You are on page 1of 5

Aqidah Akhlak

DALIL NAQLI TENTANG SYIRIK

Di susun oleh
Nama : Sri Pawitha Nurul Z.
Kelas : XIPA1

Madrasah Aliyah Negeri 1 Kendari


TP 2016/2017
Syirik
Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan,
pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk
bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah.

Menyekutukan Allah jelas dianggap syirik apatah lagi perbuatan mengaku diri sebagai tuhan.
Lebih mengundang bahaya apabila golongan ini ada di dalam masyarakat sama ada diketuai
orang Islam atau bukan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan
sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat
kembalinya ialah ke neraka. (Surah al-Maidah, ayat 72)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan
dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang
Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka
sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. (Surah an-Nisa, ayat 48)

Dalam surah Luqman, Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya syirik itu adalah
satu kezaliman yang amat besar. (Surah Luqman, ayat 13)

Penegasan bahaya syirik tidak terhenti setakat itu saja, malah ditegaskan lagi melalui sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidakkah pernah aku nyatakan kepada kamu mengenai
dosa yang paling besar? Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Sahabat menjawab:
Sudah tentu wahai Rasulullah. Sabda baginda: Syirik kepada Allah dan menderhaka kepada
kedua ibu bapa. Ketika itu Baginda bersandar dan kemudian baginda duduk. Sabda Baginda
lagi: Perkataan yang palsu dan penyaksian yang palsu.
Seorang sahabat bernama Abdullah bertanya kepada Rasulullah SAW: Apakah dosa yang
paling besar di sisi Allah? Jawab Baginda: Engkau menjadi suatu yang lain sekutu bagi
Allah sedangkan Dialah yang menjadikan kamu. Aku (Abdullah) berkata: Sesungguhnya ini
suatu yang berat. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi dosa yang besar? Baginda menjawab:
Engkau membunuh anak kamu sendiri kerana takut fakir. Aku bertanya, kemudian apa lagi?
Baginda menjawab: Engkau berzina dengan isteri jiranmu sendiri. (Hadis riwayat
Muslim)

Daripada Anas menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda mengenai dosa besar iaitu
mensyirikkan Allah, menderhaka kedua ibu bapa, membunuh nyawa dan memberi
penyaksian palsu. (Hadis riwayat Muslim)

Jenis syirik

Syirik dibahagikan kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan
nyata).

Syirik jali ialah syirik yang terang, nyata dan besar yang boleh menyebabkan seseorang itu
dianggap jatuh ke tahap kufur. Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga
keadaan iaitu:

1. Menerusi itiqad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah. Justeru,


mana-mana fahaman yang meragui dan menafikan kewujudan Allah
seperti fahaman komunis dan ateis adalah jelas syirik.

2. Menerusi perbuatan atau amalan tertentu seperti menyembah patung,


berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu.
Perbuatan memuja nasib dan meminta nombor ekor di kubur tertentu atas
dakwaan kubur itu keramat juga adalah unsur syirik. Bahkan ulama
menjelaskan perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau
pemimpin tertentu juga adalah perbuatan syirik.

3. Menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan


mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah
perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.

Syirik khafi ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya
pahala seseorang. Syirik itu banyak berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau
melakukan sesuatu perkara.
Perkara itu jelas disebut dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: Barang
siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia
melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam
ibadatnya. (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Maksud syirik di dalam beramal seperti dalam ayat itu ialah menunjuk-nunjuk ketika beramal
atau riak di dalam beramal.

Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya berhati-hati dan
menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik
kecil itu. Maka Rasulullah menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam
beramal.

Firman Allah lagi yang bermaksud: Barang siapa yang mempersekutukan sesuatu dengan
Allah (tidak ikhlas kepada-Nya dalam beramal), maka adalah dia seolah-olah telah jatuh dari
langit lalu disambar oleh burung atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh. (Surah al-
Hajj, ayat 31)

Melihat kepada situasi hari ini, ternyata amalan mensyirikkan Allah sama ada syirik jali atau
khafi berlaku secara sedar atau tidak. Walaupun daripada kalangan orang Islam tidak
menyembah berhala, tetapi mereka terdedah kepada perbuatan syirik.

Kepercayaan kepada tempat keramat, keyakinan secara membuta tuli terhadap bomoh atau
dukun, penggunaan tangkal dan azimat, menyembah kemewahan dunia dan material,
keyakinan rezeki seperti gaji dan upah datang daripada manusia dan bermacam lagi adalah
antara amalan yang menjurus kepada syirik.

Gejala syirik khafi tidak kurang hebatnya dengan berleluasanya gejala riak, beramal untuk
manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia, bermuka-muka, tidak ikhlas,
menandakan amalan syirik memang menguasai hidup umat Islam kini.

Langkah mesti dilakukan bagi mengelakkan ia daripada terus membarah di dalam hidup
manusia. Langkah seperti penerangan mengenai bahaya syirik menerusi seminar, ceramah,
bengkel dan seumpamanya. Anggota masyarakat mesti didedahkan dengan bahaya syirik
supaya mereka dapat membezakan apakah pekerjaan dan perkataan mereka selama ini
mengandungi unsur syirik atau sebaliknya.

You might also like