You are on page 1of 2

Kerajaan Sudah Cukup Kuasa - Sila Hormati Mandat Rakyat Seadanya

Tanggal 9.5.2018 menyaksikan detik bersejarah bagi rakyat Malaysia. Kita, rakyat Malaysia terbanyak
telah bersuara dan memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk Malaysia yang lebih
baik dan menumbangkan kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak. Selama lebih
60 tahun, rumah besar yang kita sayangi ini ditadbir secara tidak berintegriti. Tonggak-tonggak penting
dalam sebuah negara demokrasi di rosakkan satu persatu, kita pernah punya institusi kehakiman yang
bebas dan disegani dunia, kita pernah punya institusi awam yang baik dan di segani dan satu ketika dulu
kita pernah menghirup udara kebebasan yang di jamin Perlembagaan Persekutuan, namun lebih dari 60
tahun satu demi satu institusi awam ini di rompak dan dihancurkan integritinya. Kita memilih PH kerana
kita percaya dan mempunyai harapan bahawa PH boleh bersama-sama kita, rakyat Malaysia
memperbetulkan rumah kita yang hampir roboh dan rosak.

Sehari dua ini, kita terganggu dengan berita-berita beberapa wakil rakyat dan parti-parti komponen
Barisan Nasional (BN) yang cuba melompat parti dan memberikan sokongan kepada PH setelah PH
membentuk kerajaan pusat. Kita juga melahirkan rasa terkejut dan dukacita dengan berita bahawa
Perdana Menteri ke-7, Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan pertemuan dengan Taib Mahmud dan
terdapat perbincangan untuk PBB memberikan sokongan kepada PH dan ini sekaligus akan menambah
jumlah majoriti bagi PH di Dewan Rakyat.

Kita sedia maklum bahawa PH perlu menyatukan kuasanya dan menstabilkan politik kita akan tetapi
mengundang pengkhianat parti lawan cuma akan membawa mudarat kepada demokrasi dan juga PH
sendiri. Selagi kerajaan boleh tukar tangan dengan lompatan wakil rakyat, kuasa untuk menentukan
kerajaan akan dirampas daripada tangan rakyat.

Kita, sebagai pengundi merasakan budaya melompat parti ini sebagai tidak demokratik dan
mengkhianati mandat yang telah di berikan oleh rakyat kepada parti-parti yang bertanding. Kita
mahukan PH yang lebih demokratik dan tidak mengkhianat mandat yang kita berikan semata-mata
untuk memperoleh sokongan lebih di Dewan Rakyat. Kita percaya, bahawa PH hanya boleh menjadi
kerajaan yang baik sekiranya kita mempunyai pembangkang yang kuat di Dewan Rakyat demi
memastikan semak dan imbang yang berkesan di Malaysia. Kita, rakyat Malaysia telah memilih PH bukan
BN2.0.

Kita juga komited dengan ucapan Perdana Menteri Malaysia ke-7 dan pimpinan Pakatan Harapan yang
ingin mendaulatkan rule of law dan reformasi institusi kerajaan di dalam kepimpinan Malaysia yang
baru. Kita tidak mahu penjenayah dan perompak yang telah mencuri dan mengaut hasil negeri dan
rakyat Malaysia secara tidak amanah diberikan tempat di dalam kerajaan baru yang telah dipilih oleh
rakyat terbanyak. Kerajaan Malaysia yang baru mempunyai tanggungjawab berpelembagaan untuk
memastikan penjenayah dan perompak harta rakyat ini dibawa ke muka pengadilan dan dibicarakan.

Kita sekali lagi menyeru Perdana Menteri Malaysia dan pimpinan Pakatan Harapan untuk tidak
memekakkan telinga dan mengkhianati kepercayaan rakyat Malaysia dengan bersekongkol bersama BN.
Kita, rakyat Malaysia telah bersama-sama dengan PH dalam perjuangan yang hampir mustahil ini.
Janganlah diundang makhluk perosak dan pencuri masuk ke dalam rumah kami setelah kami berikan PH
kepercayaan.

You might also like