You are on page 1of 2

CONTOH KARANGAN 1

Malaysia terkenal dengan keunikannya yang mempunyai penduduk berbilang kaum namun hidup rukun damai
sejak kemerdekaannya 52 tahun lalu. Inilah yang menjadi resepi dan pemangkin ke arah pencapaian kejayaan
negara. Sebagai rakyat yang prihatin, di bahu kitalah tergalasnya tanggungjawab untuk mengekalkan
keharmonian ini.

Di antara kepentingan memelihara perpaduan kaum ialah untuk mewujudkan suasana kehidupan bermasyarakat
yang aman dan harmoni. Semangat saling menghormati dan memahami antara satu sama lain mampu
mengelak sebarang perasaan negatif seperti hasad dengki, pentingkan diri sendiri dan lain-lain. Hubungan
baik yang terjalin erat bukan sahaja menjadi asas kehidupan yang tenteram bahkan juga memakmurkan
negara. Sebagai contoh, setelah melewati setengah abad negara Malaysia mencapai kemerdekaan, telah
banyak perubahan positif yang berlaku. Malah negara malaysia juga sudah terkenal sebagai sebuah
negara membangun.

Selain itu, kehidupan yang harmoni juga merupakan jambatan utama menuju kemajuan. Negara yang sejahtera
membolehkan rakyatnya mengambil peluang meningkatkan taraf hidup. Semua pihak dapat berganding bahu
memikul tugas masing-masing tanpa sebarang perasaan syak wasangka. Hasilnya, negara kita akan
membangun dengan stabil merangkumi segenak aspek kehidupan. Pembangunan pesat negara kita
setanding dengan negara-negara maju di dunia.

Menyedari kepentingan perpaduan kaum maka beberapa langkah yang efisien perlu dijalankan bagi
mengekalkannya. Antara lain, kerajaan telah mewujudkan Sekolah Wawasan. Konsep sekolah wawasan ini
adalah untuk memelihara perpaduan kaum yang dipupuk sejak awal lagi iaitu dalam kalangan kanak-kanak.
Institusi pendidikan dengan corak perpaduan kaum ini membantu masyarakat untuk saling mengenali dan
menghormati kebudayaan serta adat resam kaum-kaum yang lain. Hal ini secara tuntasnya menjamin
kestabilan negara dengan adanya hubungan yang erat di antara kaum.

Selain itu, kemakmuran negara yang wujud dengan resepi perpaduan ini juga adalah hasil daripada matlamat
misi dan visi negara. Sebagai contoh, kerajaan melancarkan Dasar Ekonomi baru dan Wawasan 2020. Cetusan
visi para pemimpin ini menyemarakkan lagi usaha mengekalkan perpaduan kaum. Ini jelas dibuktikan dengan
konsep keadilan dari segi memperolehi kekayaan. Semua kaum berpeluang menceburi bidang ekonomi
mengikut kemahiran dan usaha masing-masing. Kesannya, kestabilan dari segi ekonomi turut
memperkembangkan kemajuan negara sehingga menjadi contoh kepada negara jiran iaitu Indonesia.

Kesimpulannya, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara itu amat bergantung pada hubungan baik yang
terjalin antara masyarakat. Perumpaan; ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ begitu sinonim dengan usaha
mengekalkan perpaduan kaum demi kesejahteraan hidup .

PANDUAN:

Tulisan yang digaris = ISI, italic = Huraian + Contoh, Bold = Contoh/Fakta/Bukti.


KARANGAN MODEL 2

Pembentukan masyarakat majmuk yang harmonis merupakan agenda kerajaan yang paling penting kerana
prasangka perkauman boleh menghancurkan perpaduan yang sedia wujud. Menyedari hakikat dan kepentingan
mengekalkan perpaduan maka pelbagai langkah perlu dijalankan bagi memastikannya berterusan.

Antara kepentingan mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk ialah untuk mengekalkan
keharmonian dan mengelakkan perselisihan. Penduduk Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa boleh
hidup aman damai sejak dahulu lagi kerana adanya perasaan saling menghormati dan memahami antara satu
sama lain. Amalan nilai murni ini menjadi tunjang kekuatan sesebuah negara. Perkara ini dapat mengelak
berlakunya perselisihan seperti kejadian dalam sejarah hitam negara iaitu peristiwa 13 Mei 1959.
Rusuhan kaum yang berlaku tidak memberi apa-apa keuntungan malah membawa banyak
kemudaratan.

Perpaduan kaum yang wujud juga turut mempercepat dan memperkasa pembangunan negara. Rakyat Malaysia
yang terkenal dengan sikap bertoleransi dan hidup bersatu-padu memangkinkan usaha memajukan negara
dalam segenap aspek merangkumi ekonomi, sosial, politik dan pendidikan. Pembangunan pesat yang jelas
kelihatan pada hari ini membantu masyarakat menjalani kehidupan seharian dengan selesa. Sebaliknya, jika
keharmonian kaum terancam maka amat sukarlah kerajaan mengatur agenda mencapai kemajuan
negara. Kesannya negara akan ketinggalan dan rakyat menderita kemiskinan.

Bagi merealisasikan kejayaan negara dengan ramuan perpaduan kaum ini, maka pelbagai usaha ke arahnya
hendaklah terus dijalankan. Antara lain, kerajaan mewujudkan banyak dasar bertujuan menerapkan nilai-nilai
bagi mengekalkan perpaduan kaum. Terkini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak
menggunakan konsep ‘1 Malaysia’. Dasar kepimpinan yang memperkenalkan konsep “rakyat didahulukan,
pencapaian diutamakan” memperlihatkan keutamaan masyarakat dalam pencapaian sesebuah negara. Tanpa
rakyat yang bersatu padu maka pincanglah negara itu.

Selain itu, segenap lapisan masyarakat juga berperanan menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk
memelihara perpaduan. Media massa sebagai medium komunikasi menjadi saluran maklumat dan
membangkitkan semangat bersatu-padu. Memperbanyakkan iklan dan risalah melalui kempen-kempen
mencintai negara dapat menyedarkan masyarakat tentang peri pentingnya menjaga keharmonian hidup sesama
rakyat. Semua ini dapat dikongsi bersama-sama dengan adanya alat komunikasi media massa seperti
televisyen, radio mahupun internet. Kemudahan yang kita nikmati sekarang ini adalah bukti nyata hasil
kemajuan negara.

Tuntasnya, kemakmuran negara berkait rapat dengan hubungan baik antara kaum yang sama-sama mendokong
usaha ini. Hubungan baik inilah yang perlu diamalkan bila-bila masa dan selamanya agar kejayaan yang kita
nikmati kini tidak ranap begitu sahaja setelah hampir 52 tahun negara kita mencapai kemerdekaan.

PANDUAN:

Tulisan yang digaris = ISI, italic = Huraian + Contoh, Bold = Contoh/Fakta/Bukti.

You might also like