You are on page 1of 1

Tulis satu esei tidak kurang daripada 100 patah perkataan yang mengandungi pengamalan unsur

patriotisme berdasarkan soalan di bawah.

Soalan:
Bagaimanakah institusi pentadbiran tempatan dapat memperkukuh integrasi nasional di negara
kita?

Tidak dapat dinafikan bahawa intitusi pentadbiran tempatan, misalnya Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah,
memainkan peranan yang tidak kurang penting dalam menjana integrasi nasional di negara kita. Dalam
pentadbiran institusi tempatan, elemen-elemen patriotisme hendaklah dihayati dan diterapkan demi
menyatupadukan rakyat.

Salah satu unsur patriotisme yang perlu diamalkan oleh kakitangan-kakitangan sektor awam ialah bertolak ansur
dan bertoleransi dalam pentadbiran. Misalnya, sebarang masalah yang dihadapi oleh orang awam hendaklah
ditangani dengan senyuman tanpa mengira warna kulit. Apabila tiada diskriminasi perkauman, maka wujudlah
perpaduan nasional.

Selain itu, sektor awam sewajarnya menghormati raja dan pemimpin negara saban masa. Mereka akan menjadi
contoh teladan yang sihat kepada orang awam agar menghormati raja dan pemimpin negara. Hal ini penting
kerana kehormatan ini menjadi teras integrasi nasional.

Dalam institusi pentadbiran tempatan, seperti majlis perbandaran, kakitangan perlu berlaku adil dan bertimbang
rasa. Sebarang tindakan haruslah secara adil saksama dan tidak membebani penduduk tempatan. Misalnya,
tindakan undang-undang tempatan hendaklah munasabah dan relevan. Dengan ini, rakyat jelata menggembleng
tenaga dengan pihak berkuasa sekali gus wujudlah perasaan cinta akan negara.

Seperkara lagi, elemen bersatu padu dan berharmoni merupakan elemen penting dalam melahirkan rakyat yang
berjiwa patriotik. Oleh hal demikian, kakitangan institusi pentadbiran tempatan haruslah bergabung tenaga dan
berkongsi idea dalam mengatasi masalah jenayah. Apabila wujudnya perpaduan dan keharmonian antara kedua-
dua pihak ini, sudah pasti integrasi nasional dapat dikecap nikmat.

Sementelahan, kakitangan awam tempatan hendaklah bertanggungjawab kepada bangsa dan negara dalam apa-
apa jua dalam pengurusan dan pentadbiran. Dalam hal ini, kakitangan awam tidak harus terjebak dalam kancah
rasuah. Hal ini demikian kerana rakyat memang benci akan korupsi dan pecah amanah. Jika rasuah dihapuskan,
maka rakyat akan mencintai negara serta hidup bersatu padu.

Akhir sekali, sebarang masalah yang dihadapi rakyat patut menjadi prioriti pihak intitusi pentadbiran tempatan.
Dengan erti kata lain, pihak berkuasa haruslah peka dan sensitif akan masalah yang dihadapi orang awam. Apabila
masalah masyarakat tidak wujud, maka masyarakat akan hidup bersatu padu.

Konklusinya, unsur-unsur patriotisme dalam institusi pentadbiran tempatan perlu diterapkan jika kita hendak
rakyat hidup harmoni dan bersatu padu. Dalam konteks ini, kakitangan awam haruslah menunjukkan iltizam yang
tinggi dalam segala urusan pentadbiran yang melibatkan masyarakat. Dengan cara ini, konsep 1Malaysia dan
Wawasan 2020 akan dapat direalisasikan.

Disediakan oleh Cikgu Kay Seven

You might also like