You are on page 1of 11

See

discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.net/publication/260002709

KEBERKESANAN KONSEP BUDDY DALAM


MENINGKATKAN KEYAKINAN PELAJAR DALAM
PEMBELAJARAN...

Conference Paper · November 2011

CITATIONS READS

0 229

1 author:

Norfazlin Rashid
Universiti Malaysia Perlis
2 PUBLICATIONS 0 CITATIONS

SEE PROFILE

All content following this page was uploaded by Norfazlin Rashid on 04 February 2014.

The user has requested enhancement of the downloaded file. All in-text references underlined in blue are added to the original document
and are linked to publications on ResearchGate, letting you access and read them immediately.
KEBERKESANAN KONSEP BUDDY DALAM MENINGKATKAN
KEYAKINAN PELAJAR DALAM PEMBELAJARAN
PENGATURCARAAN KOMPUTER

NORFAZLIN BINTI RASHID


Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Email: norfazlin.rashid@yahoo.com

Abstrak
Kajian ini dilaksanakan ke atas 10 orang pelajar Politeknik Tuanku
Syed Sirajuddin yang mengulang mata pelajaran F2037 –
Programming Fundamental in C++ untuk mengetahui tahap
keberkesanan konsep ‘buddy’ dalam mengurangkan perasaan takut
untuk membuat pengaturcaraan C++. Tahap perasaan takut pelajar
pada awal semester dan akhir semester dibandingkan. Hasil
menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar (90%) menunjukkan
pengurangan dari segi perasaan takut dan bimbang untuk membuat
kerja-kerja pengaturcaraan di dalam makmal dan seterusnya dapat
meningkatkan keyakinan untuk lulus di dalam subjek C++.

1. PENDAHULUAN
Pengaturcaraan komputer merupakan salah satu mata pelajaran
yang digeruni oleh pelajar kerana lazimnya, subjek ini mempunyai kadar
kegagalan yang tinggi khususnya bagi pelajar yang baharu berjinak-
jinak dengan pengaturcaraan berkomputer. Satu kajian yang dijalankan
di Universiti Teknologi Petronas mendapati bahawa sungguhpun pelajar
mempunyai latarbelakang akademik yang bagus di peringkat sekolah,
agak ramai pelajar yang gagal di dalam subjek pengaturcaraan semester
satu. Perkara ini menunjukkan bahawa asas akademik bukan penentu
mutlak; sebaliknya, sikap dan pandangan pelajar memainkan peranan
dalam mengikuti pelajaran pengaturcaraan (Rohiza et. al., 2003). Apabila
seseorang belajar mengaturcara, dia akan melalui tiga fasa: tahap
pertama iaitu perasaan takut atau bimbang, tahap kedua ialah kecewa
dan keliru, manakala tahap ketiga merupakan perasaan seronok dan
kagum (McKeown & Farrel, 1999). Sikap pada tahap pertama adalah
sesuatu yang biasa dialami apabila berhadapan dengan perkara yang
tidak diketahui. Sikap sebegini boleh juga dikaitkan dengan tahap
kematangan emosi seseorang, kerana ada orang yang tidak begitu takut,
tetapi ada juga orang yang terjejas dengan ketakutan sehingga
menyukarkannya untuk berfikir dan bertenang. Selalunya fasa ini dapat
dilepasi apabila pelajar itu mampu menggarap idea asas dalam
pengaturcaraan seperti menggunakan pengkompil, konsep
pembolehubah, aliran gelung dan pilihan. Fasa seterusnya, pelajar akan

1
merasa kecewa atau keliru kerana dia tahu bahawa sesuatu perkara itu
boleh dilakukan, tetapi pengetahuannya yang terhad tentang sintaks
menyebabkan aturcara yang ditulis tidak dilaksana dengan baik.
Dengan latihan dan asahan kemahiran yang berterusan, pelajar itu
mungkin dapat melangkah masuk ke fasa seterusnya di mana pelajar
tersebut merasa seronok dan kagum dengan hasil yang mampu
dilakukan olehnya. Namun begitu, didapati bahawa tidak ramai pelajar
yang dapat mencapai fasa ketiga ini, malah kebanyakan pelajar tidak
mampu melangkaui fasa pertama disebabkan oleh perasaan takut
terhadap pengaturcaraan sehingga menyebabkan mereka berputus asa
dan meninggalkan subjek itu (jika diberi pilihan).

Walaupun perkara ini mungkin nampak remeh, perasaan takut


perlu ditangani kerana ia memberi kesan yang negatif kepada
pembelajaran (McKeown & Farrell, 1999; English & Stengel, 2010;
Clandos, 2008). Perasaan takut merujuk kepada perasaan tidak selesa
yang tercetus apabila dirasakan adanya ancaman, tidak kiralah sama
ada ancaman itu benar-benar wujud ataupun hanyalah sangkaan
semata-mata (James, 1884; disebut dalam English & Stengel, 2010).
Perasaan ini adalah satu naluri semulajadi dan mengikut kelaziman,
salah satu daripada tiga reaksi berikut akan dilakukan: melarikan diri
(flight, ataupun menjauhkan diri daripada sumber ancaman), melawan
(iaitu mengalahkan sumber ancaman untuk menyelamatkan diri) atau
lumpuh iaitu tidak berupaya untuk melakukan apa-apa. Secara fisiologi,
tubuh manusia akan merembeskan hormon adrenalin dan kortisol
apabila berhadapan dengan suasana yang menekan atau tegang.
Adrenalin dan kortisol merupakan dua jenis hormon yang dirembes oleh
kelenjar adrenal apabila stres dikesan ataupun apabila paras glukos
dalam darah adalah rendah. Adrenalin meningkatkan aliran darah
dalam otot yang membantu tubuh untuk lari ataupun melawan, tetapi
saluran darah dalam kulit akan mengecut yang akan mengurangkan
risiko kehilangan darah sekiranya tercedera. Selain itu, degupan jantung
dan pernafasan akan semakin laju di mana darah akan dialir dalam
tubuh dengan lebih cepat. Kortisol pula berfungsi untuk meningkatkan
kandungan gula dalam darah, mengekang sistem ketahanan badan dan
membantu dalam proses metabolisme lemak, protein dan karbohidrat.
Kesemua kesan fisiologi ini menjadikan tubuh manusia lebih ‘berkuasa’
dan bersedia untuk lari atau lawan.

Terdapat kajian-kajian yang menyokong bahawa perasaan takut


boleh menghalang proses penerimaan ilmu. Menurut Martha Farah,
seorang profesor psikologi di Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat,
apabila manusia mengalami ketakutan, otaknya segera melepaskan
hormon adrenalin dan kortisol yang seterusnya menggiatkan organ
tubuh iaitu jantung, salur darah dan otak agar bertindak untuk
menyelamatkan diri dengan cara melawan atau lari (flight or fight
2
response). Keutamaan pada masa itu adalah untuk menyelamatkan diri,
dan tumpuan kepada perkara-perkara lain, termasuklah untuk belajar,
akan berkurangan (dalam Clandos, 2008). Seorang profesor neurosains
di Universiti Florida Selatan, Amerika Syarikat iaitu David Diamond
telah mengkaji kesan hormon berkaitan tekanan atau stres ke atas tikus
selama 20 tahun. Beliau mendapati bahawa paras kortisol yang tinggi
akan mempengaruhi hipokampus iaitu bahagian otak yang penting
dalam aktiviti pembelajaran. Selain daripada itu, ia juga didapati
menghalang kegiatan elektrikal dalam otak tikus, seterusnya
mengurangkan kecekapannya dan menggencat pertumbuhan sel
baharu. Kesan ini dipercayai turut berlaku dalam otak manusia dan
memberi gambaran bahawa perasaan takut akan menyebabkan
seseorang sukar untuk memberi perhatian dan mengingat. Secara
tersiratnya, ini menunjukkan bahawa keupayaan seseorang untuk
belajar mungkin terjejas disebabkan oleh perasaan takut yang tidak
terkawal.

Kesan perasaan takut dalam bidang pembelajaran juga sudah


lama dikenalpasti oleh ahli teori pendidikan progresif. English dan
Stengel (2010) telah mengupas kaitan antara perasaan takut dengan
pembelajaran berdasarkan teori pembelajaran oleh Jean-Jacques
Rousseau, John Dewey dan Paulo Freire. Menurut mereka, perasaan
takut adalah sesuatu yang benar dan tidak boleh dikesampingkan
begitu sahaja. Dengan mengenalpasti dan mengambilkira pengaruh yang
dihasilkan oleh perasaan ini dalam pembelajaran, para pengajar dapat
melaksanakan peranan lebih berkesan untuk memastikan potensi
pelajar tidak terkekang disebabkan masalah psikologi ini. Kita boleh
melihat perasaan takut sebagai serampang dua mata di dalam
pembelajaran; ia mampu menjadi pemangkin atau penggerak, dan dalam
masa yang sama, ia mempunyai potensi sebagai penghalang dan
mematikan semangat untuk mendapatkan ilmu baharu. Rousseau
percaya bahawa kanak-kanak yang tidak mampu mengawal perasaan
takutnya akan menghadapi masalah dalam pembelajaran. Ini kerana
pembelajaran melibatkan perkara-perkara yang baharu dan belum
pernah dialami sebelum ini, yang selalunya menyebabkan kanak-kanak
merasa tidak selesa dan bimbang. Oleh itu, Rousseau mencadangkan
agar persekitaran pembelajaran membantu kanak-kanak itu
mengenepikan perasaan takut atau tidak selesanya agar ilmu baharu
dapat diterima. John Dewey pula tidak menyarankan agar perasaan
takut itu dibuang sepenuhnya. Ia haruslah diselia agar berada pada
tahap yang dianggap sebagai ‘tidak menyenangkan’ sahaja kerana
sebagaimana Rousseau dan Paulo Freire, beliau mengiktiraf bahawa
perasaan takut yang keterlaluan dapat menggencat proses penyampaian
dan penerimaan ilmu.

3
Oleh kerana subjek pengaturcaraan banyak mencetuskan
perasaan takut dan gusar di dalam diri pelajar, maka langkah-langkah
sewajarnya perlu diambil untuk memastikan aktiviti pembelajaran dan
pengajaran mata pelajaran ini dapat dijalankan dalam suasana yang
kurang ‘menakutkan’, sebaliknya menggalakkan pelajar untuk
meneroka dan menguasai perasaan kurang selesa yang dihadapi oleh
mereka. Sekiranya perasaan takut dapat dikurangkan, maka peratus
untuk berjaya di dalam subjek pengaturcaraan ini dijangka lebih cerah.
Di antara cara pembelajaran yang dapat membantu ialah konsep ‘pair
programming’ atau mempunyai teman sepasukan. Ramai penyelidik
mendapati bahawa pelajar yang menggunakan cara ini menghasilkan
program yang lebih baik dan lebih yakin serta seronok untuk belajar
berbanding dengan pelajar yang mengaturcara secara bersendirian
(McDowell et. al, 2003; Preston, 2006; Mendes et al, 2005; Braught, Eby
& Wahls, 2008). Seterusnya, pelajar yang berteman ini lebih besar
peluangnya untuk lulus dalam subjek pengaturcaraan.

Namun begitu, kesemua kajian yang pernah dilakukan dibuat


terhadap sampel pelajar yang baharu berjinak-jinak dengan
pengaturcaraan tetapi secara umumnya memiliki keupayaan intelek
yang baik. Misalnya, kajian dilakukan ke atas pelajar universiti yang
rata-rata memiliki latarbelakang akademik yang kuat semasa di sekolah
(Rohiza et al, 2003; Williams et al, 2002; McDowell, et al, 2002; Braught,
et al, 2008) ataupun menjadikan kumpulan yang bekerja dalam bidang
pengaturcaraan sebagai sasaran kajian (Begel & Nagappan, 2008). Selain
daripada itu, golongan yang dikaji ini merasa bimbang dan yakin
berdasarkan persepsi semata-mata, bukan berdasarkan pengalaman
mereka sendiri; mereka merasakan subjek ini susah kerana “ramai
orang lain gagal”, “dengarnya, pengaturcaraan bukan mudah difahami
kerana ia melibatkan simbol dan sintaks tertentu”, dan “konsep
pengaturcara tidak pernah ditemui dalam dunia nyata”. Walaupun
terdapat banyak penyelidikan dibuat tentang tahap keyakinan pelajar
hasil daripada kaedah berpasangan ini, tidak ada kajian yang dibuat
untuk melihat apakah kesannya terhadap tahap keyakinan mereka yang
pernah melalui kegagalan dalam subjek tersebut. Pengalaman kegagalan
biasanya meninggalkan kesan terhadap persepsi seseorang, dan antara
yang biasa dialami ialah takut berulangnya kegagalan lalu.

Justeru, kajian ini cuba melihat sama ada kaedah pengaturcaraan


secara berpasangan atau dinamakan sistem buddy ini dapat membantu
para pelajar yang pernah gagal dan memiliki tahap keyakinan yang
rendah untuk lulus. Pihak sasaran dalam kajian ini merupakan pelajar
yang mengulang mata pelajaran asas pengaturcaraan C++ dan telah
mengutarakan perasaan takut dan bimbang akan gagal sekali lagi.
Perasaan takut ini dinyatakan secara lisan kepada pensyarah yang
mengajar dan daripada tinjauan latarbelakang yang dibuat, mereka
4
menunjukkan sikap resistance semasa di kelas terdahulu seperti tidak
menyiapkan tugasan, tidak fokus dalam kelas dan lebih banyak
menyalin nota tanpa memahami isi kandungannya. Cara ini cuba
diterapkan di dalam pembelajaran pengaturcaraan, khususnya mata
pelajaran F2037 Programming Fundamentals in C++ di Politeknik
Tuanku Syed Sirajuddin dengan harapan, apabila perasaan takut
mereka terhadap mata pelajaran ini dapat dikurangkan, para pelajar
dapat lebih semangat untuk mengikuti pelajaran dan seterusnya lulus
dalam subjek pengaturcaraan asas ini.

2. TUJUAN
Kajian ini bertujuan untuk meninjau dan mendapatkan gambaran
sebenar tentang sejauh manakah konsep ‘buddy’ dapat membantu
mengurangkan perasaan takut pelajar untuk belajar pengaturcaraan.

3. PERSOALAN KAJIAN
Kajian ini menetapkan persoalan kajian berdasarkan tujuan dan
objektif kajian seperti berikut:-
i) Adakah perasaan takut pelajar berkurangan dalam subjek
pengaturcaraan ini?
ii) Apakah perbezaan tahap keyakinan pelajar untuk lulus di dalam
subjuk pengaturcaraan C++ ini?

4. REFLEKSI MASALAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG


LALU
Kajian ini dijalankan ke atas pelajar yang mengulang mata pelajaran
F2037 Programming Fundamental in C++. Pelajar-pelajar ini mempunyai
persepsi yang negatif terhadap subjek ini kerana mereka pernah
melaluinya dan gagal. Justeru, berdasarkan perbualan yang dilakukan
dengan mereka, terdapat tiga perkara utama yang boleh disimpulkan
iaitu:
1) Pelajar ini tidak memahami konsep asas iaitu pembolehubah dan
‘sequence of programming’ iaitu turutan, gelung dan pilihan.
2) Pelajar tidak dapat mengikut pelajaran, seterusnya tidak tahu apa
yang ingin ditanya dan mencari rujukan tambahan lain.
3) Mereka semenjak awal-awal lagi sudah merasakan akan gagal di
dalam mata pelajaran ini.

Perkara yang ketiga itu dirasakan menjadi punca utama masalah


pelajar. Mereka sudah menanamkan persepsi bahawa subjek ini susah,
tidak boleh difahami dan ramai yang gagal yang menyebabkan usaha
mereka dipengaruhi oleh perasaan takut. Di samping itu, mereka tidak
tahu untuk menerangkan perkara yang tidak difahami, dan merasa
segan untuk bertanya dengan kawan-kawan lain yang mungkin
mempunyai idea yang lebih jelas tentang sesuatu konsep. Pelajar-pelajar
ini juga malu untuk berbincang dengan kawan-kawan yang lain. Oleh
5
itu, sekiranya perasaan takut ini dapat dikurangkan, maka peluang
pelajar untuk menerima ilmu adalah lebih cerah.

Secara rasionalnya, apabila pelajar ini dapat melaksanakan tugasan


amali dengan kawan, mereka merasa lebih tenteram kerana mengetahui
bahawa mereka mempunyai tempat untuk berbincang. Mungkin ada
yang beranggapan bahawa cara ini hanya berkesan sekiranya salah
seorang daripada pasangan itu ‘pandai’ kerana dia dapat mengajar
temannya yang seorang lagi. Pendapat sedemikian tidak boleh
digunapakai sepenuhnya kerana fokus pembelajaran ini bukan untuk
mencari ‘tutor percuma’ ataupun pengganti kepada tenaga pengajar,
sebaliknya lebih kepada galakan kepada pelajar untuk yakin pada
kebolehan sendiri dan meneroka ilmu yang hendak disampaikan, serta
tidak menjadikan perasaan takut sebagai penghalang untuk
mendapatkan pengetahuan. Cara ini juga dipercayai lebih mempunyai
merit kerana mereka mengetahui bahawa tahap pemahaman mereka
berdua adalah sama, maka pelajar-pelajar ini akan berganding bahu
untuk meningkatkan pemahaman mereka dan mencari penyelesaian
masalah. Jurang komunikasi juga dapat dikurangkan kerana mereka
boleh berbincang pada tahap mereka sendiri tanpa perlu memikirkan
perasaan malu sekiranya soalan yang ditanya ‘tidak tepat’ atau ‘seperti
soalan bodoh’. Pasti akan berlaku juga keadaan di mana kedua-dua
pelajar menemui jalan buntu, namun dengan bantuan dan bimbingan
tenaga pengajar, mereka akan dibimbing untuk cuba mencari
penyelesaian. Sudah tentu sebelum proses pengaturcaraan berpasangan
ini berlaku, mereka akan didedahkan terlebih dahulu dengan teori dan
contoh-contoh dalam topik yang ingin diajar.

5. FOKUS KAJIAN / ISU KEPRIHATINAN YANG DIKAJI


i. Mengenal pasti keberkesanan penggunaan “sistem buddy” dalam
mengurangkan tahap ketakutan dan kebimbangan pelajar semasa
membuat kerja-kerja pengaturcaraan.
ii. Mengenalpasti sama ada pelajar lebih yakin untuk lulus di dalam
subjek ini.

6. OBJEKTIF KAJIAN
i. Objektif Am
• Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran subjek
C++ menggunakan sistem buddy di dalam kerja makmal.

ii. Objektif Khusus


• Mengurangkan perasaan takut dan bimbang pelajar agar
mereka dapat belajar dengan lebih baik dalan subjek C++.
6
• Meningkatkan motivasi dan keyakinan pelajar untuk lulus
dalam subjek C++.

7. KUMPULAN SASARAN
Kajian ini dijalankan terhadap 10 orang pelajar yang mengulang
mata pelajaran Programming Fundamental in C++ kali pertama dan kali
kedua. Sampel ini dipilih kerana mereka sudah pernah mempelajari
subjek ini tetapi gagal. Oleh itu, lazimnya perasaan takut mereka kepada
subjek ini adalah lebih tinggi berbanding pelajar yang baru pertama kali
mengambil subjek ini.

8. KAEDAH PELAKSANAAN KAJIAN


Sistem buddy ini dilaksanakan dengan mengatur agar setiap pelajar
ini membuat tugasan pengaturcaraan di makmal secara berpasangan.
Secara keseluruhannya, terdapat 10 kerja makmal yang perlu
dilaksanakan oleh pelajar. Walaupun dibuat secara berpasangan,
namun hasil kerja amali ini perlu dihantar dalam dua kertas jawapan
yang berasingan untuk memudahkan penyimpanan di dalam folio
pelajar. Untuk mengelakkan kebosanan ataupun kemungkinan
berlakunya pasangan yang tidak serasi, maka setiap dua minggu,
pasangan ini akan diubah. Pelajar juga boleh memberi penilaian
terhadap pasangan mereka secara rahsia, namun penilaian ini tidak
memberi banyak kesan kepada pemarkahan dan tidak diwajibkan.
Mekanisme ini disediakan untuk mengurangkan kemungkinan
‘pasangan lelap’ serta memberi jalan keluar kepada pelajar sekiranya
mereka merasa ‘tertindas’. Di awal semester, pelajar diminta untuk
menyatakan tahap perasaan mereka dan juga jangkaan keputusan
peperiksaan. Seminggu sebelum peperiksaan akhir, tahap perasaan dan
jangkaan keputusan peperiksaan mereka diminta sekali lagi.

9. KAEDAH MENGUTIP DATA


(i) Untuk mendapatkan maklumbalas yang lebih tulen (genuine),
maka data dikutip melalui perbualan tidak rasmi dan tinjauan di
dalam kelas.
(ii) Data yang dikumpul akan dianalisis dengan menggunakan
pengiraan biasa untuk mendapatkan bilangan dan peratus.

10. DAPATAN KAJIAN


10.1 Tahap Perasaan semasa Membuat Kerja Pengaturcaraan
Tahap perasaan takut pelajar ditinjau semasa awal semester
(minggu kedua perkuliahan) dan juga di akhir semester (minggu
7
ke-15 perkuliahan). Pelajar diminta mentakrifkan tahap perasaan
mereka sebagai ‘sangat takut dan risau’ (5), ‘agak takut dan risau’
(4), ‘tidak begitu takut atau risau’ (3), ‘jarang-jarang takut atau
risau‘ (2) dan tidak takut atau risau langsung’ (1). Pada awal
semester, lapan orang (80%) menyatakan mereka sangat takut dan
risau untuk membuat pengaturcaraan manakala dua orang lagi
(20%) menyatakan agak takut dan risau. Di akhir semester,
hampir semua responden (90%) menunjukkan peningkatan
daripada segi tahap ketakutan yang dirasakan seperti jadual 1 di
bawah.

Responden Tahap Takut Tahap Takut Lebih


Awal Semester Akhir Semester baik?
1 5 3 Ya
2 4 3 Ya
3 5 4 Ya
4 5 3 Ya
5 5 4 Ya
6 4 4 Tidak
7 5 4 Ya
8 5 4 Ya
9 5 4 Ya
10 5 4 Ya
Rajah 1: Dapatan Tahap Perasaan Takut Responden

10.2 Jangkaan Pelajar untuk lulus


Pelajar juga ditanya tentang jangkaan lulus atau tak lulus dalam
subjek C++. Pada awal semester, hampir semua responden (90%)
menyatakan kerisauan akan gagal sekali lagi di dalam subjek ini.
Namun pada akhir semester, semua responden menyatakan
mempunyai keyakinan untuk lulus.

11. PENILAIAN DAN REFLEKSI


Berdasarkan hasil tinjauan yang dijalankan, dipercayai bahawa cara
pembelajaran secara buddy ini dapat membantu mengurangkan
perasaan takut dan bimbang pelajar dalam pelajaran pengaturcaraan
C++. Apabila ini sudah dapat dikurangkan, tahap keyakinan pelajar
untuk lulus adalah lebih baik, dan ini memberikan motivasi kepada
pelajar untuk berusaha lebih dalam subjek ini.

Sungguhpun begitu, kajian ini boleh dikembangkan lagi dengan


bilangan sampel yang lebih banyak, serta kaedah kutipan data yang
lebih menyeluruh dan juga gabungan dengan parameter lain seperti

8
kaitan antara keyakinan pelajar dan juga keyakinan pensyarah terhadap
pelajar tersebut.

RUJUKAN

Begel, A. & Nagappan, N. (2008). Pair programming: what’s in it for me?.


Proceedings of Empirical Software Engineering and Measurement.

Braught, G., Eby, L. M., & Wahls, T. (2008). The Effects of Pair Programming
on Individual Programming Skills. the 39th SIGCSE technical symposium
on Computer science education (pp. 200 - 204). Oregon, USA: ACM

Clandos, R. (2008). Too Stressed Out to Learn? Retrieved January 2, 2011, from
Los Angeles Times: http://articles.latimes.com/2008/sep/01/health/he-
poverty1

English, A. & Stengel, B. (2010). Exploring fear: Rousseau, dewey dan freire on
fear and learning. Educational Theory (60)(5): University of Illinois

Mcdowell, C., Werner, L., Bullock, H.E., & Fernald, J. (2003). The impact of
pair programming on student performance, perception and persistence,
Proceedings of the 25th International Conference on Software Engineering,
pg 602- 607, Retrieved online on 10 May 2011 from
http://ieeexplore.ieee.org/stamp/stamp.jsp?tp=&arnumber=1201243&is
number=27042

McKeown, J. & Farrell, T. (1999). Why we need to develop success in


introductory programming course. In Proceedings of CCSC Central Plains
Conference, Maryville:U.S.A. Retrieved online on May 15, 2011 from
http://www.homepages.dsu.edu/mckeownj/CPCCCSCpaper.html

Mendes, E., Al-Fakhri, L. & Luxton-Reilly, A. (2006). A Replicated Experiment


of pair-programming in a 2nd year software development and design
computer science course. ITiCSE conference. Bologna, Italy: ACM.

Norsaremah, S., Mendes, E., Grundy, J. & Burch, G. (2010). The effects of
neuroticism on pair programming: an empirical study in the higher
education context. Proceedings of Empirical Software Engineering and
Measurement. (9) : ACM.

9
Preston, D. (2006). Using collaborative learning research to enhance pair
programming pedagogy. SIGITE Newsletter. (3)(1): ACM

Rohiza, A., Basri, S., Sarlan, A. and Hassan, H. A. (2003). First Programming
Course: Perception and Performance of Students. In: ATUR : Pengajaran
dan Pembelajaran, Cyberjaya Kuala Lumpur. Retrieved online on May 10,
2011 from http://eprints.utp.edu.my/3790/

Talbott, S. (2007). The cortisol connection: why stress makes you fat and ruins
your health 2nd Edition. California: Hunter House Inc.

10

View publication stats

You might also like