You are on page 1of 4

Kepentingan Sains & Teknologi Dalam Pembangunan Ummah

Pelbagai bidang dalam sains dan teknologi, termasuk bioteknologi dan teknologi komunikasi maklumat
(ICT), merupakan satu wahana pemudah cara dalam menjalani semua ruang lingkup kehidupan manusia.
Diakui sejak dahulu, lebih-lebih lagi dalam sudut pandangan Islam, bahawa sains dan teknologi (S & T)
telah dan akan terus membawa natijah kebaikan dan keburukan. Namun sebagai manusia bertamadun,
setiap seorang dari kita dikurniakan akal fikiran untuk memilih. Justru, S & T amat ditekankan oleh Islam
dan mesti diterokai dan digunakan selagi umat Islam sedar akan batas sempadan yang telah digariskan
oleh Islam.

S & T mewakilkan pengetahuan dan pembelajaran. Usaha mendapatkan pengetahuan adalah


sebahagian dari seruan Islam, dengan dibuktikan oleh penemuan dan kemajuan ilmu yang telah
dirakamkan sejarah oleh para ahli sains Islam pada zaman awal Islam.

Melahirkan sebuah masyarakat madani atau masyarakat bertamadun bukanlah tugas yang mudah dan
singkat, lebih-lebih lagi dengan kemunculan pelbagai teknologi yang enak-enak dan mulus. Masyarakat
bertamadun, terutamanya gagasan yang diutarakan oleh Malaysia, yang ingin dibentuk adalah
berasaskan sebuah komuniti harmonis yang menghasilkan dan menggunakan S & T bagi kebaikan dan
kesejahteraan sejagat.

Apa yang sangat penting dilihat sekarang ini ialah langkah dan usaha agresif kerajaan, kumpulan
tertentu, dan yang terpentingnya ialah ahli masyarakat dalam merapatkan jurang perbezaan celik S & T,
juga jurang digital yang dihasilkan oleh ICT. Usaha ini mesti diberi penumpuan kepada sasaran terhadap
semua peringkat masyarakat. Perkara ini penting bagi memastikan bahawa rakyat memenuhi kriteria
menjadikan diri dan persekitaran berilmu dan berpengetahuan, selari dengan perkembangan S & T dan
ICT.

Dalam era moden ini, telah banyak diperkatakan orang bahawa umat Islam ketinggalan dalam banyak
bidang S & T. Namun sedarkan kita bahawa para saintis barat yang menemui banyak penemuan yang
merubah pandangan dan cara kita menjalani kehidupan, sebenarnya menggunakan dan mengasaskan
kajian mereka dari penemuan para ilmuan Islam. Apa yang mereka buat ialah belajar, mengkaji,
meminjam dan seterusnya melengkapkan pengetahuan S & T yang telah ditemui oleh saintis Islam tadi.
Harus diingat, teknologi adalah milik semua dan teknologi tanpa isi, kosong.
Menyelusuri sejarah Islam dan barat, telah terbukti bahawa kemajuan ekonomi sesebuah masyarakat
dan negara berkait secara terus dengan tahap pengetahuan serta kebolehan menyerap ilmu. Dari era
pra-sejarah lagi manusia telah menggunakan pelbagai kaedah dan peralatan dalam memperolehi ilmu
dan kemudian menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain dalam suatu komuniti.

Sebagai misalan, bila orang-orang zaman lampau buat pertama kalinya mengikat batu tajam ke batang
kayu bagi menghasilkan tombak atau lembing untuk berburu, mereka tidak mencari sasaran dan
kemudian menggunakan formula matematik untuk tenaga atau trajektori. Tetapi mereka mendapat
kemahiran itu dengan kaedah cubaan dan kesilapan, seterusnya menjadi titik tolak kepada kemajuan
tamadun dengan berkembangnya otak atau minda merentasi zaman. Inilah asas bidang pembangunan
dan penyelidikan, hasil melalui cubaan dan kesilapan. Dan asas inilah yang dikaji oleh saintis barat,
melalui penemuan yang ditinggalkan oleh saintis Islam, dalam mengkaji suatu penemuan baru. Namun
harus selalu diingat, setiap proses cubaan itu seharusnya dilaksanakan dalam tatacara yang tidak
memudaratkan, terutama sekali dalam proses perubatan dan bioteknologi yang berkait langsung dengan
tubuh badan dan kehidupan.

Banyak rujukan boleh kita dapati dalam kitab suci Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W dari sudut betapa
pentingnya Islam menempatkan usaha mencari pengetahuan, dan dalam memahami alam semula jadi
dan cakerawala. Islam menggalakkan kaedah pertanyaan secara saintifik atau lebih tepat lagi kaedah
kajian dan penelitian. Sesungguhnya kemajuan sains Islam telah diketahui umum. Dari tahun 750 Masihi
hingga 1050 Masihi telah menyaksikan penemuan sains Islam dalam bidang geografi, kosmologi, fizik,
matematik, astronomi dan perubatan. Kebanyakan pengetahuan tersebut adalah dalam kategori sains
gunaan. Justru itu perkembangan sains pada era tersebut berkait langsung dengan teknologi, dan ianya
benar sehingga kini.

S & T Islam telah membangkitkan era Pembaharuan Eropah yang mana sebelum itu kalangan Kristian
melalui pegangan golongan agama gereja menganggap bahawa sains adalah suatu aliran sihir yang
berunsur syaitan. Sejarah merakamkan bahawa ada ahli sains pada waktu itu dibunuh kerana
mempunyai pendapat berbeza dengan pegangan gereja, walaupun itu adalah penemuan sains oleh
cerdik pandai mereka.

Malangnya, bemulanya era Pembaharuan Eropah juga bermulanya zaman kemunduran sains Islam. Ini
kerana wujud konflik antara ahli-ahli agama dengan saintis, sama seperti pertentangan yang ada di
kalangan Kristian sebelum era pembaharuan. Dan lebih malang lagi wujudnya pendapat bahawa
pengkajian saintifik adalah unsur-unsur barat yang harus ditentang. Pegangan ini masih lagi melingkari
segelintir masyarakai Islam sehingga kini.

Kegagalan melihat S & T sebagai unsur pemangkin untuk kemajuan ekonomi dan kesejahteraan ummah
melembabkan negara-negara umat Islam dalam usaha mengembalikan kegemilangan penemuan sains.
Satu isu lagi yang sering diperkatakan ialah banyak penemuan S & T yang termasuk bidang ICT sekian
lama dipelopori oleh negara barat, justru negara Islam hanya sebagai pengguna. Walaupun mutakhir ini
sudah ada aplikasi ICT dan elektronik yang dihasilkan oleh negara umat Islam, namun ianya masih belum
mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Satu usaha harus digembling segera terutamanya di kalangan negara OIC supaya dapat disediakan dana
dan kepakaran manusia bagi merancakkan aktiviti R & D dalam bidang S & T dan ICT supaya ummah
tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi dan sistem yang dihasilkan oleh pengusaha barat.

Negara umat Islam tidak kekurangan pakar-pakar dalam bidang fizik, kimia, nuklear, ICT dan seumpanya,
cumanya ia tidak dikumpul dan diguna pakai bagi tujuan memajukan S & T seperti pada era
kegemilangan Islam dahulu. Apa yang sering dipaparkan di dada akhbar ialah orang Islam pakar dalam
bidang tertentu, tetapi dengan tujuan lain, kegiatan keganasan misalnya (walaupun ini mungkin kita
boleh pertikaikan kerana itu adalah dilabel oleh pihak barat yang diterajui Amerika Syarikat).

Satu pendekatan yang saya kira elok dimulakan ialah melahirkan saintis Islam yang berjiwa Islam, bukan
sekadar pakar dalam suatu bidang sains, malah juga sedikit sebanyak berpengetahuan dalam soal
syariat. Dengan dada yang dipenuhi ilmu agama, atau dengan kata lain dada yang ada Quran, maka
saintis yang dilahirkan dengan cara ini akan mengembalikan kajian dan penemuan mereka kepada Allah,
Tuhan Pencipta Alam. Dengan itu tidak timbul soal saintis Islam yang berjiwa barat. Inilah saintis yang
dihasilkan oleh Islam pada era kegemilangan Islam dahulu, iaitu saintis yang berjiwa ulamak.

Bila perkara ini dapat direalisasikan, maka ummah di seluruh dunia dapat manfaat dari penemuan ilmu
tersebut. Baharulah pihak barat tidak akan menuding jari bahawa saintis Islam hanya pandai mereka
bom atau senjata merbahaya hanya untuk tujuan keganasan. Pandangan ini harus segera diubah supaya
era kegemilangan S & T Islam dapat dikembalikan dan akan menjadi tunjang bukan sahaja kepada
tamadun umat Islam, malah tunjang kepada tamadun dunia keseluruhannya. Janganlah umat Islam yang
berjumlah lebih satu bilion nyawa sekarang ini hanyalah umpama buih di lautan; ramai tetapi tidak
membawa manfaat kepada umat dan dunia.
Kita pernah gemilang, dan insyaAllah, Islam boleh kembali gemilang dan cemerlang dengan syarat kita
berusaha dan sama-sama mengembling tenaga ke arah satu matlamat murni; melahirkan generasi
saintis Islam yang berjiwa Quran.

*Rencana ini pernah diterbitkan dalam Dewan Agama & Falsafah, Dewan Bahasa & Pustaka.

You might also like