You are on page 1of 3

Pada dasarnya, konsep harta sepencarian tidak dibincangkan secara khusus oleh

para ulama. Malah tidak ada sebarang dalil nas yang jelas berkaitannya. Namun para
ulama telah memberi pelbagai pandangan dalam membicarakan tentang harta
sepencarian. Ada yang menyebut ia sebagai Mata al-Bayt iaitu perkakasan rumah
dan ada yang menyebut sebagai Mal al-Zawjayn yang bermaksud harta suami isteri.

Apa yang jelas, harta sepencarian tidak boleh dianggap sebagai satu aqad
perkongsian (al-Syarikah). Ini kerana harta sepencarian dikuatkuasakan melalui
perkongsian hasil suami dan isteri. Walaupun ketika aqad nikah wujud satu bentuk
aqad, namun ia tidak boleh dianggap aqad bagi kontrak secara langsung menimbulkan
harta sepencarian. Ini kerana, ijab dan qabul tersebut hanyalah bertujuan
menghalalkan satu pergaulan antara suami dan isteri sahaja.

Adat Melayu

Jika dilihat sejarah lampau, harta sepencarian telahpun dianggap sebagai satu
bentuk adat dalam masyarakat Melayu. Menurut Adat Pepatih, ia disebut sebagai
carian laki bini. Misalnya dalam kes Hasmah lwn Jalil, telah diputuskan bahawa harta
carian laki bini hendaklah dibahagikan dua antara suami dan isteri apabila berlaku
perceraian.

Malah jika diamati, sebelum pindaan Perkara 121(1A), kebanyakan keputusan


para hakim Inggeris berkaitan harta sepencarian lebih

cenderung merujuk kepada pemakaian adat setempat orang Melayu. Dalam kes Robert
lwn Boto, diputuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian dianggap sebagai harta
sepencarian dan mahkamah akan membahagikan setiap setengah bahagian jika pihak-
pihak bersetuju. Ini adalah berdasarkan kepada anggapan bahawa ia adalah satu adat
dan bukannya hukum syarak.

Hukum Syarak

Persoalannya kini, adakah harta sepencarian itu diktiraf oleh hukum syarak?
Sepertimana disebut sebelum ini, meskipun harta sepencarian tidak dijelaskan oleh
apa-apa dalil nas, namun ulama masih lagi memperakuinya berdasarkan konsep uruf
(adat) dan maslahah setempat. Ini mengambilkira soal keadilan kedua-dua pihak
selaras firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur Ayat 32 menyatakan orang orang
lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian
daripada usahanya juga. Maka apabila sesuatu uruf itu diperakui baik dan sesuai oleh
undang-undang kedudukannya, maka ia akan menjadi peraturan yang perlu dipatuhi.
Malah ia selaras dengan kaedah fiqh antaranya ialah adat yang diakui sebagai hukum
dan juga uruf itu diiktibarkan oleh syarak.

Oleh itu, kini hata sepencarian telahpun dianggap sebahagian daripada undang-undang
Islam. Malah Mahkamah Syariah telahpun diberi bidangkuasa khusus dan eksklusif
bagi membicarakannya. Ia juga telah diperuntukan dalam semua Enakmen
Pentadbiran Keluarga Islam di setiap negeri dan juga dalam Arahan Amalan Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
Misalnya dibawah Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri
Selangor) 2003 harta sepencarian ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama
oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang
ditentukan oleh Hukum Syarak. Berdasarkan takrif yang diperuntukan, bolehlah
difahami bahawa harta sepencarian termasuklah harta samada harta alih atau tidak
alih yang diperoleh suami dan isteri melalui usaha mereka bersama dan bukannya
daripada satu pihak sahaja semasa perkahwinan. Harta yang dikumpul selepas
perceraian atau kematian tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian.

Sumbangan tidak langsung

Namun kini, konsep harta sepencarian telah mula diluaskan termasuk juga harta
yang diperoleh suami melalui usahanya sendiri semasa perkahwinan dengan
sumbangan secara tidak langsung daripada isteri. Sumbangan tidak langsung
bermaksud suatu usaha yang disumbangkan oleh mana-mana pasangan dalam
mendapatkan harta itu di mana usaha yang disumbangkan adalah kecil berbanding
dengan hasil atau manfaat sumbangan itu yang menghasilkan sesuatu harta yang besar.

Ini bermaksud, salah satu pasangan memberi sumbangan secara tidak langsung
samaada melalui idea, dorongan, nasihat, keselesaan, ketenteraman dan sebagainya
kepada pasangan satu lagi yang berusaha dan berjaya dalam mendapatkan harta itu.
Dalam kes Tengku Anum Zaharah, mahkamah memutuskan bahawa harta yang
menjadi pertikaian ialah harta sepencarian hasil daripada sumbangan tidak langsung
isteri yang berketurunan berpengaruh. Kesan pengaruh isteri membolehkan suaminya
mendapat gelaran Dato dan berjaya memajukan perniagaannya.

Tuntutan

Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan


dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan
dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan
bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian
harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah
perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta
sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan.

Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan.


Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada
mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum
permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama
Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan
keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah
dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami
dan juga keluar agama Islam.

Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang


membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat
kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian,
maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum
harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian
harta itu adalah harta sepencarian.

Penyelesaian

Kaedah penyelesaian apabila melibatkan harta sepencarian ialah melalui kaedah sulh
iaitu dengan cara berdamai samada melalui pengakuan dan penyerahan hak pemilikan
kepada satu pihak lagi atau nilai harta yang dipersetujui dibahagi mengikut
persetujuan. Persetujuan ini boleh dibuat samaada di luar mahkamah atau di hadapan
pegawai sulh dan kemudian ianya akan diendors sebagai satu perintah oleh mahkamah.

Kaedah lain adalah melalui persetujuan semasa perbicaraan sedang


berlangsung. Hakim kebiasaannya akan memberi peluang kepada kdua-dua pihak
untuk mencapai persetujuan bersama. Maka persetujuan ini akan diendors sebagai satu
perintah Mahkamah.

Sekiranya kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian, maka


mahkamah akan meneliti setiap keterangan dan penghujahan pihak-pihak. Seterusnya
mahkamah akan memutuskan pembahagian harta sepencarian tersebut melalui
perintah mahkamah.

Possibly related posts: (automatically generated)

Konsep pemilikan dalam Islam

10 Tahun Reformasi Berjalan Tanpa Konsep

praktek jalan-jalan

You might also like