You are on page 1of 19

MIGRASI ANTARABANGSA: PENGHIJRAHAN BURUH INDONESIA KE MALAYSIA

Saad Mohd Said Fatimah Said Sofia Ratna Sari Harahap Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya

Abstrak Kajian ini menggunakan model migrasi berasaskan teori penolak dan penarik untuk menganggar penentu penghijrahan / migrasi buruh Indonesia ke Malaysia antara tahun 1997-2005. Jumlah migrasi buruh Indonesia ke Malaysia digunakan sebagai pembolehubah bersandaran, manakala pendapatan per kapita di Malaysia dan kadar pengangguran di Indonesia mewakili pembolehubah bebas. Persamaan regresi yang dirumus dianggarkan dengan menggunakan pendekatan gandadua terkecil biasa (ordinary least squares). Keputusan kajian mendapati kedua-dua pembolehubah bebas berhubungan secara positif dengan jumlah migrasi buruh Indonesia ke Malaysia. Namun, di antara kedua-dua pembolehubah tersebut, kadar pengangguran di Indonesia didapati begitu signifikan dalam mempengaruhi jumlah migrasi buruh Indonesia ke Malaysia berbanding dengan pendapatan per kapita di Malaysia. Kadar pengangguran di Indonesia merupakan faktor penolak yang menggalakkan kemasukan buruh Indonesia ke Malaysia. Peningkatan pendapatan per kapita di Malaysia didapati menjadi faktor yang menarik kemasukan buruh Indonesia ke Malaysia. Oleh itu dapatan kajian empirik ini menyokong teori penolak dan penarik migrasi buruh antarabangsa.

PENGENALAN

Dalam tempoh empat dekad yang lalu, Malaysia telah mengalami perubahan struktur ekonomi yang begitu ketara. Strategi dan dasar perindustrian negara yang dimulakan pada awal tahun 1960an telah berjaya mengubah Malaysia dari negara berasaskan pertanian kepada negara berasaskan perindustrian dan perkhidmatan. Pada tahun 1965, sektor pertanian menyumbangkan sebanyak 31.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan sumbangannya semakin merosot kepada hanya 7.7 peratus pada tahun 2007. Sebaliknya sumbangan sektor pembuatan telah meningkat dengan pesat dari 10.4 peratus pada tahun 1965 kepada 30.3 peratus pada tahun 2007. Dalam tempoh yang sama sumbangan sektor perkhidmatan telah meningkat dari 45.0 peratus kepada 53.2 peratus (Malaysia 1970 & 2007).

Di samping perubahan struktur ekonomi, Malaysia juga telah mencatat kadar pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Dalam tempoh 1970-1980, kadar pertumbuhan KDNK telah mencapai paras purata 6.0 peratus. Pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin kukuh pada awal tahun 1990an dan menyebabkan KDNK meningkat kepada kadar purata 7.0 peratus antara tempoh 1980-1996. Walau bagaimanapun, akibat krisis kewangan yang melanda Asia pada pertengahan tahun 1997, pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam tempoh 1996-2000 mencapai pertumbuhan yang agak sederhana apabila KDNK meningkat pada kadar purata 4.7 peratus setahun (Malaysia 2001).

Perubahan struktur ekonomi dan kepesatan pertumbuhan ekonomi negara secara langsung telah mempengaruhi pasaran buruh negara. Situasi pasaran buruh Malaysia dapat dianalisis berdasarkan permintaan dan penawaran buruh serta kadar pengangguran. Perubahan permintaan buruh dapat dilihat berdasarkan perubahan gunatenaga, yang menggambarkan pertumbuhan permintaan buruh oleh semua majikan dalam ekonomi. Manakala perubahan penawaran buruh diukur oleh pertumbuhan tenaga buruh, yang menggambarkan pertumbuhan penawaran buruh oleh semua buruh dalam ekonomi.

Sebelum negara mengalami kemelesetan ekonomi tahun 1984, keadaan pasaran buruh Malaysia agak longgar. Kadar pertumbuhan purata penawaran buruh (tenaga buruh) antara tahun 1970-1989 berada di sekitar 3.7 peratus melebihi kadar pertumbuhan purata permintaan buruh (gunatenaga) 3.4 peratus dan kadar pengangguran purata ialah 6.7 peratus. Pemulihan ekonomi antarabangsa semenjak penghujung tahun 1986 dan kenaikan harga eksport komoditi yang lebih tinggi telah membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan. Selaras dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang semakin kukuh pada awal tahun 1990an, permintaan buruh berkembang pada kadar purata 3.4 peratus antara tahun 1990-1999 berbanding dengan kadar pertumbuhan purata penawaran buruh yang berada hanya di sekitar 2.8 peratus. Keadaan pasaran buruh pada masa ini menjadi semakin ketat dan kadar pengangguran purata berkurangan sehingga 3.0 peratus (Fatimah & Saad 2006). Walau bagaimanapun, dibandingkan dengan tahun 1990-1999, keadaan pasaran buruh Malaysia antara tahun 2000-2007 bertukar menjadi semakin longgar. Penawaran buruh meningkat pada kadar purata 3.3 peratus setahun berbanding dengan kadar pertumbuhan purata permintaan buruh 3.0 peratus dan kadar pengangguran purata meningkat kepada 3.4 peratus (Malaysia 2007).

Malaysia sebenarnya telah mula mengalami masalah kekurangan buruh di sektor pertanian pada tahun 1970an (Fatimah & Saad 2002). Kekurangan buruh berlaku di sektor perladangan getah dan kelapa sawit khasnya di selatan Johor, kawasan pembukaan tanah di pantai timur Semenanjung, kawasan penanaman padi dan industri pembinaan. Kekurangan buruh pada ketika itu tidaklah menyeluruh. Lebihan buruh atau gunatenaga tidak penuh wujud serentak dengan kekurangan buruh. Beberapa kawasan mengalami kekurangan buruh yang serius manakala kawasan lain mengalami lebihan buruh. Keadaan ini wujud akibat dari keadaan pasaran buruh yang tak sempurna iaitu ketiadaan mobiliti buruh, kekurangan maklumat pasaran atau ketegaran institusi (Lim 1981).

Masalah kekurangan buruh ternyata begitu meruncing di sektor pertanian yang menurut Lim (1981) disebabkan beberapa faktor. Migrasi dalaman buruh secara besarbesaran dari kawasan luar bandar ke bandar merupakan salah satu faktor yang

menyebabkan kekurangan buruh di sektor pertanian. Proses pemodenan dan perindustrian di kawasan bandar yang memberikan tingkat upah yang lebih tinggi, pekerjaan yang terjamin dan kepuasan pekerjaan merupakan faktor penarik yang mendorong penghijrahan keluar belia luar bandar yang berpendidikan. Sikap ibu bapa dan anak-anak yang memandang pulangan kepada pendidikan dari segi mendapatkan pekerjaan di sektor moden turut meninggikan jangkaan pekerjaan di luar sektor pertanian. Manakala upah sebenar sektor pertanian yang meningkat dengan sedikit, perolehan yang tidak stabil disebabkan harga tanaman yang kurang memuaskan, status pekerjaan yang rendah dan kekurangan prospek merupakan faktor penolak migrasi buruh luar bandar ke bandar.

Kekurangan buruh estet di Johor pula di sebabkan faktor penarik dari segi upah yang lebih tinggi yang akan diterima dengan bekerja di kawasan bandar di Singapura. Stahl (1984) pula berpendapat kekurangan buruh di sektor pertanian di sebabkan oleh pertukaran jenis tanaman ladang dari getah kepada kelapa sawit. Tanaman kelapa sawit tidak memerlukan buruh yang ramai bagi setiap hektar tanah. Pengangguran berstruktur di kalangan buruh wanita dan buruh kanak-kanak wujud kerana tanaman kelapa sawit memerlukan buruh lelaki yang mempunyai kelebihan kekuatan tenaga berbanding dengan tanaman getah. Kesannya berlaku migrasi dalaman buruh dari kawasan estet ke bandarbandar. Selain daripada sektor pertanian, kekurangan buruh turut dirasai sektor pembinaan dan perkhidmatan akibat dari keengganan buruh tempatan menyertai pekerjaan yang tergolong dalam kategori merbahaya, sukar dan kotor. Ekoran dari fenomena di atas dan sebagai langkah sementara untuk memastikan agar pertumbuhan ekonomi negara tidak terjejas akibat kekurangan buruh, kerajaan telah bersetuju membenarkan majikan membawa masuk buruh asing dari luar negara bagi mengisi kekosongan jawatan di sektor tertentu. Pada tahun 1992, kerajaan telah membenarkan kemasukan buruh asing ke sektor pertanian dan pembinaan. Walau bagaimanapun, pengambilan buruh asing telah diperluaskan meliputi sektor pembuatan dan perkhidmatan (hotel dan restoran) pada tahun 2000.

MIGRASI ANTARABANGSA DI MALAYSIA

Migrasi antarabangsa di Malaysia telah bermula semenjak zaman penjajahan British lagi yang cuba mengeksploitasi sumber kekayaan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Menghadapi masalah kekurangan buruh untuk menerokai bidang perladangan, perlombongan bijih dan pelabuhan, telah menyebabkan British mengamalkan dasar pintu terbuka dengan membawa masuk buruh asing ke Malaysia dari China Selatan, Filipina, India dan Indonesia. Tahun 1970an menyaksikan penghijrahan masuk buruh asing yang ketara selaras dengan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang memberikan penekanan kepada perkembangan sektor awam dan dasar perindustrian berorientasikan eksport. Kewujudkan peluang pekerjaan yang banyak di bandar telah merangsang migrasi luar bandar ke bandar. Keengganan penduduk tempatan bekerja di sektor perladangan, perkilangan, perlombongan dan pembinaan telah menyebabkan kerajaan Malaysia mengamalkan dasar proaktif terhadap pengambilan buruh asing, khasnya dari Indonesia.

Rajah 1 memaparkan peratus buruh asing di Malaysia mengikut negara asal antara tahun 1997-2005. Sehingga tahun 2005, Malaysia mempunyai seramai 2,242,236 buruh asing di mana 39.0 peratus daripadanya terdiri dari buruh Indonesia (Jabatan Imigresen Malaysia). Jumlah buruh Indonesia yang memasuki Malaysia meningkat dengan ketara dari 255,987 dalam tahun 1997 kepada 870,698 dalam tahun 2005, iaitu peningkatan sebanyak 240 peratus (Jadual 1). Ditinjau dari aspek penglibatan mereka mengikut sektor, Jadual 1 dan Rajah 2 menunjukkan dalam tahun 1997, 44.7 peratus daripada buruh Indonesia yang memasuki Malaysia berada di sektor pembinaan. Namun menerusi perkembangan semasa senario ini semakin berubah. Tahun 1999 dan 2000 menyaksikan sebahagian besar daripada buruh Indonesia (lebih kurang 40.0 peratus) terlibat di sektor pembuatan. Ini diikuti oleh peralihan penumpuan (lebih kurang 50.0 peratus) ke sektor perladangan (2001 dan 2002) dan beralih semula ke sektor pembinaan antara tahun 2003 dan 2004. Namun dalam tahun 2005, sebahagian besar daripadanya (44.0 peratus) ditempatkan di sektor perladangan.

70

60

50

Peratus

40

30
Indonesia Bangladesh Nepal

20

10

India Lain-lain

19 97

19 98

20 00

20 01

20 03

20 04

19 99

Tahun

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia. Nota: Lain-lain merujuk kepada buruh asing antaranya dari Pakistan, Mesir, Filipina, Laos, Sri Langka, Taiwan, Thailand dan Syria. Rajah 1: Buruh Asing di Malaysia Mengikut Negara Asal, 1997-2005 (Peratus)

Jadual 1: Buruh Indonesia Mengikut Sektor, 1997-2005 (Bilangan)


Tahun Pembinaan Pembuatan Perladangan Perkhidmatan Jumlah

1997 1998 1999 2000 2001 2002 2003 2004 2005

114,466 37,606 28,423 41,523 41,355 109,519 204,477 179,591 230,077

45,135 42,373 73,413 123,542 172,854 158,590 103,010 113,363 210,422

20 02

53,170 48,184 67,951 102,092 212,142 274,788 164,340 166,648 383,184

43,216 15,163 12,746 17,211 22,557 22,347 18,300 16,586 47,015

20 05

255,987 143,326 182,533 284,368 448,908 565,244 490,127 476,188 870,698

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia.

50 45 40 35 30

Peratus

25 20 15 10 5 0
20 01 19 98 20 02 20 03 20 05 20 04 19 97 19 99 20 00

Pembinaan Pembuatan Perladangan Perkhidmatan

Tahun

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia. Rajah 2: Buruh Indonesia Mengikut Sektor, 1997-2005 (Peratus) Peluang pekerjaan yang terbatas, kadar upah yang rendah dan kelebihan tenaga buruh di Indonesia telah menyebabkan aliran keluar buruh dari Indonesia (Sofia 2007). Bagi buruh yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan di Indonesia, penghijrahan ke Malaysia dilihat sebagai pilihan terbaik untuk mendapatkan pekerjaan dengan kadar upah yang lebih tinggi. Kedudukan geografi antara kedua negara yang berhampiran serta kesamaan sosio-budaya dan agama turut menjadikan Malaysia negara destinasi menarik yang akan berterusan meningkatkan penghijrahan buruh Indonesia ke Malaysia (Nasution 1993, Sukamdi et al. 2004). Di samping memperbaiki pendapatan keluarga dan meninggikan kemahiran buruh, pengiriman buruh Indonesia ke luar negara dilihat sebagai strategi kerajaan Indonesia untuk mengurangkan pengangguran, yang merupakan sumber ketidakstabilan sosial dan politik, serta memperbaiki rizab pertukaran asing negara menerusi kiriman wang (Rianto 1995, Firdausy 2001, Soeprobo 2002).

Memandangkan migrasi buruh Indonesia ke Malaysia dijangkakan semakin meningkat dan keterbatasan kajian empirik migrasi buruh Indonesia, maka objektif kajian 7

ini ialah berdasarkan teori migrasi yang ada, mengkaji secara empirik faktor ekonomi yang mempengaruhi aliran migrasi antarabangsa buruh Indonesia ke Malaysia antara tahun 1997-2005.

TEORI DAN MODEL MIGRASI ANTARABANGSA

Berbagai teori dan model telah dikemukakan ahli ekonomi untuk mengkaji migrasi antarabangsa, antaranya ialah teori klasik penolak dan penarik (push and pull theory), teori neo-klasik dan teori Keynes, pendekatan terpilih (selectivity approach), teori pasaran buruh dual (dual labor market theory), teori rangkaian (network theory) dan model interaksi kawasan Lowry (Lowry spatial interaction model).

Teori Klasik Penolak dan Penarik

Dari segi teori, kemasukan buruh asing ke Malaysia dapat dilihat sebagai bergerakbalas terhadap beberapa faktor. Teori klasik penentu penghijrahan melihat kepada faktor penolak dan penarik yang mempengaruhi penghijrahan antarabangsa (Ravenstein 1885; Lee 1966; Cadwallader 1989; Warnes & Ford 1995; Rees et al. 1996). Teori penolak dan penarik mempertimbangkan interaksi antara faktor yang menolak penghijrah dari negara asal dengan faktor yang menarik penghijrah ke negara destinasi. Faktor penolak merangkumi keadaan di negara asal, misalnya kadar pengangguran dan tahap kemiskinan yang tinggi, ketiadaan peluang untuk memajukan diri, kekurangan tanah pertanian, ketidakstabilan politik dan peperangan, yang merangsang buruh untuk berhijrah ke negara destinasi. Faktor yang menarik penghijrah ke negara destinasi antaranya ialah kemewahan ekonomi, kadar upah yang lebih tinggi, peluang pendidikan dan latihan semasa kerja yang lebih baik, kestabilan politik dan dasar imigresen yang liberal.

Lee (1966) menganalisis migrasi dalam konteks negara asal dan negara destinasi serta perkaitan di antara kedua negara. Kekurangan di negara asal dan kelebihan di negara destinasi merangsang buruh untuk berhijrah. Jarak di antara kedua negara

melibatkan kos dan beberapa halangan. Antara kos penghijrahan yang perlu ditanggung ialah kos pemindahan, kos mencari maklumat pekerjaan dan tempat tinggal. Batasan penghijrahan pula meliputi dasar imigresen yang ketat serta perbezaan bahasa dan budaya. Namun bahasa, sejarah atau budaya yang sama serta terdapatnya saudara mara dan kawan di negara destinasi antara faktor yang akan merangsang penghijrahan antarabangsa.

Teori Ekonomi Neo- Klasik dan Teori Keynes

Berdasarkan teori ekonomi neo-klasik, perbezaan upah antara negara merupakan faktor utama yang merangsang penghijrahan buruh. Perbezaan upah wujud disebabkan perbezaan antara permintaan dan penawaran buruh dan perbezaan faktor lain seperti perbezaan produktiviti dan darjah kesatuan buruh. Negara yang mempunyai penawaran buruh yang sedikit relatif kepada modal menikmati upah keseimbangan yang lebih tinggi, manakala negara yang mempunyai penawaran buruh yang ramai menikmati upah keseimbangan yang lebih rendah. Perbezaan upah ini akan merangsang penghijrahan buruh dari negara upah rendah ke negara upah tinggi (Borjas 1989; Massey et al. 1993, 1998; Bauer & Zimmermann 1994). Seperti teori ekonomi neo-klasik, Keynes melihat migrasi dalam konteks tekanan ke arah keseimbangan. Berdasarkan teori Keynes, kewujudan pengangguran disebabkan upah yang sukar direndahkan, dan migrasi antarabangsa bertindak menghapuskan perbezaan pengangguran antara negara (Hart 1975).

Pendekatan Terpilih

Pendekatan terpilih migrasi buruh antarabangsa menganggap penghijrah mempunyai sikap keusahawanan di kalangan masyarakat yang bertindakbalas terhadap

ketakseimbangan dengan berhijrah. Beberapa faktor yang memberi kesan terhadap keputusan individu untuk berhijrah atau nilai faedah antara lokasi berbeza, antaranya ialah:

a) pulangan ekonomi terhadap ciri-ciri individu misalnya umur, jantina dan tahap pendidikan di negara asal; b) pulangan ekonomi terhadap ciri-ciri individu di negara destinasi; c) kesan ciri-ciri individu terhadap kos migrasi; d) kesanggupan individu mengambil risiko; dan e) nilai faedah migrasi terhadap penghijrah dan ahli keluarga penghijrah.

Teori Pasaran Buruh Dual

Teori pasaran buruh dual mengklasifikasikan pasaran buruh kepada pasaran buruh utama dan pasaran buruh kedua (Piore 1979; Massey et al. 1993). Pasaran buruh utama dicirikan oleh kaedah pengeluaran berintensifkan modal serta penggunaan buruh mahir dan terlatih. Manakala pasaran buruh kedua dicirikan oleh kaedah pengeluaran berintensifkan buruh serta penggunaan buruh tidak mahir dan tidak terlatih. Hiraki pekerjaan paling rendah juga terdapat dalam pasaran buruh kedua. Buruh dalam pasaran buruh utama menikmati tahap sosial dan kadar upah yang tinggi serta syarat kerja yang lebih baik berbanding dengan buruh dalam pasaran buruh kedua.

Menurut Piore (1979), permintaan terhadap buruh asing dalam masyarakat perindustrian moden wujud akibat dari kekurangan buruh dalam pasaran buruh kedua bagi memenuhi hiraki pekerjaan yang paling rendah. Massey et al. (1993) pula melihat kekurangan buruh hiraki pekerjaan rendah disebabkan masalah motivasi serta perubahan sosial dan demografi masyarakat. Dalam masyarakat perindustrian moden, individu didapati kurang bermotivasi untuk memenuhi kekosongan jawatan dalam pekerjaan hiraki rendah disebabkan status sosial yang rendah dan kekurangan peluang untuk meningkat. Di samping itu, kemerosotan kadar kelahiran, pencapaian tahap pendidikan yang lebih tinggi di kalangan wanita dan peningkatan kadar penceraian merupakan perubahan faktor sosial dan demografi dalam masyarakat moden yang mewujudkan kekurangan buruh dalam hiraki pekerjaan yang paling rendah. Sebagai akibatnya majikan

10

terpaksa bergantung kepada buruh asing dan seterusnya ini menggalakkan migrasi antarabangsa.

Teori Rangkaian

Teori migrasi rangkaian merujuk kepada pertalian secara peribadi di antara penduduk negara asal dengan penduduk negara destinasi. Rangkaian antara penduduk kedua-dua negara wujud dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah membantu bakal penghijrah dari kumpulan etnik yang sama dari segi membiayai kos perjalanan, mencari pekerjaan atau tempat tinggal serta memberi maklumat berkaitan peluang pendidikan dan jaminan sosial di negara yang ditujui (Esveldt et al. 1995). Dengan membekalkan maklumat bernilai yang diperlukan, rangkaian migrasi dapat mengurangkan kos, risiko dan ketidakpastian migrasi serta meninggikan kebarangkalian mendapatkan pekerjaan di negara destinasi. Dengan perkataan lain, kewujudan rangkaian migrasi akan mengurangkan kos ekonomi dan kos psikik penghijrahan, meninggikan pulangan kewangan migrasi yang dijangkakan dan seterusnya meningkatkan jumlah migrasi antarabangsa.

Model Interaksi Kawasan Lowry

Model interaksi kawasan Lowry atau dikenali juga sebagai model graviti yang mula diperkenalkan oleh Ravenstein (1885) dengan mengambilkira aspek saiz penduduk negara asal dan destinasi serta jarak di antara kedua negara. Hukum graviti mengandaikan aliran migrasi berhubungan secara langsung dengan penduduk dan secara songsang dengan jarak. Model graviti Ravenstein (1885) ini seterusnya di perkembangkan oleh Lowry (1966), Wilson (1970), Alonso (1978), Isserman et al. (1985), Fotheringham & OKelly (1989).

Lowry (1966) memperkembangkan model graviti dengan memperkenalkan pembolehubah ekonomi berasaskan teori klasik penolak dan penarik, neo-klasik dan Keynes. Model interaksi kawasan Lowry dapat dilihat melalui persamaan (1):

11

M ij = cLi L j U i U j Wi W j d ij

(1)

dimana: Mij i j c = jumlah penghijrah dari negara (kawasan) i ke negara j; = negara asal; = negara destinasi; = pemalar;

Li , Lj = tenaga buruh di negara i dan j; Ui , Uj = kadar pengangguran di negara i dan j; Wi , Wj = kadar upah di negara i dan j; dan dij = jarak antara negara i dan j;

Tenaga buruh di negara asal Li dimasukkan ke dalam model bagi mengambilkira penduduk yang berisiko untuk berhijrah. Tenaga buruh Lj mencerminkan peluang ekonomi di negara destinasi. Kadar pengangguran Ui dan Uj mengukur tahap persaingan pasaran buruh negara asal dan destinasi. Jarak di antara kedua negara dij dijangkakan memberikan kesan membatas jumlah penghijrah dari negara asal ke negara destinasi. Lowry menganggarkan model di atas dalam bentuk logaritma.

MODEL EMPIRIK DAN KEPUTUSAN KAJIAN

Berdasarkan model interaksi kawasan Lowry (1966), suatu model migrasi mudah dirumus untuk mengkaji secara empirik faktor ekonomi yang mempengaruhi penghijrahan buruh Indonesia ke Malaysia. Aliran migrasi buruh dari pasaran buruh i (Indonesia) ke pasaran buruh m (Malaysia) diandaikan berfungsi kepada pendapatan per kapita dan kadar pengangguran, yang diwakili oleh persamaan (2): log M im t = + 1 log Ymt + 2 log UN it + t di mana:

(2)

12

Mim Ym UNi i m t

= jumlah penghijrah dari negara i to negara m; = pendapatan per kapita di negara destinasi; = kadar pengangguran di negara asal; = negara asal, Indonesia; = negara destinasi, Malaysia; = tahun; dan = faktor rambang.

Persamaan (2) dianggar dalam bentuk logaritma dengan menggunakan teknik Gandadua Terkecil Biasa (Ordinary Least Square) untuk tempoh masa 1997-2005. Data yang diperlukan untuk kajian diperolehi dari Jabatan Imigresen Malaysia, Laporan Ekonomi dan International Labour Organization (ILO). Kajian ini tidak dapat dikendalikan untuk tempoh masa yang lebih panjang disebabkan kegagalan mendapatkan data penghijrahan buruh Indonesia ke Malaysia sebelum tahun 1997.

Pembolehubah bersandaran dalam persamaan (2), Mim ialah jumlah penghijrah dari Indonesia ke Malaysia yang bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perladangan dan perkhidmatan. Pendapatan per kapita, Ym dimasukkan dalam persamaan sebagai hampiran kepada upah yang mengukur daya tarikan relatif negara destinasi. Ym diperolehi dengan membahagikan Keluaran Dalam Negeri Kasar Malaysia (harga malar tahun 1987) dengan penduduk Malaysia. Kadar upah yang tinggi di negara destinasi merupakan faktor penarik yang akan merangsang kemasukan buruh asing. Oleh itu, pendapatan per kapita yang tinggi di Malaysia (Ym) dijangkakan memberikan kesan positif terhadap penghijrahan buruh Indonesia ke Malaysia (Mim) . Kadar pengangguran mengukur persaingan relatif pasaran buruh negara asal dan negara destinasi. Kadar pengangguran yang tinggi di Indonesia UNi merupakan faktor yang menolak penghijrahan keluar buruh Indonesia ke Malaysia. Oleh itu, kadar pengangguran di Indonesia (UNi) dijangkakan memberikan kesan yang positif terhadap bilangan penghijrahan buruh Indonesia ke Malaysia (Mim).

13

Jadual 2 memaparkan keputusan anggaran persamaan (2). Keputusan kajian menunjukkan kedua-dua pembolehubah penjelas (explanotory variables) mempunyai tanda positif seperti yang dijangkakan (expected positive sign) dan keertian secara

statistik (statistically significant). Pekali teranggar menunjukkan, dengan andaian perkara lain tidak berubah (ceteris paribus), peningkatan 1 peratus pendapatan per kapita di Malaysia akan meningkatkan penghijrahan buruh Indonesia ke Malaysia sebanyak 1.941 peratus.

Jadual 2: Keputusan Anggaran Persamaan (2)

log Mimt = -10.411 + 1.941 logYmt + 1.488 logUNit (-2.40) (2.70)** (6.22)*
Ganda dua R (R-squared) = 0.88 Ganda dua R terlaras (adjusted R-squared) = 0.88 Statistik Durbin-Watson = 1.62 Ralat piawai regresi (standard error of regression) = 0.23 Statistik-F = 22.28 Hasil tambah ganda dua sisa (sum of squared residual) = 0.32 Nota: Angka dalam kurungan ialah statistik-t. * Paras keertian 0.05 peratus. ** Paras keertian 0.10 peratus.

Kajian ini menyokong dapatan Nasution (1993), di mana beliau dapati Malaysia adalah negara destinasi yang menarik bagi buruh Indonesia disebabkan kadar upah yang lebih tinggi. Kajian ini juga menyokong teori penolak dan penarik serta model interaksi kawasan yang menjangkakan perbezaan upah antara kawasan merupakan faktor utama menggalakkan migrasi buruh. Buruh akan berhijrah ke kawasan lain disebabkan terdapat perbezaan upah di negara asal dan destinasi. Perbezaan upat tersebut pada kebiasaannya disebabkan perbezaan geografi permintaan dan penawaran buruh serta dipengaruhi faktor

14

lain seperti produktiviti buruh dan darjah penyatuan (unionization) buruh (Borjas 1989; Massey et al. 1993, 1998; Bauer & Zimmerman 1994).

Kadar pengangguran di Indonesia memberikan kesan positif terhadap bilangan penghijrahan buruh Indonesia ke Malaysia (Mim). Dengan andaian perkara lain tidak berubah, peningkatan 1 peratus kadar pengangguran di Indonesia meningkatkan penghijrahan buruh Indonesia ke Malaysia sebanyak 1.488 peratus. Kajian ini menyokong teori penolak dan penarik dimana kadar pengangguran yang tinggi di negara asal merupakan faktor yang akan menolak keluar penganggur dari negara asal ke negara destinasi yang menjanjikan ganjaran upah yang menarik.

Walaupun dapatan kajian tidak dapat dianggap sebagai konklusif disebabkan saiz sampel yang kecil, namun suatu kesimpulan umum dapat dibuat. Di antara kedua-dua pembolehubah bersandaran yang dikaji, kadar pengangguran di Indonesia didapati begitu signifikan dalam mempengaruhi jumlah migrasi buruh Indonesia ke Malaysia berbanding dengan pendapatan per kapita di Malaysia. Ini dapat dilihat dari statistik-t pembolehubah kadar pengangguran di Indonesia yang agak tinggi bernilai 6.22 berbanding dengan hanya 2.70 untuk pembolehubah pendapatan per kapita di Malaysia. Ini menunjukkan kadar pengangguran di Indonesia merupakan faktor utama yang merangsang migrasi buruh dari Indonesia ke Malaysia.

KESIMPULAN

Kajian ini menganggarkan penentu penghijrahan buruh Indonesia ke Malaysia antara tahun 1997-2005. Model migrasi mudah dirumus berdasarkan model interaksi kawasan seperti yang diperkenalkan Lowry (1966). Pembolehubah bersandaran yang digunakan ialah jumlah buruh Indonesia di Malaysia, manakala pembolehubah bebas terdiri daripada pendapatan per kapita di Malaysia dan kadar pengangguran di Indonesia.

Keputusan kajian menunjukkan pendapatan per kapita di Malaysia dan kadar pengangguran di Indonesia memberikan kesan positif terhadap penghijrahan masuk

15

buruh Indonesia ke Malaysia. Penemuan ini menyokong teori penolak dan penarik, yang mengandaikan perbezaan upah antara kawasan dan kadar pengangguran di negara asal merupakan penyebab kepada migrasi buruh antarabangsa. Namun di antara kedua-dua pembolehubah yang dikaji, didapati kadar pengangguran di Indonesia merupakan faktor utama yang merangsang penghijrahan masuk buruh Indonesia ke Malaysia.

16

RUJUKAN Alonso, W. (1978). A Theory of Movement. Dalam Hansen, N. M. (eds.), Human Settlement Studies. Cambridge: Ballinger, ms. 197-211. Bauer, T. & K. Zimmermann. (1994). Modelling International Migration: Economics and Econometric Issues. Dalam R. Van Der Arf & L. Heering (eds.), Causes of International Migration. Prosiding Bengkel, Luxembourg, 14-16 Disember, Eurostat, ms. 95-115. Borjas, G. J. (1989). Economic Theory and International Migration. International Migration Review 23, ms. 457-485. Cadwallader, M. (1989). A Conceptual Framework for Analyzing Migration Behavior in the Developed World. Progress in Human Geography 13, ms. 494-511. Esveldt, I., Kulu-Glasgow, I., Schoorl, J. & H. Van Solinge. (1995). Migration Motives, Migration Networks and Partner Choice of Turks and Moroccans in the Netherlands. NIDI Report 43, NIDI, The Hague. Fatimah Said & Saad Mohd. Said. (2002). Ekonomi Pasaran Buruh. AY, Kota Bharu: Kelantan. Fatimah Said & Saad Mohd. Said. (2006). Perkembangan Pasaran Buruh Malaysia. Dalam. Fatimah Kari, Evelyn Devadason, Hanira Hanafi & Yong Sook Loo (eds.) Applied Economics Issues in Malaysia, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, ms. 193-206. Firdausy, C. M. (2001). International Labour Migration Policy and Development Strategy in Indonesia. Prosiding International Workshop on International Migration and Structural Change in the APEC Member Economies, JETRO, Jepun. Fotheringham, A. S. & M. E. OKelly. (1989). Spatial Interaction Models: Formulations and Applications. Dordrecht: Kluwer Academic Publishers. Hart, R. A. (1975). Interregional Economic Migration: Some Theoretical Considerations (Part I & II). Journal of Regional Science 2 & 3, ms. 127-138, 289-305. Isserman, A. M., Plane, D. A., Rogerson, P. A. & P. M. Beaumont. (1985). Forecasting Interstate Migration with Limited Data: A Demographic-Economic Approach. Journal of American Statistical Association 80 (39), ms. 277-285.

17

Lee, E. S. (1966). A Theory of Migration. Demography 3, ms. 47-57. Lim Lin Lean. (1981). Labour Shortages in the Rural Agricultural Sector- A Search for Explanations and Solutions. Population Studies Unit Discussion Paper, No. 1, Februari. Lowry, I. S. (1966). Migration and Metropolitan Growth: Two Analytical Models. San Fransisco: Chandler. Ravenstein, E. G. (1885). The Laws of Migration, Journal of Royal Statistical Society 48, ms. 165-235. Rees, P., Durham, H., & M. Kupiszewski. (1996). Internal Migration and Regional Population Dynamics in Europe: United Kingdom Case Study. Working Paper 96/20, School of Geography, University of Leeds. Rianto, A. (1995). Migrasi Internasional Tenaga Kerja Indonesia: Harapan dan Kenyataan. Jakarta: Pusat Penelitian Unika Atma Jaya. Soeprobo, T. B. (2002). Recent Trends of International Migration in Indonesia. Kertas Kerja dibentangkan di Workshop on International Migration and Labour Markets in Asia, Tokyo, Jepun. Sofia Ratna Sari Harahap. (2007). The Determinants of Indonesian Migrants Workers into Malaysia. Dissertasi Sarjana Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya. Stahl, C. W. (1984). International Labour Market, Migration and the Asean Economies. ILO Working Paper on International Migration for Employment, Geneva. Sukamdi, Satriawan, E. & A. Haris. (2004). Impact of Remittances of the Indonesian Economy. Dalam. Ananta, A., Ariffin & E. Nurvidya (eds.), International Migration in Southeast Asia. Singapore: ISEAS. Malaysia. (1970). Laporan Ekonomi 1970/1971. Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan Malaysia. Malaysia. (1995). Immigration Guideline for Foreign Workers. Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia. Malaysia. (2001). Rancangan Malaysia Kelapan 2001-2005. Kuala Lumpur: Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

18

Malaysia. (2007). Laporan Ekonomi 2007/2008. Putrajaya: Kementerian Kewangan Malaysia. Massey D, Arango J, Hugo G, Kouaouci A, Pellegrino A & J. E. Taylor (1993). Theories of International Migration: A Review and Appraisal. Population and Development Review 19, ms. 431-466. _________. (1998). Worlds in Motion. Oxford: Clarendon Press. Nasution, M. A. (1993). International Migration in South East Asia: A Case Study of Indonesian Workers in the Malaysian Peninsula.

http://www.unesco.org/most/apmrlabo7.doc. Piore, M. J. (1979). Birds of Passage: Migrant Labour and Industrial Societies. London: Cambridge University Press. Warnes, A. & Ford, R. (1995). Housing Aspirations and Migration in Later Life: Developments during the 1980s. Regional Science 74, ms. 361-387. Wilson, A. G. (1970). Entropy in Urban and Regional Modelling. London: Pion.

19

You might also like