You are on page 1of 7

Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah

dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di
sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk
semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai
dengan slogan Negara Bersih Rakyat Sihat. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja
membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-
royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul,
yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di
Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan
silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru
Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Hari Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat
yang terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan
hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan
apabila kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat
Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat
kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan perpaduan kaum di
Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum
di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan
permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan
sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum
di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki
dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya
mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini
tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan
negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di
Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui
pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai
kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap
dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ
langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini
perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di
negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi
duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.

Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di negara
kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal
untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada
dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah
masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang
teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat
proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai.
Salah satu usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita adalah peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah. Rakyat
harus menyokong cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan. Dengan adanya sistem
pendidikan yang terbuka kepada setiap kaum dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, hal ini mampu
membentuk elemen perpaduan dalam kalangan murid. Apabila murid berbilang kaum di peringkat awal didedahkan dengan
kepelbagaian bangsa dan agama di sekolah rendah lagi, usaha untuk membentuk satu masyarakat berbilang kaum yang
bersatu padu dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Di sekolah, murid-murid yang berbilang kaum akan berinteraksi,
bergaul , bermain dan sebagainya semasa melakukan aktiviti- aktiviti semasa P & P ataupun aktiviti kokurikulum. Dengan
cara ini, generasi Malaysia yang lebih bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu mampu dilahirkan. Selain itu, menerusi
sukatan pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, sifat perpaduan kaum dapat
dipupuk dalam kalangan murid. Jelasnya, generasi muda akan sedar akan peranan mereka untuk mengukuhkan perpaduan
kaum menerusi peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah.

Selain itu, rumah terbuka yang diadakan pada hari perayaan dapat mewujudkan perpaduan kaum di negara kita. Rumah
terbuka bermaksud satu perayaan agama yang disambut oleh penganut pelbagai agama dengan tujuan untuk memupuk
persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Amalan kunjung-mengunjungi ketika merayakan Hari Raya Aildilfitri, Tahun
Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal dapat memupuk silaturahim dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Semasa
menghadiri rumah terbuka, rakyat Malaysia boleh mengenali adat resam setiap kaum dengan lebih mendalam sekali gus
dapat menjana sikap bertimbang rasa dan saling menghormati antara satu sama lain. Setiap kaum yang ada di negara kita
sedia menerima adat resam dan budaya kaum lain selain dapat menikmati juadah tradisional masyarakat mengikut kaum
yang ada di Negara kita. Rakan-rakan yang datang berkunjung ke rumah kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan
sesama kaum tetapi juga dapat memeriahkan suasana rumah terbuka. Tegasnya, rumah terbuka yang diadakan pada setiap
perayaan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.

Di samping itu, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dipupuk menerusi aktiviti hari keluarga. Hari
keluarga merupakan aktiviti yang sihat yang wajar menjadi kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti hari keluarga boleh disertai
oleh semua lapisan masyarakat dalam sesebuah taman atau komuniti untuk mengerattkan hubungan sesama kaum.Hari
keluarga boleh diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan di kawasan berhampiran tempat tinggal seperti di padang
sekolah, taman rekreasi atau di sesebuah tempat perkelahan. Ibu bapa boleh membawa anak masing-masing dan menyertai
aktiviti yang dijalankan. Secara tidak langsung, setiap ahli masyarakat dapat mengenali, dan berkomunikasi dengan jiran
tetangga mereka yang selama ini hanya berpeluang untuk melihat muka tanpa berbual-bual ketika keluar rumah. Jelasnya,
aktiviti hari keluarga yang dijalankan dapat mengeratkan perpaduan dan sekali gus menjayakan gagasan 1 Malaysia.

Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat dapat diwujudkan menerusi kepelbagaian kebudayaan.
Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan perpaduan. Walaupun terdiri
daripada latar belakang yang berbeza, namun apabila dikaitkan dengan kebudayaan, semua rakyat boleh menerimanya
tanpa wujud prasangka. Apabila diadakan sesuatu persembahan untuk meraikan hari kebesaran atau menerima kedatangan
orang kenamaan, akan dipersembahkan tarian oleh pelbagai kaum seperti tarian Zapin dan tarian Inang oleh masyarakat
Melayu. Tarian kipas, tarian singa dan tarian piring oleh masyaraat Cina, Tarian Bharatanatiam dan Tarian Kollattam oleh
masyarakat India. Persembahan kebudayaan yang unik ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelancong asing yang
berkunjung ke negara ini. Tegasnya, kepelbagaian kebudayaan yang ada di negara kita dapat mewujudkan perpaduan kaum
dan mengenali antara satu sama lain kerana tak kenal maka tak cinta.
Dasarwarsa ini , sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap penjuru tentang isu perpaduan kaum. Di
Malaysia, kita mempunyai pelbagai kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazandusun. Pihak kerajaan
telah betungkus lumus memikirkan seribu satu cara untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum agar peristiwa hitam pada 13
Mei yang melanda Negara Malaysia tidak berulang lagi. Persoalannnya , apakah strategi yang boleh dilaksanakan demi
mewujudkan perpaduan kaum di tanah air tercinta ini?

Pihak sekolah turut memikul tanggungjawab dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan pelajar.
Tindakan ini harus dilakukan oleh setiap guru di sekolah. Sebagai contoh, para pendidik di sekolah boleh menerapkan nilai
perpaduan kaum dalam diri pelajar melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewargenegaraan dan Moral. Bukan
sekadar itu, pendidik juga seyogianya mempratikkan nilai perpaduan ini dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini demikian
kerana murid akan mudah terpengaruh dengan setiap perkara yang dilihatnya melalui tindakan guru. Tegasnya, semua guru
haruslah menunujukkan teladan yang baik kepada pelajar dan mereka harus menjauhi perkara buruk bak kata peribahasa
kalau baik jadikan teladan, kalau jahat jadikan sempadan.

Selain itu, modus operandi yang boleh digunakan oleh pihak kerajaan bagi mewujudkan perpaduan dalam
kalangan masyarakat termasuklah menggiatkan kempen kebudayaan bagi menarik minat masyarakat mempelajari budaya
kaum lain. Dengan mempelajari budaya kaum lain, masyarakat akan mampu untuk memahami aktiviti kebudayaan kaum
lain. Aktiviti yang boleh diadakan semasa kempen tersebut termasuklah pertandingan pakaian tradisional, permainan
tradisional, pertandingan tarian tradisional seperti tarian Zapin, Kuda Kepang , Ngajat, Bharata Natyam dan tarian Singa
serta pertandingan kuiz berkaitan dengan budaya sesuatu kaum. Dengan melibatkan masyarakat berbilang bangsa dalam
sesebuah aktiviti kebudayaan, nilai perpaduan akan dapat disemai sedikit demi sedikit. Orang dahulu selalu berpesan
bahawa sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit maka perpaduan yang disemai sedikit-sedikit akan menyubur dalam diri
masyarakat berbilang kaum hari ini. Tegasnya , kepelbagaian budaya tidak akan dapat menghalang masyarakat pelbagai
kaum untuk bersatu padu.

Seterusnya , perpaduan kaum dapat diwujudkan dengan mengunjungi rumah terbuka. Pelbagai bangsa berkumpul
di bawah satu bumbung menepati harapan Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Bin Tun Abdul Razak iaitu Gagasan
1 Malaysia. Bukan itu sahaja , pelbagai juadah enak boleh dihidangkan semasa rumah terbuka tersebut seperti nasi minyak ,
aneka masakan goreng , aneka kuih tradisional ,serta makanan kegemaran ramai iaitu ketupat. Perpaduan kaum akan
terjalin secara tidak langsung sambil mereka menikmati juadah yang diadakan . Intim perpaduan yang diwujudkan dengan
mengunjungi rumah terbuka dapat menjamin kedamaian di Malaysia demi jangka masa yang lebih lama bak kata mutiara
Melayu bersatu teguh,bercerai roboh. Tegasnya, rumah terbuka bukan sahaja didefinisikan sebagai juadah yang enak dan
mampu membuatkan orang terliur, malahan tindakan ini juga ditafsirkan sebagai perpaduan kaum akan terjalin dengan lebih
erat.

Tuntasnya, berbagai-bagai pendekatan yang boleh diambil bagi mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan
masyarakat. Semua pihak perlu bahu-membahu bagai aur dengan tebing agar nilai perpaduan dapat diterapkan dalam
kalangan generasi muda kini kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Sebagai pemimpin masa
hadapan,generasi muda seharusnya memiliki sikap perpaduan dalam diri mereka. Hal ini demikian kerana pemuda harapan
bangsa,pemudi tiang negara. Hal ini juga secara tidak langsung memudahkan kerajaan dalam mencapai visi kudsi Gagasan
1 Malaysia pada masa hadapan.
Mutakhir ini,nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat semakin pudar.Hal ini terjadi demikian kerana sikap ibu bapa yang
tidak prihatin terhadap kepentingan nilai-nilai ini dalam diri anak-anak mereka.Jika nilai-nilai murni ini tidak dipupuk maka
negara kita akan dahagakan masyarakat yang saling bersatu padu.Oleh itu,nilai-nilai murni ini haruslah dipupuk sejak
dibangku sekolah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.Bagaimanakah cara-cara untuk memupuk nilai-nilai
murni ini daripada terus hilang ditelan zaman?

Langkah perdana yang boleh diambil untuk memupuk nilai murni adalah melalui bantuan pihak kerajaan.Kerajaan perlu
mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat sama ada di desa ataupun di bandar-bandar besar yang sedang
mengalami proses pembangunan ekonomi.Kempen ini haruslah dilakukan secara berterusan dan janganlah sekadar hangat-
hangat tahi ayamkerana akan menyebabkan kerugian kepada negara kita sendiri.Jika inisiatif untuk memupuk nilai-nilai
murni dalam diri masyarakat tidak dilakukan oleh pihak kerajaan maka masyarakat pada hari ini akan terus hanyut dalam
dunia modenisasi ini.Oleh itu,pihak kerajaan haruslah mengadakan kempen ini secara berterusan supaya masyarakat akan
terus dibasahi dengan nilai-nilai murni yang akan mengeratkan hubungan antara masyarakat di negara ini.

Langkah seterusnya yang dapat kita lakukan untuk mengatasi keruntuhan nilai moral dalam kalangan masyarakat adalah
dengan menyedarkan ibu bapa tentang pentingnya memupuk nilai-nilai moral dalam diri anak-anak semasa mereka masih
tidak mengenal apa itu erti kehidupan.Ibu bapa boleh memupuk anak-anak mereka dengan sentiasa mengajar mereka
tentang pentingnya semangat kejiranan dan perpaduan.Oleh hal demikian,ibu bapa mestilah sentiasa membawa mereka untuk
mengikuti program yang dianjurkan oleh pihak tertentu yang menjurus kepada usaha untuk memupuk nilai-nilai murni.Jika ibu
bapa hanya mengambil ringan akan masalah yang sedang melanda negara kita sekarang maka negara kita akan mengalami
satu masalah besar yang akan menyerang negara pada masa akan datang bak kata pepatahapi kecil baik dipadam.Oleh
itu,peranan ibu bapa dalam menangani masalah ini amat diperlukan kerana setiap pembelajaran itu bermula dari rumah dan
ibu bapa haruslah sabar dalam mendidik anak-anak kerana belakang parang jika diasah tajam juga.

Selain itu,peranan pihak sekolah dalam membanteras masalah keruntuhan moral ini amat dituntut kerana di sekolah
merupakan tempat pembelajaran kedua selepas di rumah.Dalam mengatasi masalah ini,pihak sekolah boleh mengadakan
pelbagai aktiviti yang berfaedah di sekolah mahupun di luar kawasan sekolah seperti bergotong-royong untuk membersihkan
sekolah dan mencantikkan sekolah.Aktiviti-aktiviti seperti ini dapat memberi kesedaran kepada pelajar tentang peri
pentingnya semangat bekerjasama dan saling membantu dalam kalangan masyarakat.Kementerian Pelajaran boleh
mewujudkan mata pelajaran baru yang mengajar pelajar tentang nilai-nilai moral.Jika pihak sekolah tidak memainkan
peranan dalam mengatasi masalah ini maka negara kita semakin kepupusan pelajar yang mempunyai nilai moral yang akan
menjadi tunggak negara pada masa akan datang.Tegasnya, pihak sekolah juga memainkan peranan utama dalam mengatasi
keruntuhan nilai-nilai moral dalam kalangan masyarakat.

Seterusnya, usaha yang boleh dilakukan untuk membanteras masalah ini ialah melalui media massa.Pada zaman yang menuju
puncak ini,semua informasi-informasi yang berlaku di dunia ini mudah didapati kerana kemudahan seperti internet,televisyen
dan banyak lagi memberi kita peluang untuk menerokai hal-hal yang berlaku pada masa sekarang.Oleh hal demikian,sudah
tentulah usaha untuk memupuk nilai murni ini boleh dilakukan melalui media massa.Untuk merealisasikan impian ini,pihak
media massa haruslah bekerjasama dalam menjayakan program ini dan sentiasa berjuang untuk kadaulatan negara.Seperti
yang sedia kita maklum,televisyen menjadi daya tarikan yang popular dalam kalangan masyarakat di negara kita.Oleh
itu,pihak syarikat televisyen haruslah sentiasa memaparkan nilai-nilai murni dan kepentingan nilai-nilai murni melalui iklan-
iklan di televisyen.JIka pihak media massa tidak bekerjasama dalam mengatasi masalah ini maka amat sukar untuk mewara-
warakan masalah yang sedang dihadapi ini kepada masyarakat di luar sana.Oleh itu, pihak media massa menjadi tempat
untuk mendapatkan pertolongan bagi menyelesaikan masalah ini bak kata pepatahyang berpayung yang ditembak

Ahli Jawatankuasa kampung juga harus memainkan peranan dalam mengadakan program kemasyarakatan di kampung
masing-masing seperti gotong-royong membersihkan kampung,menolong keluarga miskin dan sebagainya.Program seperti ini
dapat mengajar penduduk kampung tentang kepentingan semangat bekerjasama atau nilai moral yang terpuji bagi
mewujudkan sebuah masyarakat kampung yang harmonis.Program seperti ini juga memberi peluang kepada penduduk untuk
meluangkan masa bersama kerana masyarakat pada zaman ini yang hanya mengejar kepentingan duniawi sahaja dan sikap
seperti katak dibawah tempurung yang tidak bergaul dengan orang lain. Oleh itu,program seperti ini banyak memberi
manfaat kepada masyarakat dan seharusnya dilakukan di setiap kampung di negara ini.

Kesimpulannya,kita haruslah bersatu padu dalam memerangi masalah keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat di
negara ini dan semua pihak mestilah memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan
masyarakat, bak kata pepatahBersatu kita teguh,bercerai kita roboh.Kita haruslah memupuk nilai-nilai murni ini di dalam
diri kita kerana tidak rugi seseorang itu yang mempunyai nilai-nilai murni kerana hancur badan dikandung tanah,budi baik
dikenang juga.

You might also like