You are on page 1of 2

ARKITEK LANDSKAP PERLUKAN MINAT DAN KREATIVITI

Source: Utusan Malaysia


Date: 20/03/2006
Byline: Zunaidah Zainon

Generasi Berwawasan

Prospek kerjaya dalam bidang seni bina landskap menjanjikan masa depan yang
cerah asalkan seseorang mempunyai minat dan kesungguhan untuk berjaya.
Bagaimanapun, sebelum mengorak langkah lebih jauh lagi, pelajar yang menuntut
dalam bidang berkenaan harus membuktikan bahawa kerjaya sebagai arkitek
landskap bukan sekadar mengindahkan alam sekitar dengan tanaman bermacam
jenis pokok bunga.

Menurut pensyarah di Jabatan Seni Bina Landskap, Kuliyyah Seni Bina dan Reka
Bentuk Persekitaran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nurhayati
Abdul Malek, cabaran utama yang perlu mereka hadapi adalah bagaimana hendak
mengubah persepsi masyarakat terhadap bidang seni bina landskap.

"Bukan mudah untuk mengubah tanggapan masyarakat tetapi itulah halangan utama
yang perlu mereka selesaikan. Dalam masyarakat kita, kita seolah-olah telah
diletakkan satu standard bahawa sebarang kerjaya yang kurang popular adalah
berbeza dan tidak diiktiraf walaupun ia memberi sumbangan yang cukup besar,"
kata Nurhayati yang baru pulang dari Adelaide, Australia setelah menamatkan
pengajian peringkat sarjana.

Sebagai sebuah negara maju menjelang 2020, bidang landskap turut memainkan
peranan penting di Malaysia. Ini dapat dilihat apabila setiap majlis perbandaran
memerlukan sekurang-kurangnya seorang arkitek landskap. Malah, pelan
pembangunan dan perumahan memerlukan kelulusan landskap bagi mendapatkan
sijil sah menduduki (CF).

Jelas beliau, tanggungjawab utama arkitek landskap adalah mereka bentuk


persekitaran agar sesuai dengan kehendak masyarakat dan perancangan kawasan.
Kerjaya ini jauh lebih menarik berbanding arkitek yang hanya memberi tumpuan
kepada rekaan bangunan, pereka hiasan dalaman yang bertanggungjawab
mencantikkan ruang dalaman rumah dan juruukur bahan yang terlibat dalam
pengiraan kos kerja-kerja pembinaan.

"Dalam hal ini, pelajar dan anggota masyarakat mesti mempunyai keyakinan
terhadap prospek kerjaya dalam bidang ini. Persepsi bahawa arkitek landskap hanya
menanam pokok bunga untuk mencantikkan kawasan perlu diubah. Kerjaya ini
sebenarnya cukup menarik jika kita benar-benar ada kesungguhan dan keinginan
untuk berjaya," ujarnya yang pernah bekerja sebagai arkitek landskap selama
setahun setengah sebelum memilih profesion sebagai pensyarah.

Menceritakan pengalamannya, ujar ibu kepada dua cahaya mata ini, kerjaya
pensyarah lebih mencabar berbanding arkitek landskap kerana ia melibatkan masa
depan pelajar dan membantu memberikan tanggapan awal positif mengenai masa
depan dalam bidang tersebut. Pensyarah juga bertanggungjawab melahirkan arkitek
landskap yang berkebolehan dan berdaya saing.
Bagaimanapun, ada sebahagian pelajar yang kabur dengan masa depan mereka dan
hilang semangat belajar. Untuk menangani perkara ini, Norhayati seboleh-bolehnya
akan menyelami masalah mereka dan berbincang dengan baik. Selain itu, beliau
turut terlibat sebagai guru penasihat bagi setiap aktiviti melibatkan pelajar seni bina
landskap.

Beliau turut mengulas mengenai perkembangan sektor pembinaan di negara ini yang
turut memberi kesan kepada pelajar bidang berkenaan. Kekurangan projek
menyebabkan pihak jabatan dan fakulti menghadapi kesukaran menempatkan
pelajar untuk menjalani latihan praktikal dengan alasan tidak mampu membayar
elaun bulanan.

"Dalam kes ini, sama ada pihak firma lebih cenderung untuk memberi peluang
kepada mereka atau memikirkan masalah elaun yang perlu diberikan kepada pelajar.
Walaupun projek berkurangan, tetapi profesion ini tidak akan hilang begitu saja
kerana ia amat penting untuk pembangunan negara," tegas Nurhayati.

Selain minat dan kreativiti, untuk menjadi arkitek landskap yang berjaya, mereka
perlu melakukan banyak rujukan penyelidikan dari luar negara supaya idea-idea
baru dapat bercambah dengan baik dan bermanfaat bagi pembangunan negara.
Malaysia yang kaya dengan sejarah dan tradisi tersendiri sepatutnya dijadikan aset
untuk pembinaan landskap yang unik.

PROFIL

Nama: Nurhayati Abdul Malek

Umur: 30 tahun

Tarikh lahir: 18 November 1975

Asal: Kuala Lumpur

Akademik: Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Landskap, Universiti Teknologi Mara
(UiTM), Shah Alam dan Sarjana Rekreasi dan Pengurusan Persekitaran, Universiti
Adelaide, Australia

Kerjaya: Pensyarah Jabatan Seni Bina Landskap, Kuliyyah Seni Bina dan Reka
Bentuk Persekitaran UIAM

You might also like