You are on page 1of 2

ARKIB : 03/10/2007

Isu lagu Rasa Sayang -- Buktikan - Rais Yatim

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) mahu
pemerintah Indonesia mengemukakan bukti bahawa lagu Rasa Sayang yang digunakan oleh
Malaysia bagi menarik pelancong ke negara ini merupakan warisan sejati republik itu dan
penggunaannya perlu mendapat keizinan terlebih dahulu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, isu tersebut seharusnya tidak timbul kerana Rasa
Sayang merupakan lagu yang dimainkan di nusantara sejak zaman-berzaman.

Katanya, banyak lagi lagu lain yang tidak dapat dibuktikan penciptanya tetapi menjadi
penghubung dalam mengukuhkan persaudaraan orang Melayu di rantau ini.

‘‘Lagu-lagu seperti Rasa Sayang, Jauh Di Mata, Burung Pungguk dan Terang Bulan ialah lagu
nusantara yang mengikat tali persaudaraan orang zaman dahulu dari kedua-dua negara.

‘‘Sila buktikan ia milik Indonesia sebab sebahagian lagu-lagu ini adalah lagu nenek moyang kita
dan kita tidak boleh katakan seseorang itu menciptanya,’’ kata Rais ketika ditemui pemberita
pada majlis berbuka puasa anjuran KeKKWa di Masjid Wilayah di sini, malam ini.

Beliau mengulas gesaan ahli-ahli Parlimen Indonesia, antaranya Hakam Naja dari Parti Amanah
Nasional yang mahu pemerintah Indonesia menyaman kerajaan Malaysia kerana menggunakan
lagu tradisonal Rasa Sayange dalam kempen ‘Malaysia: Truly Asia’ bagi menarik kemasukan
pelancong asing.

Priyo Budi Santoso dari Parti Golkar pula mahu Malaysia meminta izin daripada pemerintah
Indonesia untuk menggunakan lagu itu dengan mendakwa ia adalah warisan republik itu.

Lagu Rasa Sayange dipercayai berasal dari Maluku, Indonesia dan dinyanyikan sejak beberapa
generasi dahulu bagi menyatakan rasa cinta mereka kepada alam sekitar.

Menurut Rais, beliau percaya pemerintah Indonesia tidak akan bertindak terburu-buru untuk
menyaman kerajaan Malaysia tanpa sebarang bukti kukuh.

Jelasnya, tindakan tersebut sekiranya diambil hanya akan menjejaskan hubungan persaudaraan
yang telah lama terjalin antara rakyat kedua-dua negara.

‘‘Dari segi budaya, saya kira mereka tidak harus ambil jalan tersebut.

‘‘Kita pun boleh katakan sebahagian lagu kita mereka nyanyikan dan terbitkan di sana tanpa apa-
apa honorarium kepada penyanyi asal dari negara ini,’’ katanya.
Rais sebelum itu menyampaikan sumbangan sebanyak RM225,500 kepada para penggiat seni
yang mengalami masalah kesihatan serta golongan kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim
dan pelajar miskin.

Beliau turut mengerjakan solat tarawih secara berjemaah.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah isteri beliau, Datin Seri Masnah Rais; Ketua Setiausaha
KeKKWa, Datuk Zakiah Ahmad dan Pengerusi Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim
Ahmad Makaruddin.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2007&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_10.htm

You might also like