You are on page 1of 1

KENALI PENULIS

Ahmad Patria Abdullah boleh dianggap sebagai antara pelopor penulisan novel sains fiksyen
dan fantasi di negara ini. Merupakan anak sulung kepada Sasterawan Negara, Dato' Abdullah
Hussain, kini bertugas sebagai ahli farmasi dan telah berkeluarga.

Karya beliau – Saga Artakusiad - yang berlatar fantasi dan bertemakan dunia imaginasi
menerusi dunia Aurora telah membuka mata pembaca, terutama peminat novel fantasi tanah
air. Mungkin kreativiti menghasilkan siri Saga Artakusiad ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh
novel fiksyen trilogi Inggeris, Lord of The Ring yang diterbitkan pertama kali pada 1955.

Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa bakat beliau sewaktu menghasilkan karya
pertama telah mendahului generasinya. Permata Aurorius telah ditulis dan diterbitkan pada
tahun 1987 sewaktu beliau berusia 17 tahun. Lebih bermakna, karya pertama beliau juga telah
dipilih sebagai buku terbaik oleh Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) pada tahun yang
sama diterbitkan. Malahan karya-karya beliau dalam siri Saga Artakusiad ini bukan sahaja
digemari oleh golongan remaja malah turut digemari oleh golongan dewasa.

Kini, selepas 20 tahun karya pertama beliau diterbitkan, para peminat masih lagi mencari dan
menantikan sambungan siri tersebut. Pelbagai wadah diwujudkan untuk berinteraksi dan
berkongsi minat. Watak-watak dalam siri Saga Artakusiad seolah-olah hidup dalam ruang
maya. Para peminat turut menggunakan nama-nama watak untuk mewakili diri sewaktu
berinteraksi sesama mereka.

Karya-karya beliau dalam siri Saga Artakusiad yang pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka termasuklah Permata Aurorius (1987), Kota Arialun (1988), Kembar Artakus (1988),
Petua Azkram (1991), Puteri Alindalia (1991) dan Pedang Aurora (1991). Ahmad Patria turut
menghasilkan sambungan kepada siri ini pada 2004 (Legenda Numerius) dan kini dalam proses
menerbitkan siri kelapan.

Karya Penulis

Siri Saga Artakusiad


Penulis: Ahmad Patria Abdullah

Siri Saga Artakusiad merupakan trilogi novel yang berlatar fantasi. Persoalan asas trilogi ini
membicarakan isu kepimpinan dan semangat mempertahankan maruah dan perpaduan kaum
daripada ancaman anasir lain. Persoalan itu disorot dan dicerna dengan kemas dan hidup
melalui gambaran latar dengan cara yang kreatif dan artistik. Pendekatan dan teknik
penceritaan novel ini tersendiri, mudah difahami dan bersesuaian dengan jalan cerita fantasi.
Penulis telah berjaya membina watak-watak yang hidup, dan punya gaya bahasa tersendiri
serta nilai-nilai keindahan dan estetika yang memberikan pengalaman baru kepada pembaca
khususnya golongan remaja.

You might also like