan yang lebih baik.
Bahasa Melayu berperanan penting untuk mewujudkan perpaduan. Oleh itu, bahasa Melayu
ialah bahasa perpaduan. Semenjak merdeka, orang Cina, India, dan keturunan Portugis di
Melaka, menggunakan bahasa Melayu untuk saling berhubung secara rasmi dan tidak rasmi.
Dengan penggunaan satu bahasa, semua kaum lebih mesra kerana tidak timbul sebarang
prasangka berkait dengan makna perkataan atau istilah yang digunakan. Demikian jua
sesama orang Melayu, walaupun datang daripada pelbagai kawasan dialek, apabila bertemu,
mereka akan berusaha untuk menggunakan bahasa baku. Penggunaan bahasa Melayu
kebangsaan ini menjadikan mereka saling memahami maksud yang hendak disampaikan.
EmelkanIniBlogThis!KongsikeTwitterKongsikeFacebook

You might also like