You are on page 1of 9

Tema

: jasa dan pengorbanan Guru


Arahan : menjelaskan cara-cara menghargai jasa dan pengorbanan guru
Format : tiada (Huraian)
Model karangan contoh terbaik
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Demikianlah indahnya bait-bait puisi yang diungkapkan oleh Datuk Usman
Awang mantan Sasterawan Negara pada tahun 1979 yang bertajuk Guru Oh Guru.
Ternyata puisi tersebut mengiktiraf insan mulia bergelar guru sebagai insan yang
bertungkus-lumus mencurahkan bakti demi mendidik anak bangsa agar menjadi
generasi yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi, intelektual dan sosial
seterusnya menjadi insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Malah, kejayaan
yang dikecapi oleh pelbagai golongan pada masa kini bermula daripada pengorbanan
seorang guru yang dengan lembut dan sabarnya mendidik dan mencurahkan ilmu
kepada anak-anak didiknya. Justeru, memang tidak dapat disangkal lagi golongan guru
merupakan barisan hadapan yang sangat penting dalam usaha menyediakan rakyat
yang berpendidikan dan berakhlak mulia yang mampu menerajui tampuk kepimpinan
negara ke arah kemajuan. Seterusnya generasi inilah yang bakal memacu
pembangunan negara agar negara berada pada landasan yang tepat dan dapat duduk
sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain yang maju. Begitulah
besarnya peranan, jasa dan pengorbanan seorang insan bergelar guru. Oleh itu,
apakah cara dan wadah yang paling bermakna dapat dilakukan oleh seseorang pelajar
untuk menghargai jasa dan pengorbanan gurunya?
Memang tidak dapat dinafikan, golongan pelajar merupakan individu yang paling
hampir dan amat mendambakan ilmu daripada guru untuk bekalan menempuhi
pelbagai ranjau dan liku kehidupan. Bermula di peringkat tadika sehinggalah ke menara
gading, ilmu pengetahuan ditimba tidak putus-putus bagai air sungai yang mengalir.
Bahkan ketika di sekolah, seorang guru umpama ibu dan ayah kepada pelajar yang
mendidik dan mengawasi pelajar sejurus selepas sesi persekolahan bermula
sehinggalah usai sesi persekolahan. Juseru pelajar mesti bergaul dengan guru persis
seperti mereka bergaul dengan ibu bapa di rumah. Sebagai pelajar, mereka perlu
berkelakuan baik terhadap guru walaupun di mana-mana mereka berada. Pelajar harus
senantiasa menghormati guru, bersopan-santun dan berbudi pekerti mulia apabila
berhadapan dengan guru mereka. Sebagai contoh, perbuatan memberi salam,
mengucapkan salam sejahtera, serta ucapan terima kasih perlulah sentiasa bermain di
bibir seorang pelajar. Bahasa yang sopan dengan nada suara yang lemah lembut
semasa berkomunikasi adalah amat dituntut daripada pelajar kerana adalah tidak wajar
seseorang pelajar meninggikan suara di hadapan gurunya. Hormatilah guru
sebagaimana kita menghormati ibu bapa. Semasa di dalam kelas, pelajar yang
menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru yang
menjalankan tugasnya. Segala arahan dan suruhan guru dipatuhi. Tegasnya, berbudi
bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang
mengajar serta mendidik kita.
Selain itu, kejayaan yang cemerlang seseorang pelajar dalam pelbagai bidang
sama ada kurikulum mahupun kokurikulum juga satu cara menghargai jasa seorang
guru. Guru mana yang tidak gembira apabila anak didiknya mengukir kejayaan dalam
peperiksaan. Hati guru yang mana yang tidak berbunga bangga apabila anak didiknya
cemerlang dalam peperiksaan. Justeru, Belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja
penting untuk kecemerlangan diri tetapi dalam masa yang sama mampu
menggembirakan hati seorang guru serta turut dapat mengharumkan nama sekolah.
Kecemerlangan yang diperoleh secara langsung dapat menyejukkan hati guru yang
mengajar para pelajarnya. Sebagai contoh, pelajar perlu bertungkus-lumus dan berhati
waja untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam semua peperiksaan yang
diduduki seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah

(PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolah Malaysia(STPM).
Kejayaan yang tercipta diumpamakan sebagai hadiah berharga serta memastikan jerih
payah guru tidak sia-sia dan berlalu begitu sahaja ibarat mencurahkan air ke daun
keladi ataupun mencurahkan garam ke laut. Dalam hal ini, pelajar seharusnya sedar
bahawa guru tidak pernah meminta apa-apa balasan daripada kejayaan yang tercipta
tetapi cukup sekadar ucapan terima kasih.
Di samping mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik, para pelajar
seharusnya tidak melanggar disiplin serta melibatkan diri dengan kegiatan negatif yang
boleh merosakkan nama baik guru dan sekolah. Fenomena ini perlulah diberikan
perhatian oleh para pelajar kerana pelbagai perkara negatif yang dilakukan oleh pelajar
sama ada di sekolah atau di luar kawasan sekolah seolah-olah menggambarkan
kegagalan guru mendidik para pelajarnya. Antara ciri pelajar berdisiplin ialah mereka
sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam
gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Walaupun sesetengah kes
dianggap terpencil, tetapi tetap digunakan utnuk menghukum semua guru di seluruh
negara seperti kata peribahasa kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Oleh itu, untuk
mengelakkan pandangan sinis masyarakat terhadap tugas dan peranan yang dimainkan
guru, para pelajar perlulah sentiasa mengamalkan perbuatan yang positif serta
menjauhkan diri daripad terlibat dengan gejala negatif selepas tamat masa
persekolahan. jelaslah, pelajar yang mematuhi disiplin umpama memberikan
penghormatan kepada guru yang telah banyak berjasa.
Seterusnya, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru.
Amalan mengingati dan menghargai jasa guru adalah amalan mulia. para guru akan
merasakan bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak lagi berkhidmat
sebagai pendidik. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari
Guru pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Dalam hal ini sambutan Hari Guru perlulah
diraikan sebaik mungkin dan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Semasa
sambutan Hari Guru, para pelajar boleh mengambil kesempatan untuk memberikan
sedikit hadiah atau cenderamata kepada guru-guru yang mengajar mereka sebagai
menyatakan terima kasih kepada insan yang diibaratkan lebah yang menghimpunkan
madu kepada mereka. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang
ringgit semata-mata tetapi mestilah disertai dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Jika
tidak mampu memberi hadiah, ucapan selamat hari guru sudah cukup bermakna buat
para guru. Sesungguhnya guru tidak pernah menagih apa-apa jua balasan daripada
anak didiknya walaupun telah banyak ilmu dicurahkan kepada bakal pemimpin negara
pada masa depan ini.
Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan atau sakit juga cara kita
menghargai jasa dan pengorbanan para guru. Sebagai manusia tentunya para guru
menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Tamsilnya guru mungkin ditimpa
kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya. Sebagai murid, kita perlu
menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan
perasaan simpati ibarat cubit peha kanan peha kira terasa sakitnya. Ketika menziarahi
mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan sebagai tanda kita bersimpati
terhadap mereka. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu
mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Jelaslah bahawa
frasa 'guru, jasamu dikenang, budimu disanjung' bukanlah sekadar omongan kosong
kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar. Dengan berbuat
demikian kita dapat mengurangkan beban dan masalah yang dihadapi guru. Mudahmudahan Tuhan akan memberikan ganjaran atas kebaikan yang kita berikan.
Selain itu, kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan
kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik kita. Mendoakan kesejahteraan
guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah
membuktikan kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka
agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika
guru sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik kita dan
generasi seterusnya dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita
perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di
alam barzakh. Sesungguhnya harimau mati meninggalkan belang, manusia mati
meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan guru akan terus dikenang
sepanjang masa. Dalam hal ini, tidak rugi sekiranya kita berdoa untuk kebahagiaan dan
kesejahteraan orang lain apatah lagi guru yang telah banyak berjasa kepada kita.

Sesungguhnya guru, 'jasamu seharum limau kasturi yang terus mewangi mengiringi
kejayaan seseorang anak didikmu'.
Konklusinya, guru merupakan insan mulia yang sepatutnya dihargai oleh setiap
insan. Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan seseorang guru sukar untuk
dibalas walau dengan menghadiahkan mereka segunung intan. Tanpa guru siapalah kita
kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Tanpa jasa dan
pengorbanan guru yang berkaliber dan tidak pernah mengaku kalah dalam perjuangan
mereka, nescaya sukar untuk pemimpin atasan melaksanakan visi dan misinya bagi
mencapai wawasan negara maju pada tahun 2020. Justeru, marilah kita bersama-sama
menghargai jasa guru agar ilmu yang kita peroleh daripadanya mendapat keberkatan
daripada Tuhan. Untuk itu marilah kita renung bait-bait puisi di bawah.
Guru,
kau ibarat dian yang membakar diri
melahirkan insan yang lestari
tanpa mengira waktu dan hari
segala ilmu dicurah dan diberi
kerana kau sedar tanggungjawab yang diberi
tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.
Isu Pengangguran dan Cara MengatasinyaIsu pengangguran telah menjadi satu isu
sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak
yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga.
Jadi, apakah punca-punca wujudnya pengangguran dan apakah cara-cara
mengatasinya.
Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke
negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama
golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap
menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara
diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Jadi, apakah punca-punca
yang mendorong isu ini berlaku
Sudah pasti punca utama berkaitan dengan keadaan ekonomi negara yang
merudum. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar
dan membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga
sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang terdekat akibat tiadanya aktiviti
ekonomi di negara. Malah ekonomi dunia bukan sahaja memberi kesan terhadap
ekonomi negara tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih seperti peristiwa
kejatuhan ekonomi pada akhir dekad 90-an.
Selain itu, pengangguran turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak
mempunyai kemahiran. Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di
sekolah mahupun ketika di universiti. Akibatnya, belia kita kekurangan kemahiran
berfikir, menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai bahasa, dan mempunyai
kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan memilih pekerja
yang mereka beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu terutama penguasaan
bahasa asing dan pengetahuan komputer.
Mungkin juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya masalah ini. Sikap belia
yang hidup ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia mengambil konsep
tunggu dan lihat. Mereka hanya bertindak apabila keadaan mendesak atau sudah
terlewat. Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan maju
tanpa sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama menerima bantuan kerajaan
seperti pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan akan memberi mereka pekerjaan
selepas tamat belajar.
Dalam usaha mengatasi ekonomi negara yang merudum, kerajaan telah
menghantar rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal
asing ke Malaysia. Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal
asing itu sanggup menanam modal mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba
menjalankan beberapa projek mega untuk memastikan ekonomi negara berjalan rancak
semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta Api Laju KL-Singpura dijangka
mampu meninggikan pertumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan pelbagai
cukai.

Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan


golongan belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan
penubuhan institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini
mampu menyediakan satu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk
bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut
menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak.
Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya
kepada golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk
mendapatkan pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka
secara kecil-kecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan
sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik
dalam tempoh terdekat ini. Belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk
mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.
Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma
masyarakat harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia
pekerjaan sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan
kemahiran sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang hidup mereka.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
Faktor Menggalakkan Pelancongan di Malaysia.
Sektor pelancongan merupakan salah satu industri perkhidmatan terpenting di negara
kita. Bincangkan faktor-faktor yang merangsang perkembangan industri pelancongan
tersebut.
Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban
tahun, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong
dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi
tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri
pelancongan ini juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi
baharu yang menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh bak
cendawan selepas hujan mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi
menarik pelancong berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang
menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pelancong.
Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat
menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong
asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan
rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan
Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam
semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu
sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi
iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan
semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati
keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di
situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari
dalam dan dari luar Negara.
Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan
oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini
amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat
seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil
kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik
terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh
keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di
kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti
berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut
berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.
Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut
disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau
yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau redang, Pulau
Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi
memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong.

Para pelancong juga akan dapat merasai syurga dunia dengan melakukan aktiviti
skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai
satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati
keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan
itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat
menarik lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri
pelancongan negara.
Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh
wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah
negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di
sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan
kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan
tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain
itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh
para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate,
ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei,
idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya
menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.
Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan
juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementeria
Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi
pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai usaha mempromosikan
Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negaranegara Eropah atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk
di Asia Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan
pelbagai aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta
Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi
dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan baru seperti
ekopelancongan, agrotourism, pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan
dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di Malaysia
semakin berkembang maju.
Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk
menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana kalau
tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Justeru, peranan kerajaan dan
agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah
amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta
akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh
penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.
Punca-Punca Dan Langkah Mengatasi Kemalangan Jalan Raya
Assalamualaikum. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berbahagia Tuan
Pegawai Daerah Kubang Pasu, pegawai polis trafik, dan hadirin yang dihormati sekalian.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan
ceramah dalam majlis ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kes kemalangan jalan raya menjelang hari raya semakin meningkat sejak
kebelakangan ini. Pada tahun-tahun lepas kadar kemalangan jalan raya pada musim
perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri tidak sebanyak pada tahun lepas. Terdapat
banyak punca yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya
di negara kita.
Antara punca utama kemalangan itu ialah kebanyakan pemandu tidak
mempunyai lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu
yang palsu. Oleh itu, apabila tidak memiliki lesen yang sah, maka pemandu tersebut
sudah semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu kenderaan. Hal ini akan
mengakibatkan kemalangan. Setiap pemandu harus mempunyai lesen kenderaan
kerana sebelum seseorang itu memperoleh lesen memandu, mereka telah didedahkan
dengan teknik pemanduan yang betul. Malah apabila mereka lulus ujian pemanduan
barulah mereka dianggap layak memandu kenderaan. Oleh itu seseorang yang masih
tidak mempunyai lesen memandu dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan di jalan
raya.

Selain itu, kebanyakan kes kemalangan jalan raya juga berpunca daripada
kecuaian pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam
keadaan mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah hari dan
sebelah malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan
terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka
terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan. Saya amat
berharap agar para pemandu memastikan mereka tidak mengantuk semasa memandu
kenderaan mereka. Sekiranya pemandu mengantuk mereka dinasihatkan supaya
berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.
Para hadirin sekalian,
Kemalangan juga boleh berlaku apabila pemandu dalam keadaan mabuk.
Kemampuan pemandu untuk mengawal kenderaan mereka akan menjadi berkurangan
apabila mereka mabuk. Hal ini kerana mereka memandu dalam keadaan berkhayal.
Kenderaan yang dipandu mungkin akan membelok ke kiri dan ke kanan sehingga
menyebabkan kemalangan. Lebih malang lagi jika kecuaian pemandu ini melibatkan
kemalangan kepada pihak lain. Saya juga berpesan kepada semua hadirin agar tidak
sekali-kali memandu dalam keadaan mabuk. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa
anda malahan pengguna jalan raya yang lain.
Kita seharusnya memandu kenderaan yang sempurna sifatnya. Sebelum
memandu kenderaan, kita mesti memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk
dipandu. Contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu berada dalam
keadaan baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan masalah ini. Mereka
mengabaikan kesempurnaan kereta mereka. Contohnya, mereka tidak mengganti tayar
yang haus. Apabila tayar kita sudah haus, sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu
akan berkurangan. Hal ini lebih membahayakan ketika hujan kerana sewaktu hujan,
cengkaman tayar dengan jalan raya semakin berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus
boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Bagi mengatasi masalah ini, pihak polis trafik telah mengadakan pelbagai usaha
bagi mengurangkan lagi kadar kemalangan jalan raya. Usaha yang dilakukan
nampaknya masih kurang berkesan. Pihak kami sering mengadakan kempen
keselamatan jalan raya terutama sempena sambutan hari raya. Hal ini kerana kami
telah mendapat maklumat bahawa kejadian kemalangan jalan raya semasa musim
perayaan meningkat dengan mendadak berbanding hari-hari lain. Hal ini kerana semua
rakyat di Malaysia akan melakukan perjalanan jauh sarna ada pulang ke kampung
ataupun pergi melancong. Kempen-kempen yang dilakukan tertumpu di jalan-jalan
utama di seluruh negara. Melalui kempen ini sedikit sebanyak dapat memberikan
kesedaran kepada pengguna jalan raya. Pada tahun lepas, Menteri Besar Kedah telah
menyertai kempen keselamatan jalan raya. Kempen ini telah diadakan di lebuh raya
Bukit Kayu Hitam-Sungai Petani. Ketika beliau berucap, beliau telah menekankan
kesedaran kepada para pemandu agar memandu kenderaan mereka dengan cermat.
Malah beliau juga turut memberikan baju keselamatan kepada penunggang motosikal.
Kempen ini sekurang-kurangnya berjaya memberikan sedikit pengetahuan kepada
pengguna jalan raya.
Pihak polis trafik juga telah memasang kamera perangkap kelajuan. Kami telah
memasangnya di tempat-tempat yang strategik iaitu kawasan yang biasanya dipandu
laju oleh pemilik kenderaan. Jika mereka memandu dengan kelajuan melebihi 110 km
sejam, justeru kamera perangkap kelajuan ini akan merakam gambar kereta dan
pemandunya. Selepas disemak oleh pegawai kami, dan didapati mereka telah
melanggar had kelajuan yang dibenarkan, pihak kami akan menghantar surat sama
kepada pemiliknya. Cara ini telah dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya
terutama di Lebuh Raya Utara-Selatan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pasukan polis trafik bertugas selama 24 jam di sekitar jalan raya utama di negara
ini. Mereka akan memastikan agar pemandu tidak membawa kenderaan mereka dengan
laju atau secara berbahaya. Jika para pemandu memandu kenderaan mereka dengan
laju, mereka boleh disaman ataupun kenderaan mereka boleh ditahan. Banyak saman
telah dikeluarkan oleh pasukan polis trafik melalui cara sebegini terutamanya di sekitar
bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan di Johor Bahru.
Jelaslah bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya berpunca daripada sikap
pemandu itu sendiri. Seandainya pemandu itu berhati-hati ketika memandu maka

kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Tetapi seandainya pemandu itu masih lagi
berdegil dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya justeru kadar kemalangan ini
akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Oleh itu saya berharap agar setiap yang
hadir ini menyedari pentingnya kita berhemah semasa memandu di jalan raya. Saya
juga berharap perkara ini dapat disebarkan kepada orang lain yang tidak menghadiri
majlis ini.
Sebelum saya mengundurkan diri besarlah harapan saya agar kemalangan jalan
raya di negara ini dapat dikurangkan. Sekian, terima kasih.
Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah
Kewajaran Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah
Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai
urusan dan menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi
yang canggih dapat membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu
dilakukan oleh manusia. Sehubungan dengan itu, pelbagai alat teknologi seperti
komputer, telefon bimbit, satelit dan sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa
untuk kemudahan kita selari dengan era moden yang penuh kecanggihan ini.
Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang
paling biasa digunakan. Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi
sesiapa sahaja walau di mana-mana pun hatta berada di tempat yang sangat jauh.
Selain itu, pengendali telefon bimbit juga memperkenalkan perkhidmatan sistem
pesanan ringkas (SMS). Selain itu, kamera serta pemain muzik juga telah dipasangkan
pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin canggih hingga boleh melayari laman
web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G.
Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana
mudah dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon
bimbit termasuklah murid-murid sekolah rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit,
mereka dapat membuat apa-apa sahaja serta dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana
dengan kemudahan telefon bimbit, mudah sahaja hendak menghubungi mereka.
Sebagai akibatnya, banyak murid akan membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun
tidak dibenarkan.
Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit di sekolah boleh
mendatangkan kemudaratan. Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah,
mereka akan mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka akan menunjuknunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap materialistik wujud
dalam diri pelajar yang masih setahun jagung itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon
bimbit juga akan berasa tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain
yang mempunyai telefon bimbit.
Oleh hal yang demikian, mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati dan
akhirnya mereka mungkin mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah
pula terpaksa menguruskan kes kecurian sehingga menyebabkan proses pemelajaran
terganggu. Soalnya, adakah patut kita membebankan guru dengan beban baharu, iaitu
menjadi pegawai penyiasat kecurian telefon bimbit? Sudah tentu perkara sebegini ingin
dijauhi lebih-lebih lagi banyak masalah lain yang ditimbulkan oleh para pelajar.
Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang
mengajar kerana mereka akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila
terdapat deringan telefon bimbit, proses pembelajaran dan pengajaran akan
berhadapan dengan gangguan. Semasa ujian, pelajar juga boleh menggunakan telefon
bimbit untuk menghantar mesej berbentuk jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini
adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil terhadap pelajar lain.
Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat mengambil gambar serta
mendengar lagu kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak patut berlaku di sesebuah
sekolah. Selain itu, dengan menggunakan telefon bimbit, pelajar-pelajar dapat memuat
turun gambar-gambar atau klip-klip video yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi
gambar atau klip video tersebut dengan rakan. Maka, pelajar akan mudah tepengaruh
dengan gejala tidak sihat yang mungkin boleh merosakkan masa depan mereka.
Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi
yang akan menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses
tumbesaran. Telefon bimbit tidak sesuai digunakan oleh murid-murid yang berusia

muda kerana akan menjejaskan kesihatan mereka. Hakikat ini haruslah diberikan
perhatian oleh setiap pihak. Mencegah itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila
kesihatan sudah terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah
diingatkan berkali-kali tentang kesan gelombang telefon itu.
Natijahnya, melalui perbincangan yang disampaikan di atas, kita dapat
mengetahui impak penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar.
Bagi mengelakkan perkara-perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar
menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti kerana telefon bimbit memerlukan
kos penggunaan yang tinggi. Namun demikian, semua hal ini tertakluk kepada diri
individu itu sendiri bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera.
Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam

Mengurangkan kesesakan lalu lintas

Menjimatkan masa

Mengurangkan kos

Mengurangkan pencemaran udara

Dapat menambah pendapatan negara

Berdasarkan isi-isi penting yang diberi, bincangkan kebaikan-kebaikan


menggunakan pengangkutan awam di negara kita

Dunia kian berkembang pesat termasuklah negara kita Malaysia yang semakin
menuju ke status negara maju. Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam
masih dipandang sepi oleh segelintir masyarakat. Perkhidmatan awam kini adalah lebih
baik jika hendak dibandingkan satu dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil
tindakan yang sewajarnya dalam menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan
awam. Jika diperhalusi, ada berbagai-bagai faedah yang kita peroleh apabila
menggunakan pengangkutan awam.

Faedah utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang


sering menghantui jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini bertambah runcing
lagi apabila tiba waktu puncak ketika pergi dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang
ramai sepakat menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja, pastinya
masalah kesesakan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua orang menggunakan bas
awam untuk ke tempat kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas jalan raya
pastinya berkurangan.

Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga pasti akan menjimatkan


masa individu yang menggunakannya. Hal ini demikian kerana, penggunaan Transit
Aliran Ringan (LRT) atau Monorel yang tidak melalui jalan raya pastinya mempercepat

masa untuk sampai ke satu-satu destinasi. Stesen-stesen LRT ini juga dibina di tempattempat tumpuan orang ramai seperti Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral dan Pasar
Seni. Secara tidak langsung, kita tidak perlu menempuh jalan raya yang sesak dengan
kenderaan.

Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan


awam, kita dapat menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang
tinggi dan juga bayaran parkir kenderaan pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan
kenderaan persendirian ke tempat kerja. Namun demikian, dengan kos yang rendah kita
tidak perlu risau dengan kos petrol dan bayaran parkir berkenaan apabila menaiki
kenderaan awam. Wang lebihan berkenaan boleh dibuat tabungan kerana sedikit-sedikit
lama-lama jadi bukit.

Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita


sepakat untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal
ini tidak dapat dinafikan kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin
berkurangan, maka pelepasan gas karbon monoksida yang berbahaya kepada manusia
turut berkurangan. Kesannya, kita dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan
rumah hijau sekali gus. Secara tidak langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan
sihat dan sejahtera.

Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam yang efisien turut


mampu menarik minat pelancong asing untuk berkunjung ke negara kita. Justeru,
pendapatan negara akan meningkat seiring dengan penambahan jumlah pelancong
tersebut. Hal ini membolehkan pihak kerajaan merangka lebih banyak kemudahan dan
prasarana untuk kegunaan rakyat tempatan. Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam
ini perlu digalakkan demi memastikan kelangsungan penggunaanya dalam masyarakat.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, penggunaan pengangkutan


awam di negara kita ini mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Oleh
itu, semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan
kemudahan yang disediakan ini diselenggara dan dijaga dengan rapi untuk memastikan
kelangsungan penggunaannya. Jika semua perkara ini tidak dipandang enteng, tidak
mustahil negara kita mampu mencapai status negara maju menjelang tahun 2020
seperti yang dicita-citakan.

You might also like