You are on page 1of 3

Hikayat Patani (Nur Syakilla, Nur Sabrena)

Sinopsis Prosa tradisional ini mengisahkan tentang asal usul negeri Patani Dar as-Salam. Raja Kota Mahligai bernama Phaya Tu Kerub Mahajana. Putera baginda bernama Phaya Tu Antara, yang menaiki takhta menggantikan baginda dengan gelaran Phaya Tu Naqpa. Baginda mempunyai kegemaran berburu. Semasa dalam perburuan, anjing buruannya menyalak apabila ternampak akan pelanduk putih yang besarnya seperti kambing. Anjing itu menghambat pelanduk tersebut yang berlari di tepi pantai tetapi pelanduk itu ghaib tanpa dapat dikesan.Semasa berada di tepi pantai, baginda berjumpa dengan seorang tua yang bernama Pak Tani. Orang tua itu menyatakan bahawa beliau juga merupakan rakyat Kota Mahligai. Pada suatu masa dahulu, semasa mengiringi Paduka Nenda ke negeri Ayuthia, beliau mendapat penyakit lalu ditinggalkan di situ. Raja Phaya Tu Naqpa bercadang untuk membuka kota di tempat tersebut. Rakyat Kota Mahligai dan Lancang dikerah untuk membina kota tersebut. Kota tersebut dinamakan Patani Dar as-Salam bersempena dengan nama Pak Tani. Tempat pelanduk lenyap dinamakan Pintu Gajah manakala tempat Pak Tani turun ke laut pula dinamakan Jambatan Kedi. Baginda memerintah di situ dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Kerub Picai Paina, Tuanku Mahacai dan Mahacai Pailang. Pada suatu hari, Raja Phaya Tu Naqpa mengalami sakit kulit. Tiada sesiapa yang mampu menyembuhkan penyakit baginda walaupun tawarannya adalah diangkat menjadi menantu raja. Pemukul canang telah pergi ke Kampung Pasai. Akhirnya Syeikh Said bersetuju untuk menyembuhkan penyakit baginda. Syarat yang dikenakan adalah apabila sembuh, raja perlu memeluk agama Islam. Apabila sembuh daripada penyakitnya, baginda mungkir janji untuk memeluk Islam. Raja mengalami sakit buat kali kedua dan berjaya diubati oleh Syeikh Said sekali lagi. Kali ini, raja tetap mungkir janji. Raja sakit buat kali ketiga. Syeikh Said meminta agar raja menepati janjinya, jika tidak beliau tidak mahu mengubati penyakit raja walaupun dikenakan hukuman bunuh. Akhirnya, penyakit raja dapat disembuhkan. Raja menepati janjinya untuk memeluk agama Islam. Nama Islam yang diberikan oleh Syeikh Said kepada Raja Phaya Tu Naqpa ialah Sultan Ismail Syah Zillulah Fil-Alam. Pada suatu hari, sebuah nakhoda wangkang Cina menghadiahkan sebutir peluru batu kepada baginda. Sultan berasa malu kerana negerinya tidak mempunyai sebutir meriam untuk mempertahankan negara. Sultan menitahkan agar rakyatnya tidak membawa keluar tembaga dari negeri itu dan tidak menjual kepada pedagang selama tiga tahun. Sesiapa yang melanggar arahannya akan dikenakan hukuman bunuh. Syeikh Gambak orang Minangkabau dan muridnya Abdul Mukmin telah menjual tembaga kepada saudagar Melaka. Akibatnya, mereka berdua dikenakan hukuman bunuh. Mayat mereka dihanyutkan ke dalam sungai. Beberapa kejadian luar biasa berlaku terhadap mayat tersebut. Tuk Besar memohon kepada sultan untuk mengebumikan mayat tersebut dengan sempurna. Sekali lagi peristiwa luar biasa berlaku apabila tubuh kedua-dua mayat itu memanjang. Kubur itu pun dikenal sebagai kubur Tuk Panjang sehingga sekarang. Sultan pula meminta seorang tukang berbangsa Rom bernama Abdul Samad membuat meriam. Walau bagaimanapun, meriam itu tidak dapat digunakan

kerana terlalu nipis. Akhirnya, sultan menitahkan agar meriam itu dibuat semula, ketiga-tiga meriam tersebut dinamai Seri Negeri, Tuk Buk dan Nang Liu-liu.

Tema Asal usul pemerintah dan pembukaan negeri yang digelar Patani Dar as-Salam. Peristiwa anjing mengejar pelanduk putih yang besar mendorong Raja Phaya Tu Naqpa membuka negeri di situ. Baginda juga bertemu dengan Pak Tani yang ditinggalkan di situ sejak sekian lama. Nama negeri itu dipilih bersempena nama Pak Tani.

Persoalan 1. Ketegasan dalam mengotakan janji. Sebagai contoh, Syeikh Said tidak mahu lagi megubati raja dan sanggup dihukum mati seandainya raja mengingkari janjinya. 2. Ketegasan dalam pemerintahan. Contohnya, raja mengerahkan rakyatnya agar tidak menjual tembaga dan membuat meriam untuk mempertahankan Negara. 3. Kebolehan mengubati penyakit. Untuk dijadikan contoh, Syeikh Said pandai dalam mengubat penyakit kulit.

Watak dan Perwatakan 1. Phaya Tu Naqpa (watak utama) Nama asalnya ialah Phaya Tu Antara. Putera kepada Raja Kota Mahligai Phaya Tu Kerub Mahajana. Kegemaran baginda ialah berburu binatang.

2. Syeikh Said (watak sampingan) Berasal dari Pasai. Memiliki kemahiran mengubati penyakit. Mengislamkan Phaya Tu Naqpa kemudian menukar nama baginda kepada Sultan Ismail Syah Zillulah Fil-Alam.

3. Pak Tani (watak sampingan) Pengikut yang setia. Contohnya, beliau mengikuti Paduka Nenda dari Kota Mahligai ke Ayuthia.

Pasrah. Contohnya, Pak Tani rela ditinggalkan dalam perjalanan kerana terkena penyakit. Namanya diabadikan sebagai nama negeri Patani Dar as-Salam.

4. Abdul Samad (watak sampingan) Seorang tukang berbangsa Rom. Berkemahiran. Contohnya, Abdul Samad membuat meriam di Kampung Tembaga.

Nilai

1. Menepati janji. Contohnya, Raja Phaya Tu Naqpa mengotakan janjinya lalu memeluk Islam dan menukar namanya menjadi Sultan Ismail Syah Zillulah Fil-Alam. 2. Kesabaran. Contohnya, Syeikh Said tetap bersabar apabila raja gagal menunaikan janjinya. 3. Ketaatan. Contohnya, pembesar dan rakyat turut mengikut jejak langkah raja memeluk Islam.

Pengajaran

1. Kita hendaklah memegang pada janji, bukan melanggar janji yang telah dibuat. Contohnya, Raja Phaya Tu Naqpa memungkiri janjinya untuk memeluk Islam sebanyak dua kali. 2. Kita haruslah bersabar terhadap tingkah laku seseorang. Contohnya, Syeikh Said bersabar terhadap perbuatan Raja Phaya Tu Naqpa yang sering mungkir janji. 3. Kita perlulah taat kepada pemimpin. Contohnya, pembesar dan rakyat memeluk Islam apabila rajanya berbuat demikian.

You might also like