You are on page 1of 5

Haluan dan Cabaran IPT di Era Pasca Kemerdekaan jbtn pgjn

tinggi 2007

Oleh: Khairunneezam Mohd Noor mohamad hj.alias et.al institusi pengakian tinggi malaysia

Universiti Sains Islam Malaysia,n9

Umum mengiktiraf bahawa universiti adalah institusi yang memiliki reputasinya yang
tersendiri harus dihormati kerana ia adalah gedung penyebar ilmu. Pengiktirafan
sebegini secara asasnya adalah satu kontrak sosial yang telah diletakkan oleh
masyarakat yang mengharapkan universiti dan para pensyarahnya terus menjaga
martabat dan kemurnian ilmu pengetahuan.

Jika diamati perkembangan dunia pengajian tinggi secara global, ternyata bahawa
pengajian tinggi merupakan sektor yang sangat berpengaruh dalam menjana
pembangunan sesebuah negara. Sektor pengajian tinggi tidak lagi sekadar
berperanan sebagai institusi penyebaran ilmu pengetahuan, bahkan lebih kepada
penyumbang aktif dan agen perubahan kepada kemajuan dan keharmonian
ekonomi, politik dan sosial (Thillaisundaram, 2003). Begitu jua senarionya yang
berlaku kepada pengajian tinggi di Malaysia. Sejak tertubuhnya Universiti Malaya
sebagai universiti awam yang pertama pada 1962 sehinggalah kepada penubuhan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 2006, dunia pengajian tinggi di
Malaysia terus mengorak langkah yang progresif dalam menyokong pembangunan
sosio-ekonomi negara. Ditambah dengan perkembangan kolej dan universiti swasta
yang mencatat sejumlah 560 institusi pada awal 2007 yang merancakkan lagi
kepesatan sektor pengajian tinggi di Malaysia.

Pengajian tinggi selepas era kemerdekaan telah dinobatkan antara institusi


utama dalam mendukung dan menjayakan pelbagai polisi dan dasar negara.
Misalannya, Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) dan Dasar Pembangunan Nasional
(1991-2000) telah berjaya mencapai matlamat pembasmian jurang kemiskinan dan
penyusunan semula masyarakat secara adil dan saksama melalui peranan yang
dimainkan oleh universiti tempatan. Universiti tempatan berperanan menyediakan
ruang pengajian yang luas dan saksama dalam bidang-bidang kritikal seperti
perundangan, perubatan, sains dan teknologi untuk semua bangsa di Malaysia.
Impaknya, universiti tempatan berupaya melahirkan sumber manusia
berpengetahuan tinggi dan berakhlak mulia yang menjana pembangunan ekonomi
negara di pelbagai sektor, selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Sebagai usaha kerajaan untuk memantapkan sektor pengajian tinggi, pelbagai polisi,
dasar dan strategi telah diimplementasikan. Penubuhan Kementerian Pengajian
Tinggi (KPT) pada tahun 2004 adalah satu mekanisme sokongan kerajaan terhadap
perkembangan universiti-universiti tempatan. Sokongan kerajaan juga turut terserlah
melalui peruntukan yang besar untuk sektor pengajian tinggi dalam setiap bajet
Rancangan Malaysia. Dalam rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010) umpamanya
sejumlah RM16 bilion diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan pelbagai
program pembangunan di sektor pengajian tinggi. Dan seharusnya di pihak
universiti, sokongan padu kerajaan ini dibalas dengan memantapkan kredibiliti dan
kualiti di dalam pelbagai aspek.

Kualiti menjadi isu teras yang menentukan tinggi rendahnya reputasi sesebuah
universiti. Untuk itu, semua universiti baik awam mahu pun swasta telah meletakkan
sasaran untuk menjadi ‘universiti kelas dunia’ sebagai nilai ukur kualiti institusi
mereka. Natijahnya, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan
Universiti Sains Malaysia telah berjaya tersenarai di antara universiti terbaik di dunia
dalam kajiselidik Times Higher Education Supplement beberapa tahun kebelakangan
ini. Begitu juga kejayaan para pensyarah universiti tempatan yang meraih anugerah
dan pengiktirafan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat
dunia, menjawat jawatan utama di peringkat antarabangsa seperti di Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu dan pelbagai lagi pencapaian membanggakan, telah
menyerlahkan lagi kualiti pengajian tinggi Malaysia di mata dunia.

Dalam usaha mengekalkan kualiti sesebuah institusi pengajian tinggi swasta pula,
kerajaan menetapkan bahawa institusi ini tertakluk kepada prinsip dan peruntukan
yang tertakluk di dalam Akta Pendidikan 1996, Akta Institusi Pengajian Tinggi
Swasta 1996, dan Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996. Jelas akta-akta ini telah
membantu institusi pengajian tinggi swasta dalam menjaga reputasi institusi masing-
masing. Buktinya sehingga ke hari ini, terdapat lebih 20 institusi pengajian tinggi
bertaraf universiti dan kolej universiti yang berjaya menarik minat pelajar
antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di institusi mereka. Kredibiliti dan kualiti
yang diserlahkan oleh institusi pengajian awam dan swasta ini diyakini dapat
merealisasikan hasrat kerajaan menarik sejumlah 100 ribu pelajar asing menuntut di
universiti-universiti tempatan.

Di alaf baru ini, terdapat banyak cabaran yang perlu diharungi oleh sektor pengajian
tinggi negara dalam pengekalan weltanshauung dan survivalnya. Krisis ekonomi
negara genap sedekad yang lalu dan hambatan arus globalisasi misalnya telah
mengubah perspekstif pengajian tinggi Malaysia agar tidak bersifat konvensional
iaitu terarah kepada aktiviti pengajaran dan penghasilan penyelidikan semata-mata.
Universiti tempatan menyedari, jika tidak beralih arah kepada keterbukaan dan
persaingan di peringkat global, maka universiti mereka akan terus ketinggalan ditelan
arus perkembangan pendidikan dunia. Untuk itu, melalui dasar pengkorporatan
pengajian tinggi awam yang diperkenalkan sejak 1998, banyak universiti awam telah
melonjakkan kualiti mereka dengan mengkomersialkan produk dan perkhidmatan
serta hasil penyelidikan dan pembangunan ke peringkat antarabangsa. Begitu juga
dengan dasar penswastaan pengajian tinggi yang berjaya menarik minat bukan
sahaja para konglomerat tempatan bahkan universiti tersohor dari luar negara seperti
Australia dan United Kingdom untuk menyuburkan sektor pengajian tinggi negara.

Sektor perindustrian dan para majikan masa kini seringkali mempersoalkan mengapa
graduan keluaran universiti tempatan terutamanya universiti awam tidak mampu
memenuhi keperluan semasa mereka. Isu seperti graduan yang lemah penggunaan
Bahasa Inggeris, kurang pengetahuan dalam bidang ICT, memiliki kemahiran yang
sudah lapuk dan tidak lagi relevan, tiada ketrampilan peribadi dan seumpamanya
menunjukkan bahawa pihak universiti perlu melihat kembali keberkesanan sistem
pendidikan yang ditawarkan mereka. Begitu juga dengan hasil penyelidikan universiti
yang dianggap tidak mempunyai nilai komersil, bersifat terlalu akademik dan tidak
memenuhi keperluan industri.

Sebagai usaha membantu universiti menangani isu-isu sebegini, beberapa


rancangan jangka panjang dan jangka pendek telah dirangka dan dilaksanakan oleh
pihak kerajaan dan universiti awam khususnya. Contohnya, kerajaan telah
menetapkan pelaksanaan sistem rating bagi kesemua IPTA dan IPTS yang akan
bermula pada tahun ini. Ia dilihat sebagai pencetus kepada kesedaran dan sifat
berkumba-lumba di kalangan universiti untuk menjadi institusi pengajian tinggi yang
terbaik.

Mengkhusus kepada strategi di universiti awam, kerajaan mensasarkan pada tahun


2010, terdapat sekurang-kurangnya 60% pensyarah di setiap universiti awam telah
memiliki PhD. Ianya bertujuan untuk memastikan tenaga pengajar di universiti terdiri
daripada pakar bertaraf dunia dan berupaya membentuk mahasiswa yang
terkehadapan. Maka, jumlah pensyarah yang dibiayai kerajaan untuk melanjutkan
pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran ditambah untuk memenuhi aspirasi
tersebut. Di dalam aspek penyelidikan dan pembangunan, kerajaan telah
mewujudkan banyak geran pembiayaan seperti geran IRPA yang ditawarkan
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Geran penyelidikan dan pembangunan
sebegini turut merintis kepada usaha pembentukan hasil penyelidikan yang
mempunyai nilai komersil, bertaraf antarabangsa dan berkualiti tinggi.

Demi mengekalkan sistem dan kualiti pengajaran dan pembelajaran pula, KPT
menggalakkan agar ahli akademik turun ke lapangan industri dan menyertai latihan
industri serta melaksanakan program pertukaran pensyarah antara universiti awam
dan universiti luar negara dalam sektor kritikal seperti bioteknologi, kejuruteraan
marin, perubatan dan sebagainya.

*Universiti swasta turut aktif memacu perkembangan institusi mereka bagi menjamin
pertumbuhan keuntungan mereka serta memenuhi tuntutan industri dan sosio-
ekonomi negara. Universiti Limkokwing sebagai contoh, mengadakan memorandum
persefahaman bersama kerajaan negeri Kelantan bagi membantu mengembangkan
kegiatan ekonomi luar bandar negeri itu. Begitu juga kebanyakan universiti swasta
mengadakan usahasama dengan universiti luar negara untuk menawarkan Twinning
Program sebagai usaha menarik minat para pelajar dalam dan luar negara menuntut
di universiti mereka.

Jelas, pada hari ini selepas 50 tahun negara mengecapi kemerdekaan, sektor
pengajian tinggi adalah agen pemacu ke arah kestabilan sosio-ekonomi, politik dan
indusri negara. Institusi pengajian tinggi tempatan berjaya mengorak langkah
kemajuan mereka, seiiring kepesatan pembangunan global dan nasional. Tidak
dapat tidak, cabaran dan isu-isu yang kritikal pasti akan sentiasa wujud mengiringi
perkembangan dunia pengajian tinggi. Namun, jika ianya bijak ditangani dan
dimanipulasi, cabaran dan isu-isu tersebut dapat dijadikan pemangkin kepada
penambahbaikan kualiti dan kredibilit sesebuah institusi pengajian tinggi.

You might also like