You are on page 1of 13

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala

Lumpur.

Adakah GMF penyelesaian kepada sekuriti makanan?


Umi Kalsom Abu Bakar1, Sanimah Simoh2, Norliza Abu Bakar2, Rogayah Sekeli2, Norzihan
Abdullah2
1

Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Pejabat Ketua Pengarah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan
Pertanian Malaysia (MARDI), Ibu Pejabat MARDI, 43400, Serdang, Selangor.
2
Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
Malaysia (MARDI), Ibu Pejabat MARDI, 43400, Serdang, Selangor.

Abstrak
Pertambahan populasi penduduk yang semakin ketara menyebabkan permintaan terhadap bekalan
makanan meningkat secara drastik di seluruh dunia. Situasi ini semakin kritikal berikutan kawasan
pengeluaran tanaman yang semakin terhad, ditambah pula dengan kos keperluan buruh yang intensif
serta perubahan mendadak iklim dunia. Perkara ini memberi impak yang besar terhadap sekuriti
makanan dimana akses secara fizikal dan ekonomi terhadap makanan yang mencukupi, selamat dan
mengandungi nutrisi yang diperlukan semakin berkurangan dan tidak lagi dapat dinikmati oleh
sebahagian populasi penduduk dunia. Oleh itu, satu solusi yang inovatif perlu dikenalpasti untuk
menjamin keselamatan dan kemampanan bekalan makanan demi memenuhi permintaan dan
menampung keperluan populasi dunia yang berkembang pesat. Salah satu alternatif untuk
meningkatkan pengeluaran makanan ialah melalui aplikasi bioteknologi moden menggunakan
teknologi pengubahsuaian genetik (genetically modified) (GM) di mana hasil yang akan diperolehi
adalah tanaman atau makanan yang terubahsuai secara genetik. Dalam menangani isu keselamatan
makanan, teknologi GM berpotensi tinggi meningkatkan produktiviti dengan menyediakan tanaman
komersial berdaya tahan terhadap serangga perosak atau toleran kepada perubahan cuaca,
mengurangkan kebergantungan kepada input kimia atau melewatkan tempoh kemasakan buah.
Teknologi GM telah terbukti memberikan banyak sumbangan melalui pengkomersialan beberapa
jenis tanaman terubahsuai genetik dengan kadar keluasan penanaman yang semakin meningkat saban
tahun, menjadikan ianya teknologi tanaman yang mendapat kadar penerimaan terpantas (rapid
adoption) dalam sejarah pertanian moden. Walaubagaimanapun, di Malaysia khasnya, beberapa isu
dan cabaran berkaitan teknologi GM perlu ditangani supaya teknologi ini dapat dimanfaatkan
sepenuhnya serta dapat diterimapakai oleh masyarakat seterusnya mampu menjadi solusi alternatif
kepada isu sekuriti makanan global.

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

Pengenalan
Sekuriti makanan didefinisikan oleh FAO (FAO, 1996) sebagai kemampuan manusia untuk
mengakses makanan secara fizikal dan ekonomi pada bila-bila masa secara selamat, mencukupi dan
berkhasiat untuk memenuhi keperluan diet mereka demi meneruskan kelangsungan hidup secara sihat
dan aktif. Isu sekuriti makanan global semakin meruncing sejak kebelakangan ini disebabkan
permintaan yang tinggi terhadap pengeluaran dan bekalan makanan. Salah satu puncanya adalah
disebabkan populasi penduduk dunia yang meningkat secara drastik tetapi tidak seimbang dengan
pengeluaran makanan. Krisis bekalan makanan ini menjadi lebih kritikal memandangkan sumbersumber yang semakin terhad, di antaranya pengurangan kawasan pertanian disebabkan faktor
urbanisasi, penggunaan buruh intensif yang memerlukan kos yang tinggi serta perubahan iklim dunia
yang berlaku secara mendadak dan tidak dijangka.
Malaysia seperti juga negara-negara membangun yang lain, turut memberi penekanan kepada
aspek keselamatan dan jaminan bekalan makanan dan ianya telah menjadi agenda utama negara.
Krisis kewangan yang melanda negara pada tahun 1997 telah membuka ruang kepada Malaysia untuk
mengkaji semula dasar pertaniannya dengan memberi fokus kepada peningkatan sekuriti bekalan
makanan. Sehubungan itu, Dasar Jaminan Bekalan Makanan (2008) dan Dasar Agromakanan Negara
(2011) telah digubal bertujuan untuk memastikan sekuriti makanan berada pada tahap yang kukuh
dan terjamin dalam memenuhi permintaan bekalan makanan negara. Melalui Program Transformasi
Ekonomi (ETP) di bawah Rancangaan Malaysia ke-10, kerajaan telah meletakkan sekuriti makanan
sebagai salah satu teras utamanya demi memastikan objektif sekuriti makanan ini konsisten dengan
pendapatan purata negara kasar (PNK).
Perkembangan bioteknologi moden melalui teknologi pengubahsuaian genetik (genetically
modifed) (GM) memberi ruang dan nafas baru kepada industri pertanian dengan menyediakan satu
solusi terbaru yang inovatif dalam menangani isu sekuriti makanan. Pendekatan teknologi GM bukan
sahaja melibatkan pemindahan bahan genetik (DNA) dengan trait berkualiti tinggi daripada spesis
yang sama tetapi juga ia mampu melangkaui sempadan spesis di mana perkara ini agak mustahil dapat
dilakukan melalui pendekatan konvensional.

Teknologi ini berpotensi memberikan sumbangan

signifikan dalam memenuhi keperluan bekalan dan produktiviti makanan, antaranya dengan
menyediakan tanaman rintang yang mampu menangkis serangan perosak atau toleran kepada
perubahan cuaca yang drastik, mengurangkan kebergantungan kepada input kimia atau melewatkan
tempoh kemasakan buah. Teknologi GM menyediakan tanaman atau makanan terubahsuai genetik
(GMF) yang memenuhi nilai komersial yang tinggi di pasaran (WHO 2009) serta menyediakan
sumber input baru terutama untuk para petani atau pengusaha ladang berskala kecil dan yang miskin
(Cohen & Paarlberg 2004; Thirtle et al 2003).
Walaupun teknologi ini diklasifikasikan sebagai teknologi pertanian yang mendapat
penerimaan terpantas (rapid adoption), ditambah lagi dengan peningkatan pengkomersialan tanaman
2

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

GM dari tahun ke setahun, penerimaan teknologi ini di Malaysia agak perlahan. Beberapa isu dan
cabaran berkaitan teknologi GM ini perlu ditangani supaya teknologi GM dapat dimanfaatkan
sepenuhnya serta dapat diterimapakai oleh masyarakat khususnya di Malaysia. Masyarakat perlu
menyedari yang aplikasi teknologi ini sebenarnya perlu melalui fasa pengawalseliaan yang ketat
sebelum sesuatu produk GM dapat dikomersialkan atau berjaya menembusi pasaran. Teknologi GM
seperti juga cabang ilmu sains yang lain, tertakluk kepada etika tersendiri yang perlu dijadikan
panduan oleh golongan saintis dan masyarakat untuk menggunapakai teknologi ini secara berhemah.
Di Malaysia, aktiviti penyelidikan yang melibatkan GM perlu mematuhi akta dan garis panduan
tertentu, di antaranya ialah Akta Bio-keselamatan 2007 dan Cartagena Protocol. Melihat kepada
impak signifikan yang diperolehi dan bukti-bukti yang diperolehi setakat ini, aplikasi teknologi GM
ternyata mampu memainkan peranan aktif dan seterusnya menjadi salah satu solusi alternatif dalam
menangani isu sekuriti makanan global.

Peranan dan sumbangan teknologi GM dalam industri pertanian


dan makanan
Populasi penduduk dunia yang kini berada pada tahap 7 bilion dianggarkan akan melebihi paras 9.6
bilion menjelang tahun 2050 dan dijangka akan terus meningkat sehingga melebihi paras 11 bilion
pada tahun 2100 (Gerland et al. 2014). Di antara tahun 2012-2014, dianggarkan sejumlah 805 juta
penduduk dari negara membangun mengalami kemiskinan, kelaparan dan kekurangan bekalan
makananan bernutrisi (FAO 2014). ). Selain daripada itu, faktor urbanisasi, perubahan gaya hidup dan
diet seharian serta perubahan cuaca yang mendadak di seluruh dunia juga merupakan cabaran utama
dalam aspek sekuriti makanan. Situasi ini menyebabkan isu sekuriti makanan menjadi semakin
meruncing memandangkan permintaan terhadap bekalan makanan tidak seimbang dengan kadar
pengeluaran makanan. Menjelang tahun 2020, petani dan peladang di seluruh dunia dijangka terpaksa
menghasilkan bekalan makanan sebanyak 40% lebih tinggi daripada kadar pengeluaran sekarang
untuk menampung keperluan makanan semasa (Tonukari & Omotor, 2010). Oleh itu, semua strategi
untuk menangani isu ini haruslah difokuskan kepada meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan
terutama di negara-negara membangun, bertujuan untuk mengurangkan kadar kemiskinan serta
mampu menambahbaik hasil dan kualiti tanaman dalam jangkamasa panjang untuk menampung
permintaan populasi dunia yang semakin meningkat (Christou & Twyman, 2004). Di Malaysia
sendiri, untuk mengekalkan tahap sara diri dan memenuhi keperluan masa depan beras negara, sistem
pengeluaran di kawasan penanaman padi berpengairan dan di kawasan tadahan hujan yang
mengamalkan penanaman dua kali setahun mesti mencapai hasil purata kebangsaan sekurangkurangnya 6 t/ha dan 3 t/ha. Malangnya, pendekatan teknologi konvensional yang diamalkan sekarang
hanya dapat memenuhi 72% daripada tahap sara diri (SSL). Teknologi terkini perlu diadaptasi untuk
3

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

merevolusikan bidang pertanian sedia ada tanpa

peru bergantung kepada kaedah pertanian

konvensional semata-mata bagi mencapai tahap sara diri. Oleh itu, semua isu berkaitan sekuriti
makanan ini menimbulkan persoalan penting berkaitan halatuju bidang pertanian termasuk dalam
aspek menggunapakai pendekatan bioteknologi pertanian terkini. Teknologi GM merupakan salah
satu alternatif bioteknologi pertanian moden yang berpotensi menyumbang impak yang signifikan
dalam menangani isu sekuriti makanan.

Hasil manipulasi DNA melalui teknologi GM ini

membolehkan para saintis memilih trait berkualiti atau membuang ciri-ciri yang tidak diperlukan bagi
membangunkan varieti baru tanaman terbaik dengan trait atau ciri-ciri yang dikehendaki melalui
pemindahan terus gen dari organisma yang sama atau organisma lain.
Terdapat beberapa pendekatan bagaimana teknologi ini berpotensi memberikan impak positif
kepada sekuriti makanan, menurut Qaim & Kouser (2013). Antaranya, tanaman atau makanan GM
berpotensi menyumbang kepada peningkatan pengeluaran makanan yang secara tidak langsung
mampu memperbaiki dan menstabilkan tahap ketersediaan (availability) makanan secara global. Ini
disebabkan tanaman GM berpotensi mengeluarkan hasil yang lebih tinggi dan efisien serta berdayatahan terhadap racun rumpai atau serangan perosak. Tanaman atau makanan GM juga mampu
memberi kesan kepada peningkatan keselamatan dan kualiti makanan. Tidak seperti produk lain di
pasaran, produk yang dihasilkan melalui teknologi GM perlu melalui proses kawalan dan saringan
yang ketat sebelum ianya boleh digunapakai atau dikomersialkan. Selain daripada itu, teknologi GM
juga berpotensi menghasilkan tanaman yang tinggi kandungan mikronutrien seperti dalam contoh
Golden Rice yang tinggi kandungan pro-vitamin A. Ini membantu mengurangkan kesan kekurangan
nutrien yang penting terutama di kalangan masyarakat di negara membangun yang tinggi kadar
kemiskinannya. Teknologi GM juga berpotensi menyumbang kepada penambahbaikan status ekonomi
dan sosial petani yang terlibat dengan tanaman ini, yang seterusnya akan meningkat dan
menambahbaik akses mereka kepada makanan. Tanaman GM yang berdaya tahan tinggi kepada
serangan perosak contohnya, akan mengurangkan kadar penggunaan racun serangga. Ini secara tidak
langsung akan meningkatkan pendapatan seisi rumah untuk petani yang mengusahakan tanaman
tersebut yang seterusnya akan memberi impak yang signifikan kepada taraf hidup mereka.
Teknologi GM telah terbukti memberikan banyak manfaat terutama daripada aspek pertanian,
sosio ekonomi dan alam sekitar. Tanaman GM yang yang pertama dikomersialkan (tomato) adalah
pada tahun 1994, tetapi dalam tahun 1996 mencatatkan penanaman tanaman GM yang paling
signifikan iaitu meliputi kawasan seluas 1.66 juta hektar (Brookes & Barfoot, 2014) dan jumlah
keluasan kawasan penanaman ini semakin meningkat secara drastik sehingga kini. Pada tahun 2014,
keluasan penanaman GM telah mencecah sehingga 181.5 juta hektar di 28 buah negara dengan
melibatkan 18 juta orang petani dan pengusaha ladang di mana majoriti mereka ini berada pada tahap
kemiskinan (James, 2014). Nilai pasaran produk GM pada tahun 2014 dianggarkan berada pada paras
USD15.7 bilion (Cropnosis, 2014).

Analisis yang dibuat secara global semenjak 20 tahun

kebelakangan ini memperkukuhkan lagi potensi dan sumbangan teknologi ini kepada masyarakat
4

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

dunia. Laporan terbaru ISAAA (ISAAA Brief, 2014) menyatakan aplikasi teknologi GM telah berjaya
mengurangkan penggunaan racun perosak kimia sebanyak 37% dan berjaya meningkatkan hasil
tanaman sebanyak 22%. Keuntungan yang dapat dinikmati oleh petani dan peladang juga meningkat
sehingga mencecah 68%. Ini disokong lagi dengan data yang menunjukkan bahawa teknologi ini
berjaya mengurangkan pengeluaran CO2 sebanyak 28 bilion kg pada tahun 2013, memulihara
biodiversiti dengan menyelamatkan penerokaan kawasan pertanian baru sebanyak 132 juta hektar dan
membantu dalam membasmi kemiskinan di kalangan lebih dari 16 juta orang petani yang
kebanyakannya adalah dari negara-negara miskin.
Kebanyakan daripada tanaman GM yang telah dikomersialkan di seluruh dunia adalah
tanaman yang berdaya tahan terhadap racun rumpai dan rintang terhadap serangan perosak. Setakat
tahun 2014, 12 jenis tanaman GM telah berjaya dikomersialkan. Antara tanaman utama ialah kacang
soya, jagung, kapas dan kanola. Tanaman kapas GM yang rintang terhadap serangan serangga (Bt)
merupakan antara generasi pertama hasil teknologi GM yang telah dikomersialkan dan ianya telah
diterima pakai di negara-negara seperti India, China dan Afrika Selatan (Qaim, 2010). Di India
contohnya, pengeluaran per hektar tanaman kapas GM didapati lebih tinggi berbanding tanaman
kapas secara konvensional, sekaligus mampu meningkatkan pendapatan petani-petani di India
sebanyak 50% disebabkan berkurangnya serangan serangga perosak (Juma, 2014). Kajian yang
dijalankan juga mendapati bahawa purata penggunaan racun serangga di kawasan penanaman kapas
ini berkurang sebanyak 40% (Subramaniam et al. 2010). Kacang soya yang berdaya tahan terhadap
racun rumpai dan serangan perosak juga telah ditanam di 11 negara termasuk Amerika Syarikat (33
juta hektar), Brazil (29 juta hektar) dan Argentina (21 juta hektar). Keluasan penanaman kacang soya
ini meliputi 50% daripada keseluruhan kawasan tanaman transgenik di dunia, dikuti oleh jagung
(32%), kapas (15%) dan kanola (5%). Dianggarkan daripada tahun 1996 sehingga 2013, pendapatan
petani hasil penanaman kacang soya GM ini meningkat kepada US41.7 bilion, sementara penggunaan
racun rumpai pula berjaya dikurangkan sebanyak 2.3 juta kg (Brookes & Barfoot, 2014). Dalam tahun
2012, dianggarkan 38% daripada pendapatan perladangan hasil tanaman GM kacang soya yang
berdaya tahan terhadap racun rumpai adalah disebabkan oleh peningkatan hasil (yield gain) dan 62%
lagi adalah disebabkan oleh pengurangan kos perladangan (Brookes & Barfoot, 2014).
Kesan yang serupa juga turut diperhatikan pada tanaman kanola GM. Tanaman ini
kebanyakannya ditanam di Kanada, Amerika Syarikat dan Australia. Di Kanada, kajiselidik yang
dijalankan pada tahun 2005-2006 terhadap penguasaha ladang kanola GM menunjukkan pengurangan
penggunaan racun rumpai sebanyak 1.3 juta kg setahun (Smith et al. 2011) dan ini secara langsung
memberikan keuntungan dari segi ekonomi sebanyak CAD400 juta setahun. Analisis yang dijalankan
oleh Canola Council of Canada, 2013 dan Canola Market Access Plan terhadap faedah secara total
hasil kanola dari ladang ke pasaran dari tahun 2009-2012 menunjukkan bahawa sumbangan kanola
kepada ekonomi Kanada meningkat 2 kali ganda (CAD 19.3 bilion) dalam masa kurang dari sedekad.
Ini secara tidak langsung menghasilkan peluang pekerjaan kepada 249,000 orang penduduk Kanada.
5

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

Jagung juga merupakan salah satu tanaman terubahsuai genetik yang terpenting di samping kapas,
kacang soya dan kanola. Di beberapa buah negara seperti sebahagian daripada negara-negara Afrika,
Mesir dan Mexico, tanaman ini merupakan makanan utama seharian mereka. Dalam tahun 2014, 17
negara telah terlibat dalam penanaman jagung transgenik ini dan menurut James (2011), satu pertiga
daripada jagung yang ditanam di seluruh dunia adalah jagung terubahsuai genetik. Analisis yang
dijalankan oleh Finger et al. 2013 menunjukkan terdapat penghasilan yang lebih tinggi pengeluaran
jagung GM jika dibandingkan dengan jagung konvensional di negara yang terlibat. Afrika Selatan,
Jerman dan Sepanyol menunjukkan peningkatan yang begitu ketara iaitu masing masing sebanyak
6%, 12% dan 25%. Laporan oleh Brookes & Barfoot (2014) menunujukkan jagung GM yang
berdaya tahan terhadap racun rumpai berjaya menghasilkan pendapatan perladangan sebanyak US$1.2
bilion dalam tahun 2012 dan secara keseluruhanya dari tahun 1996-2012 telah menghasilkan
pendapatan perladangan sebanyak US$5.4 bilion. Peratusan tertinggi pendapatan ini datangnya dari
peningkatan hasil tanaman jagung tersebut.
Isu sekuriti makanan bukan sahaja melibatkan kuantiti pengeluaran makanan tetapi juga akses
kepada makanan yang bernutrisi tinggi. Sekuriti makanan memainkan peranan yang sangat penting
kepada kesihatan dan kesejahteraan manusia memandangkan makanan bukan sahaja menyumbang
sumber tenaga tetapi juga menyediakan sumber nutrient perlu (essential nutrients) terutamanya dalam
meningkatkan sistem imuniti badan untuk meneruskan kelangsungan hidup (Perez-Massot et al.
2013). Teknologi GM berpotensi untuk diaplikasi untuk meningkatkan kandungan nutrisi dalam
makanan ruji terutama di negara membangun dimana kekurangan vitamin tertentu di negara tersebut
biasanya disebabkan kekurangan akses kepada makanan bernutrisi tinggi. Tanaman padi GM iaitu
padi Golden Riceyang dibangunkan oleh IRRI merupakan padi terubahsuai genetik yang telah
diperkayakan dengan pro vitamin A dimana simptom kekurangan vitamin ini sangat ketara di
kalangan penduduk di negara-negara miskin yang menjadikan beras sebagai makanan ruji mereka.
Kekurangan vitamin ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan penglihatan tetapi juga mendedahkan
mereka kepada penyakit berkaitan saluran pernafasan dan pemakanan. Menurut Thomson (2010),
sejumlah 1.9-2.8 juta penduduk terutamanya wanita dan kanak-kanak mati disebabkan kekurangan
vitamin ini, sementara WHO melaporkan bahawa dalam tahun 2009 dan 2012, sejumlah 190-250 juta
kanak-kanak pra-sekolah telah terjejas perkembangannya akibat kekurangan vitamin ini di seluruh
dunia. Penghasilan pro vitamin A di dalam tanaman padi tidak boleh dicapai melalui pembiakbakaan
melalui kaedah konvensional. Dengan penghasilan dan pengkomersialan padi Golden Rice ini, ianya
diharapkan dapat membantu menghasilkan makanan ruji yang bernutrisi tinggi di kawasan penduduk
yang terlibat. Di India contohnya, melalui analisis unjuran yang dijalankan terhadap padi Golden
Rice, padi ini dijangka dapat menyelamatkan seramai 40,000 orang penduduk di India daripada
kematian dan kehilangan penglihatan (Potrykus, 2010). Di Filipina, melalui kajian senario yang
dijalankan, padi Golden Rice ini dijangka mampu mengatasi masalah kekurangan vitamin ini di

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

negara tersebut dengan memberikan faedah sosial di antara US$16-US$88 juta setahun (Zimmerman
et al, 2004).

Isu dan cabaran terhadap teknologi GM dalam menangani isu


sekuriti makanan
Perbezaan sasaran penyelidikan
Di dalam penghasilan produk atau makanan GM, terdapat isu-isu tertentu yang melibatkan perbezaan
sasaran dan matlamat apabila ianya dihasilkan di dalam konteks menghadapi cabaran sekuriti
makanan samada di negara membangun, sedang membangun ataupun di negara kurang membangun.
Penerimaan dan permintaan pengguna di negara membangun adalah lebih menjurus kepada kualiti,
contohnya seperti penghasilan beras wangi dan bermutu tinggi sedangkan untuk negara kurang
membangun, teknologi GM perlu ditumpukan kepada kuantiti pengeluaran makanan atau tanaman
untuk menangani masalah seperti kekurangan nutrisi. Ini akan mewujudkan perbezaan pendapat di
kalangan saintis, pengeluar atau pengusaha tanaman tentang keperluan mana yang difikirkan lebih
penting untuk dipenuhi.

Isu perlindungan hak harta intelek


Salah satu cabaran utama penggunaan teknologi GM di dalam menghasilkan tanaman untuk
menangani isu sekuriti makanan adalah kos penghasilan produk GM yang tinggi. Hak harta intelek
yang bertujuan untuk melindungi hak eksklusif suatu tanaman atau proses penghasilan tanaman GM
telah menjadikan teknologi ini sesuatu yang mahal. Paten dan hak harta intelek, selain boleh
melambatkan proses pengkomersialan produk GM turut menyebabkan kawalan monopoli. Biji benih
yang dahulunya dianggap sebagai produk komoditi akan menjadi produk khas dan terkawal akibat
proses pengubahsuaian genetik dan hanya dimonopoli oleh syarikat atau individu tertentu sahaja.
Akibatnya petani tidak mempunyai akses terhadap sumber biji benih GM disebabkan syarat yang
dikenakan oleh paten dan hak harta intelek syarikat pengeluar benih (Azadi & Ho 2010). Syarikatsyarikat yang mempunyai kawalan monopoli ke atas tumbuhan terubahsuai genetik pula di dominasi
oleh beberapa buah syarikat-syarikat swasta yang berpengaruh dan mempunyai sumber kewangan
yang kukuh berbanding dengan pekebun atau petani yang menanam secara kecil-kecilan di seluruh
dunia (Uzogara et al. 2000).

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

Akta dan perundangan berkaitan teknologi GM


Walaupun manfaat tanaman GM telah terbukti, terdapat peningkatan sekatan dan pengharaman import
produk GM di beberapa tempat di Eropah dan beberapa negara lain di dunia akibat kepentingan
politik dan perdagangan. Beberapa buah negara yang menerima produk GM dan membenarkan
penanaman tanaman GM tetap mengenakan peraturan-peraturan ketat mengikut undang-undang dan
akta biokeselamatan negara masing-masing (Dibden et al. 2013). Peraturan-peraturan ini secara tidak
langsung telah meningkatkan kos dan mencetuskan kebimbangan kepada pengguna. Selain itu,
ketidakpastian dan ketidakselarasan peraturan-peraturan GM di kalangan negara-negara pengeluar dan
pengimport juga telah memperlahankan inovasi teknologi ini. Ini akan turut memberi kesan kepada
mana-mana pihak yang ingin menambahbaik tanaman GM yang sedia ada untuk membantu
meningkatkan kelestarian alam sekitar, memberi sumbangan dalam menangani cabaran perubahan
iklim dan seterusnya membantu menangani isu sekuriti dan jaminan bekalan makanan.
Dasar Pertanian Negara Malaysia menggalakkan penggunaan teknologi termasuk teknologi
GM yang dapat membantu petani menghasilkan makanan yang lebih mampan dalam keadaan sumber
yang semakin berkurangan. Di Malaysia, proses penghasilan, penanaman, penggunaan dan
kemasukan organisma dan tumbuhan berasaskan GM sama ada di dalam atau ke luar negara adalah
dikawal ketat oleh undang-undang Malaysia di bawah Akta Biokeselamatan (2007) dan PeraturanPeraturan Biokeselamatan (2010).

Tujuannya adalah untuk mencapai keseimbangan di antara

manfaat maksimum penggunaan bioteknologi moden disamping meminimakan kemungkinan risiko


terhadap persekitaran akibat teknologi ini. Selain Malaysia, sebahagian besar daripada negara-negara
membangun kini turut mempunyai beberapa peraturan biokeselamatan dan garis panduan untuk
tanaman GM dengan penubuhan jawatankuasa biokeselamatan negara untuk mengkaji permohonan
penanaman atau pelepasan tanaman GM ke persekitaran (Dibden et al. 2013). Faktor politik dan
proses penyaringan biokeselamatan yang ketat adalah antara faktor yang menyekat penggunaan
sepenuhnya manafaat tanaman GM oleh negara-negara membangun (Paarlberg 2002). Selain daripada
itu, desakan terhadap negara yang mengeksport tanaman GM untuk mengasingkannya daripada
tanaman bukan GM dan keperluan untuk mengesan dan mengenalpasti tanaman GM yang dibawa
masuk sebagai bahan import turut meningkatkan kos kepada pengguna. Ini merupakan sebahagian
daripada isu dan cabaran yang perlu ditangani oleh teknologi GM.

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

Penglabelan produk GM
Produk GM tidak dapat dibezakan dengan produk bukan GM melalui penelitian fizikal semata-mata.
Pelabelan GM telah diperkenalkan supaya pengguna dapat membezakan produk GM dan juga sebagai
hak dan pilihan untuk mereka memilih menggunakan produk GM atau sebaliknya. Di Amerika,
pelabelan makanan GM adalah secara sukarela manakala di Eropah pula ianya adalah mandatori
(WHO 2005). Sungguhpun begitu, sekiranya wujud pilihan, orang ramai pada kebiasaannya tidak
akan mengambil makanan yang dikaitkan dengan isu atau persepsi negatif. Makanan atau produk GM
yang seringkali di salah erti dan dilabel sebagai negatif berkemungkinan tidak akan diterima oleh
pengguna kerana mereka menganggap label makanan GM sebagai amaran bahawa produk tersebut
tidak selamat untuk digunakan. Ini adalah tidak tepat sama sekali kerana penghasilan tanaman atau
makanan GM tertakluk kepada ujian dan peraturan yang lebih ketat berbanding tanaman atau
makanan yang dihasilkan menerusi proses pembiakbakaan secara konvensional. Proses pelabelan juga
mungkin akan menjadi mahal dan ianya akan ditanggung oleh pengguna sepenuhnya. Secara tidak
langsung ia akan turut meningkatkan kos produk tanaman GM.

Penggunaan bahan yang tidak menepati konsep syariah


Kebimbangan berkait dengan pegangan agama, peribadi, budaya atau etika sesebuah masyarakat turut
menyebabkan kesukaran penerimaan produk GM. Islam sebagai sebuah agama yang syumul
mengambil berat tentang isu yang mungkin timbul akibat aplikasi teknologi GM ini. Daripada segi
bioetika dan penilaian syariat Islam, GMF mestilah berasaskan konsep halalan tayyiban yang hanya
membenarkan umatnya memakan makanan yang baik, bersih, berkualiti, menyihatkan, tidak
memudaratkan dan penting sekali halal dan dibenarkan oleh syarak. Perdebatan manfaat dan risiko
teknologi ini ditangani menerusi kaedah pentarjihan di mana penggunaan produk GM adalah
dibenarkan sekiranya ianya memberi manfaat yang besar kepada manusia. Penggunaannya pula
dilarang sama sekali sekiranya mendatangkan kesan mudarat kepada manusia sejagat (Latifah et al.
2011). Pada tahun 2011, fatwa yang mengharamkan penggunaan bahan bagi menghasilkan makanan
GM yang berbahaya kepada manusia dan alam sekitar telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa
Kebangsaan. Isu berkaitan penggunaan DNA babi juga kerap kali dicetuskan oleh pengguna beragama
Islam. Sebarang penggunaan DNA babi adalah haram dan tidak dibenarkan sama sekali di dalam
penghasilan produk GM sepertimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada
tahun 1999 (JAKIM, 1999). Ini adalah kerana penggunaan DNA babi masih belum sampai ke tahap
darurat lagi dan masih terdapat banyak sumber halal yang lain.

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

Kesedaran dan status penerimaan masyarakat terhadap produk GM


Perdebatan mengenai isu GMF telah hangat diperkatakan sejak pertengahan tahun 1990an lagi. Ini
disebabkan wujudnya dua pandangan yang berbeza terhadap implikasi GMF, di mana ada yang
mendakwa bahawa GMF sangat berpotensi dan berfaedah untuk manusia dan pada masa yang sama,
ada yang beranggapan bahawa produk GM sangat berisiko dan boleh mendatangkan kemudaratan.
Terdapat bukti yang kukuh yang menunjukkan penerimaan atau penolakan

teknologi GM dan

makanan terubahsuai bergantung kepada persepsi dan sikap pengguna awam (Frewer et al. 2004). Di
Malaysia, isu penerimaan produk hasilan GM ini belum begitu meluas diperkatakan ataupun
dipersoalkan. Majoriti pengguna di Malaysia tidak mengetahui bahawa GMF boleh didapati di pasarpasar raya dan ramai pengguna tidak menyedari bahawa mereka memang sudah biasa mengkonsumsi
makanan berasaskan GM seperti kacang soya. Di Malaysia setakat ini, terdapat lima produk yang
telah diluluskan dan dibenarkan untuk memasuki pasaran iaitu kacang soya Roundup Ready untuk
makanan, makanan ternakan dan pemprosesan (FFP), jagung Bt MON 810 (FFP), jagung Roundup
Ready NK603 (FFP), jagung Bt MON 863 (FPP) dan protein pembentukan struktur ais (salinan
protein daripada ikan) diekspreskan ke dalam yis GM dan diekstrakkan untuk digunakan dalam ais
krim Unilever (Lim Li Ling 2009).
Kajian di kawasan Lembah Klang di Malaysia membuktikan penerimaan produk hasil
bioteknologi moden ini adalah berbeza. Masyarakat Islam berpendapat bahawa penghasilan produk
atau aplikasi bioteknologi moden samada dalam bidang pertanian, perubatan dan perindustrian
mampu untuk meningkatkan ekonomi negara (Latifah, 2007). Walaubagaimanapun, pengubahsuaian
mestilah mengikut landasan agama yang betul. Di pihak media pula, mereka merasakan bahawa
penghasilan produk atau aplikasi bioteknologi moden hanya memberi faedah dan risiko yang
sederhana. Manakala Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pula mempunyai pandangan yang berbeza,
di mana mereka beranggapan bahawa bioteknologi moden boleh mengundang risiko yang tinggi
kepada kesihatan manusia dengan peningkatan kadar kematian, kewujudan penyakit baru, kerencatan
pertumbuhan normal kanak-kanak dan kebimbangan bahawa penyakit haiwan boleh berpindah kepada
manusia.
Akta Biokeselamatan Kebangsaan 2007 telah dikuatkuasakan sepenuhnya di Malaysia pada
tahun 2009. Menurut akta ini, pengendali, pengimport dan pengeksport GMF perlu menjalani proses
penilaian bagi mengenalpasti risiko dan mereka juga mesti mendapat kelulusan kerajaan. Setiap
produk GM perlu melalui satu proses penilaian risiko yang ketat sebelum ianya boleh ditanam
dan/atau dipasarkan. Sebarang risiko akan dinilai dan oleh itu, kebarangkalian produk hasilan
bioteknologi boleh mendatangkan kemudaratan kepada pengguna adalah sangat tipis. Akta tersebut
juga menekankan tentang proses perlabelan produk hasilan bioteknologi moden ini. Ini bagi
membolehkan pengguna mengetahui kandungan GM dalam produk yang dibeli. Terdapat beberapa
buah negara yang telah mewajibkan perlabelan GMF seperti Eropah, Jepun, Australia dan Korea. Di
10

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

Malaysia, isu perlabelan GMF setakat ini belum luas dipraktikkan walaupun penguatkuasaannya telah
diimplementasikan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (Pindaan) 2010.
Kesedaran awam berkaitan teknologi dan keberkesanan produk hasilan bioteknologi moden
ini perlu dipertingkatkan lagi. Ia merupakan satu komponen penting dalam menentukan penerimaan
sosial dan masyarakat terhadap teknologi dan produk hasilan GM. Golongan sasaran utama yang
perlu diberi kesedaran ini ialah golongan petani dan peladang kerana antara sumber ekonomi utama
negara adalah pertanian. Golongan inilah yang bertanggungjawab dalam mengusahakan produk GM
yang telah dibangun atau dihasilkan di peringkat makmal untuk dikomersialkan sehinggalah sampai
ke tangan pengguna. Dalam usaha memberi kesedaran kepada golongan sasaran, maklumat yang jelas
dan mudah difahami adalah sangat penting dalam menentukan penerimaan. Oleh itu, komunikasi yang
berkesan sangat penting dalam usaha memperkenalkan bioteknologi pertanian moden dan mendidik
masyarakat agar teknologi dan produk yang diperkenalkan dapat diterima oleh masyarakat dengan
lebih mudah. Penerimaan masyarakat terhadap sesuatu produk bergantung kepada kefahaman mereka
terhadap produk tersebut. Komunikasi yang tidak cekap menyebabkan kurangnya penerimaan dan
pemahaman masyarakat terhadap bioteknologi moden ini. Penekanan kepada kesan negatif,
penyebaran maklumat yang salah dan informasi yang tidak tepat kepada pengguna boleh menjejaskan
penerimaan dan penggunaan teknologi GM ini. Oleh itu, peranan pihak media sangat penting dalam
memperkenal dan mempromosikan faedah dan potensi GMF kepada segenap lapisan masyarakat.
Organisasi dan juga instituti penyelidikan juga perlu memainkan peranan dan mengambil
tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang awam mengenai aplikasi teknologi
GM dalam menambahbaik mutu dan kualiti pertanian juga dari segi manfaat dan potensi teknologi
tersebut. Dalam usaha memberi maklumat yang tepat, golongan yang terdekat dengan media ialah
para saintis yang membangunkan teknologi tersebut. Golongan ini perlu diberi tanggungjawab untuk
berkomunikasi dengan orang ramai ataupun media untuk memberi penerangan tentang teknologi GM
dan seterusnya memacu penyelidikan GM ke hadapan. Untuk itu, golongan saintis perlu mempunyai
kemahiran dan kecekapan dalam bidang komunikasi profesional untuk membolehkan mereka
memperkenalkan teknologi atau produk yang dihasilkan kepada pihak yang berkepentingan dengan
lebih berkesan. Maklumat yang diberi sangat penting kepada pihak media bagi membolehkan
teknologi dan produk yang dihasilkan daripada penyelidikan dapat dijelaskan kepada masyarakat
dengan lebih berkesan untuk meningkatkan lagi tahap penerimaan mereka. Banyak kaji selidik yang
dijalankan hanya mengkaji persepsi dan penerimaan orang awam berkaitan bioteknologi moden tanpa
usaha untuk membantu responsden memahami apakah sebenarnya teknologi GM. Golongan saintis
juga perlu lebih peka dengan berkongsi maklumat penting berkaitan produk GM yang diperolehi dari
negara-negara serantau. Pemberian maklumat yang berterusan kepada masyarakat membolehkan
mereka memahami, mempercayai dan seterusnya memudahkan lagi penerimaan produk GM ini.

11

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

Rumusan dan cadangan


Teknologi GM merupakan teknologi yang mendapat kadar penerimaan terpantas oleh penduduk dunia
serta manfaatnya telah terbukti daripada aspek pertanian, sosio ekonomi dan alam sekitar. Ini
dibuktikan dengan pengkomersialan tanaman GM yang semakin meningkat serta kadar keluasan
penanamannya yang bertambah setiap tahun. Teknologi ini sememangnya berpotensi memainkan
peranan signifikan dalam memenuhi nilai komersial yang tinggi di pasaran dan seterusnya mampu
menjadi solusi kepada isu sekuriti makanan global. Walaubagaimanapun, antara cabaran utama yang
harus dihadapi oleh teknologi GM adalah untuk mencapai keseimbangan di antara pengeluar dan
pengguna GMF agar ianya mampan, boleh diperolehi secara mudah, meluas, dan dihasilkan dengan
kos seminima mungkin. Teknologi ini juga perlu berdaya saing dan berkemampuan menarik minat
pelabur dan sektor swasta untuk menjadikannya lebih maju dan inovatif berbanding teknologi sedia
ada serta dapat ditadbir urus dengan lebih baik untuk kepentingan semua pihak. Disebabkan manfaat
GMF adalah jauh lebih besar daripada risiko yang mungkin dicetuskan olehnya, agensi
pengawalseliaan, industri dan institusi penyelidikan yang terlibat dalam teknologi dan penghasilan
tanaman atau makanan GM perlu meningkatkan kesedaran awam berkenaan teknologi ini bagi
meningkatkan penerimaannya di seluruh dunia. Ini boleh dicapai melalui keterbukaan dalam
penyelidikan GM, pendidikan dan kesedaran masyarakat dalam usaha untuk mengubah persepsi
negatif mereka. Penerimaan pengguna terhadap GMF memainkan peranan utama dan menjadi faktor
penentu dalam menerimapakai teknologi GM khususnya di Malaysia yang mengutamakan
pembangunan industri agro-makanan. Sekuriti makanan akan dapat dipertingkatkan lagi jika
pembangunan teknologi GM sejajar dengan proses kawalan yang seimbang. Sehingga kini, tiada
bukti saintifik kukuh yang menunjukkan teknologi GM mencetus kesan negatif sejak 20 tahun GMF
berjaya dikomersialkan dan berada di pasaran. Aplikasi teknologi GM ternyata mampu memainkan
peranan aktif dan seterusnya menjadi salah satu solusi dalam menangani isu sekuriti makanan global
berdasarkan kepada impak dan bukti signifikan yang diperolehi setakat ini.

12

Seminar Sekuriti Makanan Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam, 6-7 Oktober 2015, Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

Rujukan
Brookes, G and Barfoot, P (2014). Key global environmental impacts of genetically modified (GM)
crop use 19962012. GM Crops & Food: Biotechnology in Agriculture and the Food Chain,
5:149-160, DOI: 10.4161/gmcr.28449
Christou P, Twyman RM (2004) The potential of genetically enhanced plants to address food
security. Nutr. Res. Rev 17:2342
Cohen JI, Paarlberg R. (2004). Unlocking crop biotechnology in developing countries-a report from
the field. World Dev 2004 32:15631577.
Dibden J., Gibbs D., Cocklin C. 2013 Framing GM crops as a food security solution. Journal of Rural
Studies. 29: 59- 70
FAO (2006). Food Security. FAO Policy Brief, June 2006, Issue 2.
Finger et al. (2011). A Meta analysis on farm-level costs and benefits of GM Crops. Sustainability
2011, 3, 743-762; doi:10.3390/su3050743
Frewera, L., Lassenb, J., Kettlitzc, B., Scholdererd, J., Beekmane, V., Berdalf K.G. 2004. Societal
aspects of genetically modified foods. Food and Chemical Toxicology 42: 11811193
Gerland et al (2014). World population stabilization unlikely this century. Science 346: 234-237
DOI: 10.1126/science.1257469
Hossein A. & Peter Ho. 2010. Genetically modified and organic crops in developing countries: A
review of options for food security. Biotechnology Advances 28: 160168
ISAAA Briefs (2014). Brief 49. Global status of commercialized biotech/GM crops: 2014
JAKIM. 1999. Himpunan Minit Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
James, C (2014). Global status of commercialized biotech/GM crops: 2014. ISAAA Brief No. 49.
Ithaca. NY.
Latifah Amin. (2007). Public attitude towards modern biotechnology in Malaysia: A study in the
Klang Valley region. Thesis submitted in fulfillment for the degree of doctor of philosophy. Pusat
Pengajian Siswazah. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Lim Li Ling. (2009). GE Food and Agriculture: Safe and Sustainable for Malaysia? Slaid. Kuala
Lumpur: Third World Network.
Pendekatan Islam Dalam Menangani Percanggahan Manfaat Dan Risiko Bioteknologi moden
tumbuhan. Jurnal Hadhari 3 (2): 1-22.
Paarlberg RL. 2002. The real threat to GM crops in poor countries: consumer and policy resistance to
GM foods in rich countries. Food Policy; 27:24750.
Potrykus, I. (2010). Lessons from the Humanitarian Golden Rice project: Regulation prevents
development of public good genetically engineered crop products . New Biotechnology 27: 466472
Qaim, M and Kouser, S (2013).) Genetically Modified Crops and Food Security. PLoS ONE 8(6):
e64879. doi:10.1371/journal.pone.0064879
Stella G. Uzogara.2000. The impact of genetic modification of human foods in the 21st century: A
review. Biotechnology Advances 18:179206.
Subramaniam et al. (2010). The impact of Bt cotton on poor households in rural India. Journal of
Development Studies pp. 295-311.
Thomson, J. A. (2010). Research needs to improve agricultural productivity and food quality, with
emphasis on biotechnology. The Journal of Nutrition, 132 : 3441S-3442S.
Thirtle et al. (2003). Can GM-technologies help the poor? The impact of Bt cotton in the Makhathini
flats of KwaZulu-Natal. World Dev 31: 717-32.
Tonukari, N. J., and Omotor, D. G (2010). Biotechnology and food security in developing countries.
Biotechnology and Molecular Biology Reviews. 5: 13-23.
Zimmermann, R., & Qaim, M. (2004). Potential health benefits of golden rice: A Philippine case
study. Food Policy, 29: 147-168. doi:10.1016/j.foodpol.2004.03.001

13

You might also like